Saturday 3 October 2015

Incredible India - New Delhi - Episod 1 - Pengembaraan bermula

Assalamua'laikum dan salam sejahtera buat semua pembaca budiman.

Alhamdulillah, aku dan travel buddy telahpun selamat kembali ke tanahair dalam cuaca berjerebu yang semakin teruk. Nampaknya vitamin C kena diambil setiap hari untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh. Juga kena minum banyak air. 

Pengembaraan aku dan travel buddy ke India Utara selama 19 hari berjalan dengan lancar dan selamat serba serbi. Pengembaraan ini bermula pada 11 September 2015 dan berakhir pada 29 September 2015 dan kembali mendarat di tanahair pada 30 September 2015. Cukup mencabar fizikal dan mental kami dengan berbagai pengalaman pahit manis yang telah kami lalui sepanjang pengembaraan ini. Juga dengan perubahan cuaca daripada panas terik menyengat kulit di gurun kepada sejuk beku hingga ke tulang di pergunungan. Pengembaraan ini juga mengubah persepsi aku terhadap negara India. Mungkin anda mempunyai pengalaman yang berbeza daripada apa yang aku lalui bergantung kepada corak perjalanan yang kita lalui.

Di pergunungan jajaran himalaya di Himachal Pradesh

Mengagumkan dan menarik !!! Sesungguhnya !!! India mempunyai banyak tempat tarikan pelancongan dan penerokaan aku ternyata terlalu singkat. Masa amat cepat berlalu dan aku sedikit terkilan kerana tidak dapat meneroka dengan lebih banyak lagi tempat- tempat menarik di sana atas faktor masa, jalinan jalanraya dan jenis pengangkutan serta cuaca. In Shaa Allah akan aku gunakan masa dikesempatan yang akan datang sekiranya nyawa masih berbaki untuk aku menyelusuri jalan-jalan yang lebih mencabar demi keseronokan sebagai seorang pengembara. Melihat agungnya ciptaan Allah di hadapan mata. Melihat kepelbagaian budaya dan cara hidup penduduk, berkomunikasi dengan rakan-rakan sepengembara dari pelbagai negara juga dengan penduduk tempatan, merasa kepelbagaian masakan daripada pelbagai etnik di pergunungan dan bandar serta berkomunikasi dengan berbagai individu yang berlainan bangsa, agama, tuturkata dan budaya.

Alhamdulillah, Allah telah memberi kesempatan untuk aku mengenali alam dan melihat seluruh ciptaanNya di sesuatu tempat. Berfikir dan mengagungkan kebesaran dan kekuasaanNya, betapa kerdilnya aku, betapa lemahnya aku berbanding seluruh cipataanNya. Perjalanan yang aku lalui banyak membuat aku bermuhasabah akan diri ini.

Mukaddimah yang agak panjang kerana aku amat teruja dengan pengembaraan kali ini. 

Aku membeli tiket Malindo Air pada pertengahan tahun dahulu untuk ke Delhi, perancangan memang telah lama ada cuma bagaimana untuk merealisasikannya dengan sesempurna mungkin. Asalnya aku ingin mengembara selama sebulan. Memandangkan aku masih bergelar seorang pekerja yang tertakluk kepada peraturan syarikat dan jumlah cuti tahunan yang tidak berapa memberansangkan jumlahnya. Aku akur dan mengumpul cuti-cuti tahunanku agar aku dapat memaksimumkan keseluruhan cuti tahunan yang masih berbaki untuk meneruskan keinginanku mengembara ke utara India. Nekad! Itulah yang terjadi. Walau apa jua situasi yang bakal dihadapi.

Aku bukan pengembara yang suka mengembara secara berseorangan. Aku akan mencari seorang atau dua orang travel buddy yang sama citarasa dan corak pengembaraan kerana aku kerap akan mengubah itinerary bila-bila masa dimana sahaja mengikut keadaan dan situasi ketika itu. Berlainan caranya sekiranya aku membawa kumpulan pelancong. Travel buddy daripada kalangan ahli keluarga sendiri adalah pilihan terbaik. Juga kawan-kawan yang sukakan corak pengembaraan yang sama juga boleh dijadikan sebagai travel buddy. Paling utama adalah boleh bergerak dalam apa juga keadaan pengangkutan dan dalam jangkamasa yang lama, redho akan situasi setempat yang diluar jangkaan, tidak memilih makanan dan sukakan cabaran.   

