Saturday 28 November 2015

Incredible India - Himachal Pradesh - Episod 5 - Ekspedisi ke Jajaran Himalaya Bermula - Perjalanan di Pergunungan dari Narkanda ke Sarahan di Wilayah Kinnaur

Assalamua'laikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca yang budiman.

Anda fikirkan perkataan-perkataan berikut :-

Sugarfree - tapi ingredient mentioned ada sucralose !!
Additive - plant and synthetic - Makna macam plastic
Natural and artificial flavorings !! Dah kata Artificial flavorings, boleh ada natural kah sebab bahan dah kena chemical atau bleaching ? 

Itu sedikit info daripada pakar holistic. Kena peduli apa yang kita makan dan masukkan ke dalam perut. Banyak penyakit disebabkan makanan yang kita makan terutamanya penyakit kanser, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi kolesterol jahat dan lain-lain. Elakkan atau sekurang-kurangnya minimakan memakan makanan yang telah diproses [processed product] dan yang diletakkan pewarna-pewarna tiruan.

Anda fikirkan pula perkataan-perkataan berikut :-

Apple hijau
Lemon
Kulit kayu manis 
Halba
Calery and carrot
Susu Kambing Segar
Minyak Zaitun
Bawang putih
Halia
Kunyit hidup

Ia merupakan sebahagian daripada penawar bagi penyakit-penyakit tertentu seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol jahat, kanser, irritable bowel syndrome dan lain-lain. Apa yang aku ingin maklumkan di sini ialah terdapat pencegahan untuk berbagai penyakit yang anda boleh dapati di dalam rumah anda sendiri atau lebih tepat lagi di dapor anda !!. Cari lah.

*********************************************************************************

Aku dan Buddy telah mengubah keseluruhan plan asal kami. Laluan bertukar arah ! Kami mengambil peluang yang ada untuk menyelongkar negeri Himachal Pradesh ini. Laluan Kinnaur - Lahaul & Spiti tapi kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyelongkar ke keseluruhan Wilayah Lahaul & Spiti ni. Cuma sebahagain sahaja. Laluan baru ini akan membawa aku ke sempadan Tibet. Lain kali aku akan terjah rancangan asal jika ada kesempatan di tahun-tahun mendatang. Tahun lepas masa aku ke China, aku juga mengembara ke Wilayah China yang bersempadan dengan Tibet iaitu Shangri La, kali ini juga sama, ke Wilayah Lahaul & Spiti di Himachal Pradesh yang bersempadan dengan Tibet ! Tak tahu lah bila aku akan masuk ke Tibet ! Asyik pergi ke sempadan dia saja.

Sempat bergambar kenang-kenangan bersama Nazir dan York sebelum kami memulakan perjalanan yang panjang di Wilayah Kinnaur, Lahaul & Spiti.

15 September 2015

Pukul 7.00 am, aku checked out dari Hotel Woodland. Pekerja hotel sini aku tengok boleh saja tidur merata-rata. Di atas sofa dan juga di atas meja panjang yang terdapat di lobby hotel. Semua tempat tidak menjadi masalah bagi mereka walaupun cuaca sejuk menyengat kulit di malam hari. Balut saja badan dengan selimut tebal. Berdengkur lah mereka sampai ke pagi.

Tangga di tepi hotel ni sedikit curam menuju ke jalan raya. Cuak juga aku membawa beg menuruni tangga-tangga ni. Takut tersilap langkah, boleh tergolek aku ke bawah. Sekeliling lereng gunung di kawasan hotel ini dipenuhi dengan pokok-pokok pine. Di tepi jalanraya dibawah hotel, van tourist telah siap sedia menunggu kami untuk memulakan perjalanan ke arah timur di Himachal Pradesh. Nazir memperkenalkan kami dengan pemandu yang akan membawa kami disepanjang pengembaraan ini. Kemudian kami di bawa ke hotel seorang lagi pelancong yang akan sama-sama mengikuti trip ini iaitu York yang berasal dari Jerman. Adalah dalam 7 kilometer mengikut jalanraya memusing lereng pergunungan ni sedangkan si Nazir hanya berjalan kaki dalam 15 minit sahaja dari hotel yang kami duduki ke hotel yang York duduki. "Jumpa di sana", katanya. Si Nazir sampai dulu daripada kami ! Dia berjalan ikut jalan pintas sedangkan kami memusing lereng gunung ni baru sampai ke hotel York tu.

Setelah mengambil York dan say hi hi bye bye to Nazir, kami pun memulakan pengembaraan ke timur. Kami melalui lereng-lereng gunung yang masih menghijau di kawasan jajaran himalaya ini. Setelah setengah jam memandu, kami berhenti untuk bersarapan di restoran yang terletak betul-betul di tepi lereng gunung. Pemandangan nya tak usah cakaplah. Speechless. Lembah menghijau yang sedang diselaputi kabus pagi. Suasana yang sangat tenang dan sejuk nyaman. Ramai pelancong yang berhenti di sini. Ada yang bersarapan seperti kami dan ada juga yang hanya melihat keindahan lembah gunung dari sini. 

