Sunday, 7 February 2016

Incredible India - Himachal Pradesh - Episod 8 - Mengenali Masyarakat Tibet dan Perkampungan Tertinggi di Kedudukan 3,060 Mtr Dari Aras Laut

Assalamua'laikum warohmatullahi kepada semua pembaca yang beragama Islam dan salam siang dan malam kepada semua pembaca non-muslim. Bertemu lagi kita di alam maya dengan cerita-cerita penglipurlara menjejaki pergunungan di Utara India. Gunung, gunung dan gunung...itu saja la yang terlintas di kotak fikiran aku bila menyebut tentang pengembaraan. Gunung mana la pulak lepas ni aku nak jelajah. Perkongsian cerita pengembaraan aku ke Himachal Pradesh ni pun tak tau bila nak habis dicatatkan di sini. Tapi yang pasti pengembaraan aku yang akan datang pasti akan ke gunung juga...hahahahaha....
Berpagi-pagian di laman belakang hotel Rakpa Regency, Kalpa. 

Pagi di Rakpa Regency Hotel. 18 Sept 2015. Sejuk menggigit-gigit kulit. Tiada heater, tiada hot blanket. Tidur lah aku dalam kesejukan gunung berbalutkan selimut tebal. Tapi tetap lena dan bangun ikut masa. Cuma ada hot water. Sudah memadai untuk memudahkan aku mengambil wuduk. Alhamdulillah, atas nikmat yang Allah berikan. Tidak perlu mengeluh sedangkan terdapat berbagai-bagai nikmat Allah berikan kepadaku yang tidak terhitung banyaknya. Paling utama adalah nikmat kesihatan yang memungkinkan aku ke sini.

Pemandangan pergunungan dan kicauan burung dipagi hari. Mendamaikan. Tenang. Indahnya lukisan alam, tiada kata dapat membicarakannya. Buka pintu balkoni. Huhuu....angin sejuk menyelinap masuk. Aku gagal untuk berdiri lama-lama di balkoni.  Dari balkoni bilik aku tengok laman di belakang hotel, tempat aku melepak makan-makan. Tetiba perut ku berkeroncong. Aik !!! Awal sungguh perut itu minta di isi. Aku bersiap pakai berlapis-lapis baju dan terus turun menuju ke laman. Wow...Lagi sejuk tapi pemandangan gunungnya pun...wow... Melihat puncak gunung di simbah mentari pagi.  

Seketika, datang la pelayan hotel bertanyakan menu sarapan aku pagi tu. Tiada yang istimewa melainkan paratha dan telur dadar sahaja. Telur dadar ni orang Paghit panggil omelet. Cukup la. Sambil-sambil makan boleh hadap ke gunung melihat alam dan berselfie bagai. Makanan yang sedang panas diletakkan di atas meja kami pun cepat sangat diambil alih oleh sang cuaca. Pedulikan, sejuk pun kami kunyah juga. Kami bertiga sahaja berada di laman hotel pagi tu. Si Sonu pun bersarapan di dalam bangunan. Tak mampu dia nak duduk lama-lama diluar laman hotel ni macam kami. Aku dan mereka ? Ada keme kesah !!!

Kami bertiga sahaja tergedik-gedik nak bersarapan di luar bangunan. 

Cuaca baik hari ini untuk kami meneruskan perjalanan. Lepak lama sikit kat laman hotel ni sambil tengok matahari naik. Panasnya idok juga.

Berselfie sambil tunggu makanan sampai dan menyejukkan kopi. Hari ni kami keluar agak lewat kerana destinasi seterusnya tidak memakan masa yang lama dan cuaca nampaknya menyebelahi kami hari ini. Punggung kami juga seolah-olah melekat di kerusi laman hotel ini dan mata kami segar melihat kehijauan alam dan puncak-puncak gunung. Kaki pula amat berat untuk meneruskan langkah meninggalkan tempat ini.

Lepas bersarapan, kami bersiap untuk ke destinasi seterusnya. Semakin ke timur, semakin bergondol gunung-ganangnya. Semakin jauh dari penempatan manusia. Semakin sunyi jalannya.Kami turun dari hotel atas gunung ni menuju ke jalan utama. Pemandangan keliling dengan buah epal yang hampir masak bergayutan di dahan-dahan. Rasa nak capai jer tangan ni sambil lalu. Tapi imanku menyatakan sebaliknya. Haha....