Sementara menunggu untuk masuk ke perut kapal terbang, kita test monopod ni dulu...hehe

Penerbangan ke Delhi pada 11 September 2015 bertolak pada pukul 6.05 pm dalam jadual asal. Namun berlaku sedikit masalah dengan penyimpanan barangan di perut kapal terbang, Pihak penerbangan mengeluarkan semula sebahagian beg-beg penumpang di sebelah kanan dan memindahkannya ke bahagian lain untuk menstabilkan kapal. Penumpang penuh pada penerbangan kali ini dengan kebanyakannya adalah rakyat India. Kapten mengumumkan kelewatan berlepas dan kami berdua ni memang dah tak sabar untuk sampai di bumi kari. Setengah jam selepas semua urusan selesai, kapten kapal pun menarik brek dan mengundur untuk ke landasan dan bersedia untuk terbang.......

Malindo Air mempunyai ruang kaki di tempat duduknya yang lebih selesa berbanding Airasia. Baggage allowance sebanyak 20kg dan makanan sudah termasuk dalam harga tiket. Tiada caj tersembunyi atau tambahan-tambahan caj yang perlu dibayar lagi. Kan ke senang macam tu....takde ler sakit hati masa beli tiket ...hehe

Alhamdulillah, set makanan dalam flight

Selepas makan malam di dalam kapal terbang, belek-belek movie yang ada, tak lama menonton, aku tertidur dengan nyenyak dan siap berselimut lagi. Hanya tersedar bila pengumuman dibuat yang kapal akan mendarat. Lebih kurang pukul 9.20 pm waktu tempatan di Delhi, kami sampai di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Indra Gandhi New Delhi. Penerbangan KL-Delhi mengambil masa 5 jam 30 minit.

Selesai urusan imigresen, kami melangut dulu di luar airport, mencari pilihan pengangkutan untuk ke hostel. Tengok ada bas di hujung platform, tapi aku tidak pasti bas tersebut pergi arah mana kan. Nak naik train metro, kami tak buat research pun. Buddy pergi tanya kat pemuda-pemuda tabligh yang sama-sama naik kapal terbang tadi.  Mereka beritahu kami lebih baik ambil teksi terus ke hostel dan tunjuk pondok teksi berbayar di seberang jalan. Katanya mereka tak menipu dan harga tambang juga berpatutan. Kami pun terus ke sana. 

Tambang teksi ke kawasan Muhamadpur dimana terletaknya hostel yang akan kami duduki sebanyak 300 Rupees. Aku bagi ke buddy 1000 rupees tapi dia ingat aku bagi hanya 500 rupees. Dia ambil baki hanya 200 rupees, note 500 rupee tu dia tinggalkan saje atas meja kaunter. Baik punye buddy. Sambil berjalan menuju ke teksi buddy bagi aku semula baki, aku tanye mana lagi baki 500 rupees ? Eh! Bukan maksu bagi 500 rupees jer ke tadi? Aku jeling tajam pada dia dan kata, kau mamai ke apa ye..habis la lebuh duit belanja aku...baru jer nak mula...memang nak kene sekeh budak ni.

Sebelum kami naik teksi terdengar seperti orang cuba memanggil kami daripada belakang. Seorang pekerja di kaunter teksi tadi menyerahkan kembali kepada kami baki lagi 500 rupees yang tidak diambil oleh buddy tadi. fuuhhhh...Lega, dapat balik duit tu. Tak jadi aku nak sekeh si buddy. Maknanya, masih ada lagi orang yang jujur dalam bekerja dan berniaga di negara di mana kebanyakan orang terutamanya pelancong berfikiran negatif tentang negara dan rakyat India. Alhamdulillah, permulaan yang baik bagi kami. Setakat itu saja la kan!! 