Melihat kabus yang masih menyelimuti lembah gunung walau matahari mula memuntahkan cahayanya memanaskan kawasan pergunungan ini.

Banyak betul menu "dosa" ni..Aku pun terjebak sama memakan "dosa"

Mereka sedang menikmati "dosa"

"Masala Dosa"- hahaha - Bagi yang biasa memakan masakan India di kedai-kedai mamak di Malaysia, macam aku, pasti tahu apakah "dosa" ini. Cuma mungkin gravy nya berbeza. Tak dinafikan memang sedap.

Kenderaan rasmi aku di Himachal Pradesh. Jauh beza dengan kenderaan rasmi aku di Delhi..hehe

Aku membeli bekalan air mineral berbotol-botol disini. Lepas tu aku akan pindahkan ke dalam bekas air tupperware aku. Jadi tak lah aku tertukar botol dengan mereka. Aku bawa 2 bekas, satu untuk isi air mineral yang dicampur vitamin C dan satu lagi untuk air mineral sahaja. Begitu lah yang aku buat setiap hari disepanjang pengembaraan ini. Kami memang banyak minum air kosong. Itu sebab perut kami sihat walafiat. Jangan takut untuk minum air mineral ketika mengembara. Badan kita sememangnya memerlukan air yang cukup untuk meneutralkan asid dan mengeluarkan toxic yang ada di dalam perut dan usus. 

Kami menuju Narkanda. Dalam perjalanan pemandu memberhentikan kenderaan di tepi sebuah lembah yang dinamakan Green Valley. Wow ! Itu saja yang dapat aku ucapkan. Kawasan lembah pergunungan seluas mata memandang yang dilihat dari ketinggian 3,000 meter. Tetapi disebabkan kabus tebal, lembah yang luas menghijau itu tidak begitu menyerlah kejelitaannya di waktu pagi, tambahan pula cahaya matahari berada di hadapan aku. Tiada memori dalam kamera tetapi sangat segar dalam ingatanku. Kalau berada di sini diwaktu tengahari ke petang, aku pasti akan singgah lebih lama, hanya untuk menikmati keindahan alam yang berada dihadapan mataku. 

Apa ada di Narkanda ? Tiada apa-apa melainkan sebuah pekan kecil dan perkampungan di pergunungan. TETAPI puncak gunungnya sangat menarik. HATU PEAK ! Berada di ketinggian 3,400 meter atau 11,152 kaki dari aras laut. Cukup tinggi apabila kenderaan juga boleh sampai ke puncaknya. Jalan ke puncaknya melalui selekoh tajam dan menyeramkan bila ternampak kenderaan lain dari arah hadapan. Setiap kali bertembung dengan kenderaan lain, pemandu terpaksa melihat kebarangkalian tempat-tempat yang boleh berselisih dengan selamat. Hon kenderaan sentiasa ditekan teruatamanya ketika hendak melalui selekoh kerana pemandu kadang-kadang tidak perasan kenderaan yang datang dari arah hadapan. Kecekapan memandu di lereng gunung dengan keadaan jalan yang sempit dan tidak rata di tepi jurang amat diperlukan di sini. Jantung aku senantiasa berdebar tiap kali kenderaan ini berselisih dengan kenderaan lain dan ketika posisi kenderaan kami berada di sebelah gaung instead of berada di sebelah bukit. Tak berani mata aku nak menjeling keluar tingkap. Gayat dan cuak walau pokok-pokok pine yang berdiri tegak di lereng menyejukkan pandangan mata. Cuba anda bayangkan tayar kenderaan yang hanya beberapa inci dari gaung. Silap kiraan inci, anda boleh tergolek dan terbalik menuju ke jurang gunung.

Aku sampai ke puncak tanpa perlu memaksa lutut-lututku dan memerah keringat mendaki gunung..hehe

Jadinya, kami pun bergediks la sehingga muak.....

"Cepat la petik butang kamera tu moksuuuu, gayat ni" katanya. "Ok ok, jangan pandang belakang", aku kata, sambil tangan terkial-kial nak setting semula kamera ni..hehe


Untung la, dia mampu lompat batu-batu dan sampai kat situ dan goyang-goyangkan kaki sambil menyanyi lagu kabhi kushi kabhi gham hampir 20 kali...

Aku perati dari sini jer sambil rehat tarik nafas..

Nak menjerit, menyanyi, melompat dan nak buat apa-apa saja aksi disini. Tiada manusia selain kami ber-3. Nak berguling jer tak berani nak buat takut terguling ke dalam gaung. Pemandu kami tunggu didalam kereta saja. Bila dia tengok kami ni macam tak turun-turun dari puncak tu dia pun keluar dari kereta dan berjalan di sekeliling kawasan dan melangut dari jauh melihat aksi-aksi kami disini.