Ketika kami turun ke lembah suatu gunung, kami terserempak dengan dua buah bas yang saling bergeseran antara satu sama lain. Di jalan yang sempit di tepi gunung, mereka berhempas pulas mengawal kenderaan masing-masing untuk melepaskan kenderaan mereka daripada tersekat atau terjatuh ke bawah sana..

Dari jauh kami dikejutkan dengan situasi genting di sini....Sonu memberhentikan kenderaan kami di tepi jalan dan kami cuma memerhati dengan tekun kejadian ini. Live depan mata aku...

Aku zoom bagi nampak lagi dekat...Pertembungan antara bas awam dan bas sekolah. Dalam bas yang berwarna hijau tu penuh dengan kanak-kanak sekolah. Aku pula yang terjerit-jerit di dalam kenderaanku apabila melihat bas yang berada disebelah gaung sedikit demi sedikit bergerak ke belakang dan kehadapan serta mengawal kenderaannya dan seterusnya terpaksa bergesel dengan bas sekolah. Sungguh berisiko memandu di kawasan sebegini. Nyawa betul-betul dihujung tanduk.

Sampai di Jangi, Kami berhenti di pos kawalan di sana. Sonu meminta passport dan permit kami untuk didaftarkan di dalam buku daftar di pondok kawalan. Kami perlu mendaftarkan diri di pos kawalan ini dan segala maklumat diri dicatit. Sonu juga ditemuramah oleh pengawal pos. Maklum lah, kami akan memasuki kawasan terpencil dan berbagai kemungkinan boleh terjadi. Mudah bagi pihak berkuasa mencari kami jika terjadi musibah. Alhamdulillah, kami pergi dan balik dengan selamat. Maka tercatatlah cerita penglipurlara itu disini...hehe

Melepasi pos kawalan di Jangi, kami terus memanjat daripada satu gunung ke gunung yang lain. Kami akan singgah di tepi-tepi jalan bila pemandu kami kepenatan atau kami ingin mengambil gambar pemandangan di persekitaran. Pemanduan untuk hari ini tidak memakan masa yang lama. Cuma 5 jam !.

Sonu dan Buddy. York dah hilang entah ke mana dengan kameranya.

Deras air sungai di pergunungan. Seperti juga di Tiger Leaping Gorge, Shangri La China, bunyi air terjunnya boleh kedengaran jauh di atas mengalun rentak muzik alam. Aku boleh saja terpaku disini. Selalunya, aliran sungai yang deras dan lebar memisahkan antara dua pergunungan. 

Ni aksi yang sempat dirakam kerana tiada lagi radar telekomunikasi yang boleh membunuh masa ketika di perjalanan 

Si Buddy tengah mencari ilham apa yang perlu dilakukan selama-beberapa hari tanpa radar telekomunikasi. Dah tak boleh gelak sorang-sorang. Dah tak boleh nak show off dengan kawan-kawan di alam mayanya. Mati kutu katanya. Itu lah dia --- Gen Y ---

Kami panjat dari satu gunung ke gunung yang lain, akhirnya sampai lah kami ke Nako Village. Penempatan paling tinggi yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai di Himachal Pradesh ni. Berketinggian 3,060 meter atau lebih daripada 10,000 kaki dari aras laut. Penduduk disini adalah keturunan Tibet belaka. Muzik pun muzik Tibet. Rumah nya pun ada unsur-unsur pertukangan Tibet. Di Nako Village ini terdapat banyak hostel dan guesthouse. Dan yang pasti ada anak-anak sungai yang jernih dan segar di sini. 

Aku terfikir sebentar. Kenapa terdapat penempatan di sini? Di pergunungan yang tandus. Tandus kah? Jauh dari kemodenan serba serbi dengan jumlah penduduk yang ramai. Yang akan beku berbulan-bulan. Yang akan diliputi salji yang amat tebal. Dan aku ? Berbagai-bagai persoalan timbul dari benak fikiranku. Manusia dan alam. Yang pastinya aku telahpun hilang dari radar telekomunikasi !!!...Huhu... Rasa duniaku sangat-sangat terpencil. Cuma alam di pergunungan dan penghuninya menjadi peneman. Aku terpalit dengan keresahan Gen Y.