Kami naik teksi ambassador, masa kami beratur, bila tiba turn kami teksi jenis tu saja yang sampai, redho jer la...haha, tteksi tiada aircond, dah la Delhi ni panas macam Malaysia juga cuma tiada jerebu saja. Aircond original. Maka bermula lah episod menghirup bau perfume yang sangat terkenal di Delhi sepanjang jalan selama setengah jam menuju ke Muhamadpur. Keluar saja dari kawasan lapangan terbang tu, sepanjang jalan berbau hancing !!!!!!! This is the real Delhi! haha... Dah la jalan sesak..bunyi hon jangan sebut la..macam suatu irama muzik di jalanan..kami mengutuk sambil gelak.

Sampai di Muhamadpur, teksi tanya nombor telephone hostel. Ha sudah...kawasan Muhamadpur ni luas, pemandu teksi tak pasti di sebelah mana kedudukan hostel walau dah ada alamat. Kami hanya ada alamat jer. Nombor telephone tak tulis. Memang susah la pemandu teksi nak cari. Setelah memusing di kawasan tersebut, pemandu teksi dah pening dan putus asa lalu diberhentikan saja kami di tepi jalan selepas pasar malam. Menganga la kami kat situ sekejap. Tidak mengapa kata bisikan hati, kami redho ...dah nasib.

Kami tengok-tengok dulu keadaaan sekeliling dan berjalan menuju hotel terdekat, kalau tak jumpa hostel, kami akan menginap di hotel tersebut. Badan letih kalau jalan memalam buta ni. Otak pulak tak boleh nak hadam keadaaan sekeliling yang suram. Masuk lobi hotel dan tanya pekerja di situ arah ke hostel. Alhamdulillah mereka membantu tunjuk arah. Namun akhirnya seorang pekerja mengekori kami dan terus membawa kami mencari lorong di kejiranan R.K Puram menuju hostel. Sedikit sesat kerana terlalu banyak lorong tapi akhirnya kami berjaya juga sampai di hostel. Alhamdulillah, kami diketemukan dengan orang-orang yang sedia membantu dikala kami memerlukan bantuan. Pekerja hotel tersebut membawa kami dan berjalan kaki bersama-sama kami sehingga ke pintu hostel.

Ruang lepak di hostel - Buddy dan Ohm

Lega kami dapat sampai ke hostel Jugaad, Jandhu Mansion lebih kurang pukul 11.00 pm. Hostel ni menyediakan dorm lelaki dan wanita berasingan. Dorm wanita ada 1  dengan 6 katil. Dorm lelaki ada 4 dengan 6 dan 8 katil setiap dorm. Bilik air semua berada di dalam bilik. Selesa dan bersih. Kedudukan hostel di tingkat 4, kene panjat ler tangga-tangga bangunan ni. Tiada lift disediakan. Atas sekali iaitu tingkat 5 ialah tempat lepak, terdapat bilik pekerja, dapur yang boleh memasak, tempat jemur kain dan boleh tengok kawasan sekeliling. Breakfast disediakan iaitu, roti dan jem, air pulak perlu dimasak sendiri la, cuma bahan seperti teh dan susu segar disediakan. Air mineral juga disediakan dan boleh ambil di dapor bila-bila perlu. Buddy booked hostel ni menggunakan booking.com.

Ohm....nama manager hostel ni, peramah dan fasih berbahasa Inggeris. Sangat banyak membantu kami ketika kami menginap di hostel ni. Walaupun hostel ni agak sedikit jauh dari pusat bandar, namun facility yang disediakan serta layanan pekerja membuatkan kami menggunakan semula hostel ini untuk menginap di Delhi selepas kami pulang dari wilayah lain di India. Hostel ini juga berdekatan dengan pasar malam yang menjual berbagai keperluan seperti sayuran dan buahan segar. Saya sempat membeli belah di hari terakhir di pasar malam sekitar hostel ini dan memasaknya di hostel bersama dengan penghuni-penghuni lain.