Jeritannya memecah kesunyian penghuni di sini.

"Maksu dah tak larat nak turun naik menerjah ke setiap sudut di Hatu Peak ni. Hang pi la tangkap gambar hang sendiri".


Duduk saja diam-diam disini. Tak perlu buat apa-apa. Tengok ke lembah di bawah sana dan juga disekeliling alam dan tinggalkannya di kotak memori.

"Moksuuuuuu.....Sonu dah panggil...nanti lewat sampai Sarahan katanya"..Jerit si Buddy ke aku dari jauh..."ok ok"- aku lambai jer, namun nak turun dari situ liat la sesangat. 

Cuaca cerah, matahari memancar dan langit membiru. Memang terbaik lah perjalanan hari ini. Pemandu kami bersama Sonu. Sangat cekap memandu di lereng gunung. Kami turun daripada Hatu Peak menuju ke Rampur. Turun dari puncak gunung tapi masih di pergunungan. Turun gunung nampak kawasan dataran yang menghijau disebelah sungai. Sungai yang membelah dua pergunungan. Pemandangan tersebut membuat aku teringat pengembaraan aku di Wilayah Shangri La China. Pemandangan yang sama cuma di lain negara.


Singgah bergambar di pertengahan perjalanan dari Narkanda ke Rampur. Kehijauan itu sangat menenangkan.

Jalinan jalanraya di lereng gunung tidak lah begitu baik. Hanya satu lorong di kebanyakan kawasan dan memang menggerunkan. Bila turun ke kawasan lembah, jalan rayanya sedikit lebar tetapi kebanyakannya pula dibina bersebelahan dengan sungai. Aku tengok jalanraya di wilayah Himachal ni banyak yang sedang dibaik pulih dan dilebarkan. Ada juga di beberapa kawasan sedang dibuat jalan baru. It is a massive construction. Berdebu sana sini. Mungkin 2-3 tahun lagi siap la tu. Masa tu memang best la mengembara guna kenderaan di sini. Tak lah sakit bontot, perut dan usus bila asyik melambung saja duduk dalam kenderaan. Tapi ada juga jalanraya nya hanya batuan sahaja yang tinggal. Tar nya dah hilang ditelan masa dan berlubang sana sini. Aku tak nampak pulak tanda-tanda ianya akan dibaik pulih. Mungkin ikut phase tertentu agaknya.

Ni ok lagi boleh berselisih dengan aman tenteram tanpa gaung di sebelah menyebelah

Jalanraya yang berbatu dan berdebu. Tiada bertar serta sempit. Kalau berselisih di antara kenderaan terutamanya lori dan bas, salah satu kena berhenti dan bagi laluan. 

Jalinan jalanraya di lembah pula dibina bersebelahan dengan sungai sebab tanah di sekelilingnya lebih luas.

Kami sampai di Rampur waktu tengahari. Terus membuat lawatan ke sebuah istana yang dibina awal kurun ke 20. Tiada pelancong yang melawat istana ni melainkan kami sahaja. Cantik senibina nya. Istana ni berkunci jadi kami tak dapat nak lihat rekabentuk dalamannya. York cuba nak gegarkan pintu utama istana ni tapi tak berjaya..haha...

Padam Palace. Memang cepat padam la.


Singgahsana di tepi padang

Berehat di bawah sepohon pokok

Kecil sahaja istana ni. Dari jauh nampak macam rekabentuk istana melayu dulukala 

Rekabentuk silingnya pun cantik. Sungguh berseni orang India ni 

Dari sudut singgahsana taman menghala ke istana

Di zaman serba moden ni, rumah-rumah orang kaya pun lebih besar daripada istana ni.

Istana Padam ni terletak di laluan menuju ke Sarahan, sebab itu lah kami singgah sebentar di sini sambil melihat pekan kecil Rampur ni. Kemudian kami meneruskan perjalanan mendaki lereng-lereng gunung menuju Sarahan. Sepanjang perjalanan mendaki menuju Sarahan, kiri kanan dan sepanjang lereng gunung di sini ditanam dengan tanaman apple. Aku mengembara di musim menuai apple. Sungguh cantik melihat apple orchard disekelilingku dengan buah-buahnya yang lebat. Ada yang telah dituai dan ada lagi yang masih banyak bergantungan di atas pokok. Himachal Pradesh adalah pengeluar apple terbesar India. Apple merahnya manis dan fresh. 

Perkampungan di Sarahan dari beranda luar bilik aku di sebuah hotel

Kami sampai ke hotel penginapan ketika hari hampir senja. Jauh memanjat lereng gunung. Memanjat semata-mata nak duduk di atas gunung. Nak jadi orang gunung. Nak rasa cuaca gunung yang sentiasa sejuk gediks. Nak duduk dengan alam. Nak hirup bayu segar dan bersih dari gunung. Nak pergi jauh dari kesibukan dan kebingitan kotaraya. Nak tengok puncak gunung bersalji di hadapan mata disepanjang perjalanan walau musim sejuk belum bermula. Kalau dah masuk musim sejuk, kawasan sini tidak dibuka kepada pelancong kerana saljinya tebal dan menyukarkan kenderaan melalui lereng-lereng pergunungannya.

Malam nya, aku keluar dan berjalan-jalan di kawasan Sarahan ni. Sebuah pekan kecil di atas gunung. Aku cuba mencari restoran full vege dengan harapan untuk menjamah sedikit capati. Aku dan buddy berjalan dan terus mencari hingga ke hujung kawasan. TIADA !!! Sampai hujung jalan, aku diberitahu oleh si Buddy dia ternampak ada satu kedai kaum Tibet. Kami terus jalan tuju ke kedai yang di punyai oleh suku kaum Tibet tersebut yang tertulis "full vege" dihadapan kedai mereka. Aku tanya beberapa soalan kepada mereka. Ok. Aku kata ke Buddy, jom balik semula ke bilik dan kita makan oat segera dan buah pisang serta apple. hahaha

Malam tu juga beberapa kali bekalan elektrik terputus. Nak caj segala gadget juga sedikit terganggu. Lampu picit dan powerbank banyak membantu aku di dalam situasi begini. Bila bekalan elektrik terputus, satu gunung bergelap. Langit juga gelap. Rasa duduk dalam kubur. Tapi sejuknya jangan cerita la. Angin bergerak selembut 1km/hour pun boleh menggigil berlaga gigi

Lihat puncak gunung yang mula diliputi salji menandakan musim sejuk akan bermula tak lama lagi

Aku tidur malam tu dalam kesejukan teramat. Tapi tetap lena sampai ke pagi. Yang penting bangun pagi air panas tetap ada dalam bilik mandi. Jadi tak la fobia ambil wuduk pepagi buta ni.

Sekian untuk episod kali ini.
Semoga berjumpa di lain siaran
Terima kasih kepada semua pembaca yang berkunjung ke blog ini.

Sunday 15 November 2015

Incredible India - Simla - Episod 4 - Di Celah-celah Kehidupan Penghuni Gunung dan Menikmati Cuaca Sejuk Nyaman di Bandar Pergunungannya

Assalamua'laikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca.

Alhamdulillah, jerebu nampaknya sudah reda dan langit kembali terang dan membiru. Tetapi, musibah lain pula mula melanda negara. Banjir dan tanah runtuh. Jaga keselamatan dan kesihatan semua. Banyakkan minum air kosong dalam kehidupan seharian, sebaiknya tambah perahan lemon dan masukkan bersama kulit lemon di dalam air minuman tersebut. Lemon baik untuk mengeluarkan toxic yang terkumpul dalam badan. Lemon yang bersifat asid pada asalnya akan bertukar menjadi alkali bila masuk ke badan kita. Lemon adalah sumber terbaik untuk mendapatkan Vitamin C. Ia juga mengandungi Vitamin B6, potassium, folic asid dan phytochemical limonene yang penting yang diperlukan oleh system badan manusia. Ia juag merupakan sumber anti kanser semulajadi. Menakjubkan kan. Makan lah buah-buahan dan sayuran segar serta elakkan atau sekurang-kurangnya minimakan penggunaan bahan-bahan kimia dan pewarna dalam masakan kita. Kita sendiri lah yang menentukan apa yang masuk ke dalam badan kita samada racun atau penawar. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Terkesima aku melihat pakcik ni mengerah keringat diusia sebegitu mengangkat bebanan sambil mendaki tangga-tangga di Middle Old Bazaar, The Mall di bandar pergunungan Simla. Walau cuaca agak sejuk pagi tu, namun aku lihat peluh mencurah-curah dari mukanya membasahi jambangnya dan akhirnya jatuh ke lantai bumi.

Berada di dataran tinggi dengan cuaca yang sederhana sejuk amat aku sukai. Walaupun nak masuk ke bilik air dan mengambil wuduk diwaktu subuh itu sesuatu yang menyeksakan badan akibat kesejukan, ia bukan lah masalah besar bagi aku. Tangki air panas yang terdapat di dalam bilik air mengurangkan kegelisahan otak. Buka pintu balkoni, menyelinap udara sejuk pagi menyentuh pipiku. Menggigil aku seketika. Melihat terbitnya mentari pagi menyinari pergunungan di Simla ini amat memukau pandanganku. Keadaan sekeliling yang sunyi dari bunyi kenderaan dan kabus pagi yang tebal yang sedikit demi sedikit menghilang disinari mentari menyejukkan pandangan mataku. Lama aku mengelamun di luar balkoni hanya untuk melihat alam. Menarik nafas dalam-dalam kemudian lepaskan, sungguh segar terasa di paru-paruku. Berfikir tentang keindahan alam ciptaanNya dan betapa bersyukurnya aku boleh sampai ke sini dimana suatu masa dahulu hanya merupakan suatu angan-angan berada di pergunungan ketika menonton filem-filem hindi. Udaranya yang segar dan bersih, langit berawan dan suara unggas masih boleh kedengaran dari lereng gunung bersebelahan bilik hotel yang aku duduki.