Kami mengembara di empat negeri disebelah utara India iaitu Haryana dimana terletaknya ibu negara India, New Delhi. Kemudian kami ke utara iaitu Himachal Pradesh yang ibu negerinya ialah Simla. Kami mengembara hampir ke keseluruhan negeri ini dari selatan ke timur sehingga ke sempadan Tibet, seterusnya ke utara dan turun semula ke selatan. Seterusnya kami turun ke negeri Rajasthan untuk menyambut Eid ul Adha bersama penduduk tempatan di Jaipur dan akhirnya kami ke Uttar Pradesh dimana terletaknya Taj Mahal. Tidak lengkap pengembaraan ke India Utara sekiranya tak lawati Taj Mahal. Kami akhiri pengembaraan dengan kembali ke Delhi dan menyelusuri Old Delhi untuk mencari beberapa kesan sejarah laluan perdagangan dulu kala dalam industri rempah dan textile.

Pengembaraan yang sungguh mencabar fizikal dan mental kami. Namun kami berjaya mengharungi segala nya demi sebuah cita-cita.

Sekian untuk mukaddimah pengembaraan ke India Utara untuk kali ini. 
Berjumpa di lain siaran
Wassalam

18 comments:

  1. wow.. dasat akak nye travelling kali neh. hehe.

    ReplyDelete
  2. Wow.. tak sabar nak tau cerita selanjutnya

    ReplyDelete
  3. Panjangnya maksu coti...suka bebenor agaknya dengan negara kari...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Panjang ker ? tak sampai pun sebulan.....haha
      Nak buat macamana kan...negara kari tu kos nya lebih murah daripada negara cheese...

      Delete
  4. banyaknya cuti hahaha..

    tak sabar nak tunggu entry setrusnya..kot2 boleh jadi pembakar semangat utk ke india pula lepas ne hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sikit jer cuti tu....hahaha

      In Shaa Allah, akan cuba menulis serajinnya..hehe

      Delete
  5. Wah Mak Su, pegi india tak ngajak pun hehehe

    pening nak kira pakai rupee

    ReplyDelete
  6. Bunyi sangat gigh menyambar tiket pertengahan tahun lepas??? waaa
    Tapi nampak macam puas hati je naik Malindo.. Berapa kali depa serve makanan? ada jual snack pape tak atau mintak je kalau lapar balik???

    Syarikat ape yang bagi cuti bebanyak ni?? jeles plak saye~ hehe

    Teruskan full entry... dah 2 tahun hajat pending nak jelajah bumi kari ni~ hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. beli tiket tu pertengahan tahun ni la doc.
      Yup, puas hati berbanding Air Asia.....served makan sekali jer la..hang ni pun....jual snack tu tak pasti sebab selalunya lepas makan akan lena sehingga tiba ke destinasi..muekekekeke

      tak dinafikan trip ke India ni mencabar tapi menarik! sila bersabar menunggu episod demi episod ye...

      Delete
  7. rindu mak su!!!!!!!


    dah tak boleh borak-borak dengan maksu!!

    chopppp !!
    kata nak hajak kita!!!!!!!!!!
    :P

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha....
      ye la kan,. sejak doc pindah branch klinik, Doc Lim yg gantikan doc tu boleh la jugak mendengar cerita trip saya sambil2 check hbp saya yang selalu tinggi ni...haha...

      Chopppp !!!
      Ade kata cenggitu ke dulu ??

      Delete
  8. hehehee.. tak sangka dah jejak balik tanah India.. sy baru emel akak aritu pasal nak g bangalore tu... Rhopenye akak ada plan lagi besor nak gi Delhi... seronok nye... yg sy dah lalui sendiri, org india mmg lebih jujur jika nak banding di malaysia ni (bangsa depa la).. kekeke... huiii seronok komeee.... tak tahan membace blog nih rase nok terbang terus gi melancongg... hehehee... p/s: seronoknye dapat ambik cuti panjang sepuas ati ... kekeke

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehehe.....
      kejap jer masa berlalu kan..tu tup dah ade kat India semula....
      Alhamdulillah, diketemukan dengan orang2 tempatan yang bersedia membantu seorang pengembara.
      Melancong memang seronok tambahan lagi kalau dapat pergi lama-lama....nikmat sebagai pengembara....hihi....

      Delete