Jajaran Pergunungan Himalaya yang disimbah mentari pagi

Simla adalah sebuah bandar pelancongan. Banyak hotel-hotel dipacak di lereng gunung

Petang semalam, Buddy ada tanya aku samada aku berminat untuk mengambil tour package untuk mengembara di negeri Himachal Pradesh ni. Kalau nak travel menggunakan pengangkutan awam di Himachal ni mau makan masa beberapa bulan dan tak semua kawasan terpencil dapat dimasuki oleh kenderaan terutama bas. Kebanyakan pengembara yang tak berapa nak tegar macam aku ni akan menggunakan tour agency untuk mengembara di wilayah di jajaran himalaya ni. Buddy sebenarnya disapa oleh seorang tour agent dihotel ni yang menjalankan business tour agency nya disini. Aku pun tak tahu lagi apa ada di Himachal Pradesh ni dan daya tarikan untuk pelancong selain bandar dipergunungan seperti Simla dan Manali. Itu pun sebab dulu selalu sangat tengok filem hindi, jadi melekat nama-nama tu dalam memori kepala aku ni. Aku tanya semula apa laluan dia, bagaimana dengan pengangkutan yang digunakan dan corak perjalanan, berapa ramai yang terlibat, berapa hari dan apa yang best sangat dengan laluan yang dicadangkan tu. Ini kerana kalau aku setuju dengan perubahan laluan pengembaraan ni daripada apa yang telah aku rancang, ia melibatkan perubahan kepada keseluruhan jadual pengembaraan aku ni. Buddy memang tak boleh jawap la soalan-soalan aku tu sebab diapun baru nak pikir laluan baru tu. Jadi dia bawa aku pergi jumpa tour agent tu kat office dia di kawasan lobi hotel. Nazir, berbangsa Kashmir dan beragama Islam, telah lama membuka tour agency nya di sini. Berbincang la kami begitu dan begini dengan cadangan-cadangan yang diberikan. Hampir senja kami berbincang dan mendapatkan kata putus. Apa yang aku dapat simpulkan tentang perbincangan kami berkaitan dengan cadangan laluan tersebut ialah ianya sesuatu yang menarik untuk diteroka, sesuatu yang baru dan semestinya akan mencabar fizikal dan mental.

Pagi ni aku dan Buddy nak menghabiskan masa kami seharian di bandar Simla sahaja dengan melihat rentak kehidupan di bandar pergunungan ni. Melihat budaya orang gunung dan cara hidup masyarakatnya. Menghayati keindahan pemandangan pergunungannya, menikmati cuaca gunung yang sejuk nyaman serta menghirup udara segar disini. Seawal 7.30 am kami dah keluar dari hotel, berjalan menuju Old Bazaar yang jauhnya berjalan kaki lebih kurang 2 km di celah-celah bangunan yang berselerakan di lereng-lereng gunung. Tapi tak terasa letih sebab otak sibuk menghayati pemandangan sekeliling di lembah pergunungan. Lagi pun kami berjalan menuruni lereng-lereng gunung dan tiada bebanan yang berat di belakang bahu, jadi tak terasa tekanan sangat pada lutut aku ni.

Berjalan kaki di tepi lereng gunung di kawasan penginapan sambil menghirup udara segar.

Sampai di Middle Bazaar, The Mall, kami terus menuju ke Masjid Jama', pergi semula ke kedai Chacha semalam. Bukan tak ada kedai lain, cuma aku rasa selesa di situ. Malam tadi pun si Buddy pergi makan malam dengan Nazir, pengusaha pelancongan yang baru dia jumpa tu pun di kedai Chacha ni jugak. Tapi pagi ni aku tak nampak kelibat Chacha. Hanya anak dia yang berada di dapor. Kami bagi salam dan terus mencari meja di suatu sudut dalam kedai. Kami bersarapan sebagaimana orang tempatan bersarapan. Ikut cara mereka, rasai makanan mereka. Tiada nasi lemak, roti canai atau segala gorengan. Sarapan yang sangat simple. Hanya capati yang disapu cheese. Aku terfikir semula, sihat kah makanan yang kita makan setiap hari itu? Aku selalu membuat perbandingan bilamana aku mengembara ke luar negara. Sungguh berbeza. Makanan kita amat mewah, kebanyakannya berminyak, manis dan bukan saja pelbagai malah penuh dengan segala bahan kimia yang terdapat dalam makanan dan toxic masuk ke dalam perut. Selamat dan berkhasiat kah makanan kita ?.


Pintu masuk ke kawasan Masjid Jama' di Middle Old Bazaar Simla

Di sini, capati adalah makanan ruji mereka. Itu lah juga yang aku makan. Capati mereka berbeza dengan capati di Malaya. Rasanya juga sedikit berbeza. Tekstur nya juga berbeza. Kuantiti nya juga berbeza. Lebih lebar, lembut dan sedap. Mungkin tepung yang digunakan lebih berkualiti daripada apa yang kita gunakan di Malaya. Capati tersebut di panggang di atas api kemudian disapu dengan cheese. Itu sahaja. Terus makan. Tapi kelembutan capati tu amat cepat diambil alih oleh cuaca sejuk disini. Lembutnya tak lama, bila lama terdedah dengan cuaca sejuk ni dia akan cepat mengeras. Kena makan cepat-cepat.  Tetapi bagi orang yang tidak menggemari capati mungkin agak sukar hendak menelan nya di sini. Terdapat kuah kalau nak cicah dengan capati tersebut tapi aku tak pasti apa kuah yang dia cicah sebab aku tak berminat bila tengok kuahnya yang cair. Yang pasti ia bukan dhal. Berbeza. Ada juga yang makan capati ni dengan merendamnya ke dalam chai panas. Macam-macam cara. Aku cuba meniru cara mereka makan namun tak mampu aku nak menghabiskan keseluruhan capati tersebut. Cuma satu yang aku sangat suka iaitu chainya, sedap, tambahan pula kalau dicampur dengan halia. Tapi aku cuba minimakan meminum chai ni kalau aku singgah di mana-mana restoran kerana kebanyakan chai di sini dimasak dengan ditambah gula yang banyak. Kadang-kadang keterlaluan manisnya. Jika anda berkesempatan ke utara India, cuba anda minum chainya, terutama chai yang ada halia, memang sedap, tapi lepas minum chai kena minum air mineral banyak-banyak. Ada masanya aku ketagih juga dengan chai ni....di lain hari dan di lain tempat. hehe.. Rupa-rupanya meminum segelas chai di atas gunung di dalam cuaca yang sejuk nyaman sememangnya memberi nikmat pada tekak....haha


Sekeping capati yang disapu cheese dengan segelas chai
Kawasan hadapan Masjid Jama', di Middle Old Bazaar Simla

Selepas bersarapan, kami melangkah semula menuruni tangga-tangga di lereng pergunungan ni. Hari masih pagi dan cuaca masih sejuk gedik. Banyak kedai-kedai di lereng gunung ni yang masih belum dibuka. Dari tangga masjid, aku melihat ke bawah, ke Lower Bazaar. Sampah sarap masih bertaburan di sepanjang lorong-lorong sempit dan juga terdapat longgokan sampah di tepi tangga. Ia belum dibersihkan lagi. Mungkin malam tadi gerai-gerai di tepi jalan ni ditutup lewat agaknya. Monyet-monyet pula sedang melintas di talian yang terdapat disepanjang bazaar ni mengintai apa saja kemungkinan dan peluang untuk mendapatkan makanan untuk sarapan pagi ni.  Aku tak mampu nak keluar malam tadi setelah seharian aku berjalan bersama gendongan yang berat di belakang bahu. Memang penat. Lagi pun malam di sini amat sejuk dan bazaar ni jauh dari hotel tempat aku menginap. Jadi aku tak dapat nak gambarkan kehidupan malam di sini. Malam tadi lepas makan malam dengan Nazir di kedai Chacha, si Buddy terus balik ke Hotel. Aku tanya dia kenapa balik awal, kan malam masih muda. Dia kata memang tak boleh nak berdiri lama-lama kat luar, sejuk sampai ke tulang, katanya.

Habis bersarapan, pergi sedut shisha ni dulu ditepi dapor restoran

Kami berjalan menyelusuri lorong-lorong sempit di lereng gunung ni. Melihat aktiviti penghuni gunung di pagi hari dalam memulakan rutin harian mereka dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Merakam beberapa wajah yang memberi berbagai maksud. Wajah yang tidak dapat disembunyikan daripada lensa kameraku.


Anak panah menunjukkan kawasan yang selalu menjadi tumpuan pelancong di Simla 

Aku menuruni tangga di tepi masjid, seketika mataku terpaku melihat seorang tua mengangkat bebanan yang besar lagi berat sedang meniti satu persatu anak-anak tangga dengan berhati-hati. Mengelak dari manusia dari arah hadapannya. Bila dia lalu di sebelah aku, terdengar bunyi nafasnya yang kuat menghembus. Aduhai...dalam usia sebegini, lututnya masih kuat dan dia masih mampu menggunakan tulang empat keratnya memikul bebanan yang entah berapa kilo di belakang bahu. Satu kerja yang amat berat bagi aku.   


Banyak pengajaran yang aku dapat dari pakcik ni. Jaga lah lutut anda. #tetiba

Selepas pakcik yang mengangkat bebanan tersebut hilang daripada pandanganku, aku terus menuju ke suatu kawasan lapang di belakang masjid. Dari sini, aku boleh melihat terus ke bawah iaitu ke lower bazaar. Lama aku melepak di sini. Melihat penghuni gunung melakukan aktiviti dipagi hari.


"Oh Chacha !! Usia kita sangat berbeza jaraknya....tapi kita sama-sama pakai tongkat sakti untuk daki anak-anak tangga ni!!!"....

Masjid Jama' dari kawasan belakang

Menghayati pemandangan pergunungan daripada Middle Bazaar, The Mall Simla di waktu pagi

Merenung masa depan.....

Padat - Bangunan dan juga penghuninya

Aku dan Buddy kemudiannya berjalan-jalan di Middle Bazaar sehingga ke hujung. Kami tersekat di pagar sebuah sekolah. Tiada jalan keluar memaksa kami untuk berpatah semula. Terjumpa dengan sekumpulan kanak-kanak sedang berehat atau mungkin juga sesi persekolahan mereka lewat bermula agaknya. Lagi sekali lensa kameraku menghala kepada mereka. Ada yang malu-malu dan ada yang memberikan kerjasama untuk bergambar denganku.

Menuju ke sekolah


Aku disebuah lorong di Middle Bazaar berhampiran dengan sekolah

Wajah-wajah comel kanak-kanak Simla

Aku nak bergambar dengan budak-budak sekolah ni saja. Tapi ada juga orang dewasa yang nak menyelit sama. Bila masa dia muncul aku pun tak sedar. Ai seh.....

Kami terjumpa sebuah terowong di middle bazaar. Ramai penghuni gunung ni yang berjalan di dalam terowong. Atas rasa ingin tahu kemana arah terowong tersebut, kami juga cuba berjalan di dalam terowong ni. Panjang terowong ni lebih kurang 250-300 meter, Sampai di hujung terowong sana, baru aku perasan yang kami telah sampai ke suatu kawasan lain yang dinamakan Lakkar Bazaar, ada jalan pintas rupanya, tapi bazaar ni mengadap ke lembah yang lain di pergunungan ni. Rupa-rupanya terowong tersebut membelah puncak gunung ini kebahagian yang lain. Kalau tidak penghuni gunung terpaksa memanjat sehingga ke dataran dan turun semula. Semalam ketika kami berjalan mencari hotel, kami telah melalui Lakkar bazaar ni, tu yang aku boleh perasan. Di atas terowong yang kami lalui terletaknya dataran atau The Ridge, tempat mereka berpesta dan melakukan keraian seperti festival apple. Ketika musim sejuk pula, dataran ini akan dilitupi salji dan dijadikan tempat ice skating or sledging. Menarik kan!

Berjalan di lereng gunung ni kena berhati-hati, takut tersilap langkah boleh terjelebok jatuh. Elok kalau bawa tongkat sakti macam aku. Kalau di musim sejuk dan bersalji pula, keadaan tangga-tangga dan jalan menjadi licin. Tambahan pula berjalan di lereng-lereng gunung. Lagi menakutkan kalau tak pakai kasut yang bersesuaian. Boleh buat ice skating dimana-mana. Silap percaturan, ice skating ke gaung terus.

Dua orang bergerak serentak mengangkut bebanan di Lakkar Bazaar dalam keadaan mendaki.Aku terkedu setiap kali aku melihat mereka. Tiada perkataan yang dapat aku ungkapkan sambil anak mataku terpegun sehingga mereka hilang dari pandangan

Aku terjumpa lagi bebarapa orang pekerja yang sedang mengangkut barangan memanjat tangga-tangga di Lakkar Bazaar pula. Cepat-cepat aku halakan kameraku kepada mereka. Ada yang perasan dan sebaliknya. Aku terfikir, kenapa mereka tidak menggunakan binatang seperti keldai, kuda atau unta ? haha....mungkin binatang-binatang tu tak ada di sini.

Berapa kilo agaknya barangan yang di kendong - Demi sebuku roti dan kelangsungan hidup, terkedu aku melihat kesukaran mereka dalam menjalani kehidupan di pergunungan ini - Lakkar Bazaar

Ketika aku cuba menghalakan kameraku kepadanya, tetiba dia terperasan.

Ketika aku memerhati gelagat manusia dan kehidupan mereka di sini. Aku tidak jumpa pun orang tempatan yang obes !!!!!... Macam aku !!! Hahaha... #Muhasabah diri#. Harus aku berhijrah ke gunung ni...

Sakit tulang belakang aku tengok!! Bergenang air mataku seketika.

Dari Lakkar Bazzar, aku dan Buddy naik semula ke dataran. Memanjat anak-anak tangga di celah-celah bangunan. Kami berehat sebentar di sana. Menarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Melihat ke sekeliling pergunungan 360 darjah. Indahnya pemandangan pergunungan dihadapan mataku. Melihat pula ke lembah, hijau nya alam. Cuaca pula memihak kepadaku pada hari itu. Cerah dengan langit yang membiru.

Dataran tertinggi " The Ridge" di Bandar Simla. Nyamannya berada di sini.

Bangunan perpustakaan dan Gereja yang terdapat di "The Ridge"

Aku kemudian menyambung perjalanan daripada dataran "The Ridge" menuju ke The Mall semula. Memaksa kakiku semula untuk memijak anak-anak tangga menuruni lereng gunung.The Mall terletak di antara The Ridge dan Middle Bazaar. Bangunan-bangunan di sini lebih moden. Kawasannya juga lebih luas berbanding middle dan lower bazaar. Ramai orang lebih suka berjalan kaki di kawasan sini. Sudah tentu banyak pelancong aku lihat. Juga ramai warga tempatan yang bersiar-siar di kawasan sekitar. Ada yang berdiri melihat orang yang lalu lalang atau duduk di kerusi yang terdapat di kawasan sekitar dan bersembang sesama mereka. Aku melihat kehidupan di bandar pergunungan ini sama seperti cuacanya juga. Tidak tegang, lebih santai dan tenang.  

Aku duduk bersama-sama warga tempatan di kerusi yang terdapat di lereng gunung untuk melihat kehidupan di sini. Relax dan bersantai-santaian

Perempuan juga bekerja sebagai buruh binaan.

Aku dan Buddy kemudiannya sampai di hujung Bazaar di The Mall Road. Penat berjalan rasa nak minum kopi. Kami masuk ke sebuah cafe di tingkat atas sebuah kedai.

Sekadar minum kopi dan merehatkan kaki seketika

Dalam entry yang lepas, aku ada cerita yang si Buddy dah beli simcard tempatan ketika di Delhi. Maka mudah lah dia nak layari internet di merata ceruk rantau di India ni kan. Aku pula masih sibuk bertanya pada pekerja cafe ni jika mereka menyediakan wifi free. Tak ada okay. Kecewa aku. Lepas minum kopi, aku tinggal kan Buddy kat cafe ni bersama internetnya. Tak boleh jadi, kata hati aku. Aku tanya pekerja cafe dimana aku boleh beli simcard. Seterusnya aku berjalan di sekitar The Mall menuju kedai telecommunication dan membeli simcard tempatan akhirnya.

Apabila membeli local simcard, dokumen dan maklumat berikut diperlukan :-
1. Photostate passport - boleh photostate di kedai telecommunication kalau mereka ada mesin la.
2. Gambar berukuran passport sekeping - aku memang sentiasa bawa gambar aku bila mengembara.
3. Alamat hotel dan nombor bilik.
4. Bayaran. - masa ni aku kena bayar 250 rupees.

Selesai daftar, aku diminta untuk call customer service pada pukul 9.30 malam lebih kurang untuk activate internet. Mudah saja.

Di sekitar The Mall Road

Kemudian, aku turun semula ke middle bazaar untuk makan tengahari di restoran Chacha, Terserempak semula dengan si Buddy di pertengahan jalan. Senang saja nak cari dia. Samada di kedai makan atau berhampiran kedai makan. Dia kan pantang lapar. haha.. Kami pun masuk semula ke kedai Chacha untuk makanan terakhir kami di bandar pergunungan Simla. Seterusnya kami berjalan ke lower bazaar. Kehidupan petang semakin rancak di sini. Jumpa pula kedai telephone. Aku beli screen protector untuk spesis gopro aku ni. Murah dan murah...haha....Harga handphone di sini lebih kurang sama saja dengan di Malaya.

Muka lapar....dah tu...jom kita masuk ke kedai Chacha...

Sambil jalan aku snap gambar. Ada saja yang siap sedia...haha - Lower Bazaar

Di lower Bazaar, aku jumpa masjid yang kedua. Kashmiri Masjid namanya. Tapi aku tak jumpa pintu masuknya. Bila aku tanya penduduk tempatan tentang jumlah masjid di sini. Ia amat mengecewakan. Sebelum kemerdekaan India daripada British. Masjid banyak disini. Tetapi sekarang tinggal beberapa buah sahaja. Hanya dua buah yang aku jumpa sepanjang aku berjalan di kawasan sini.

Kashmiri Masjid, Lower Bazaar, Simla


Lower Bazaar, Kawasan jualan sayur dan buah-buahan. 

Sabar menunggu pelanggan.

Penimbang antik yang masih digunapakai

Di kawasan ni, aku membeli pisang dan buah apple yang segar untuk bekalan makan malam nanti. Jangan kena curi lagi dengan si monyet dah la kan. Aku perlu kembali semula ke hotel kerana ada perbincangan dengan Nazir dan seorang pelancong Jerman pada pukul 4.30 pm nanti. Dari Lower Bazaar, aku memandang ke atas, cuba mencari bangunan hotel yang aku duduki. Nun jauh di puncak. Luruh jantung aku rasa bila mana aku harus memanjat kembali anak-anak tangga yang bersimpang siur untuk sampai ke sana.

Bersambung....

Terima kasih sudi membaca dan semoga berjumpa di lain episod.