Antara laluan jalan menuju ke Nako Village:

jalan sempit di lembah
Jalan lebar dan bertar di pertengahan

jalan yang gersang di atas gunung

Seketika di perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan landskap gunung tandus yang menarik, saujana mata memandang. Tiada kehidupan manusia. Hanya gunung-gunung yang memasak bumi agar bumi itu tetap kukuh pada kedudukannya sehingga ia diarah untuk bergoncang dengan goncangan yang amat dahsyat. 

Nun jauh di lembahnya, mengalir sungai memisahkan dua gunung.

Akhirnya kami sampai di Nako Village setelah lebih 5 jam pemanduan memanjat gunung-ganang di sini. Dari atas, aku melihat nun jauh di lembah dan puncak-puncak gunung yang lain. Macam sama tinggi saja kedudukan aku ni dengan puncak gunung yang berada dihadapan mataku.

Pemandangan ke lembah dari pertengahan jalan ke Nako Village
Ladang kentang yang sedang dituai di Nako Village

Pemandangan ke lembah dari Nako Village. Sayup mata memandang dan aku sedikit gayat berdiri lama-lama memandangkan angin juga agak kuat bertiup. 

Tempahan hostel / guesthouse di sini adalah melalui walk-in sahaja disebabkan tiada hubungan telekomunikasi. Kalau guesthouse penuh, aku tak tahu la apa akan jadi. Nak teruskan perjalanan ke destinasi seterusnya adalah tidak mungkin kerana perjalanan di waktu malam amat merbahaya. Mungkin jalan terakhir adalah menumpang rumah penduduk disini. Nako Village juga adalah transit untuk kenderaan berhenti rehat dan memulakan kembali perjalanan keesokan hari.

Setelah pasti bilik aku dimana, aku terus merebahkan diri seketika. Menarik nafas dalam-dalam dan terlena seketika. Waktu siang tiada hot water, tiada elctricity. Semua dicatu untuk malam hari. Maka terimalah apa sahaja yang disajikan oleh alam. Beku!!!

Dalam sejuk beku pun aku mampu lena. Bangun dan pijak lantai bilik air. Mak kauuuuuuuuu!! menyelinap kebekuan itu di tapak kakiku. Segala-gala pergerakanku jadi kaku. Nah ambik! Padan muka aku kan. Nak sesangat ke gunung dan lepak atas gunung. Redho saja la. Serik ke aku? Na mungkin. Waktu tu jer la. Pengembaraan seterusnya akan ku buat lagi. 

Aku berjalan-jalan di perkampungan Nako, menyelinap daripada satu lorong ke lorong yang lain. Mengintai rumah-rumah penduduk. Apa yang aku intai ? Aku nak tengok binatang apa yang mereka bela di belakang rumah. Aku nak selidik. haha. Kebanyakan rumah mempunyai seekor dua lembu. Mungkin sebagai pembekal susu harian mereka. Terdapat juga ayam, kambing dan keldai. Sepanjang pemerhatian aku, tidak terdapat kerbau pendek di rumah-rumah yang aku selidiki. Aku berasa sedikit lega. Aku rasa masyarakat di sini adalah full vegetarian. Conclusion aku, mereka adalah dari suku Tibet yang sebenar! Tidak seperti di China atau lebih tepat di Shangri La. Mereka dah murtad di China. Aku lupa nak tangkap gambar kandang-kandang kecil dibelakang rumah mereka. 

Khas buat Agip Roslan @ https://www.agipwrites.blogspot.com jika membaca episod ini. Kalau miker merancang untuk menjejaki kesan tapak kaki Yong disini, sila ambik gambor kandang-kandang yang berada di belakang rumah-rumah penduduk Nako Village ni ye. Mana la tahu, kot-kot pemerhatian Yong ni silap. 

Perkampungan yang agak besar dengan rumah-rumah penduduk yang rapat antara satu sama lain. Tapi sangat sunyi. Mungkin penduduknya masih berada di ladang atau sibuk dengan kerja-kerja harian. Kemudian aku terserempak dengan komuniti warga emas di suatu laman di tengah-tengah perkampungan ini. Mereka sedang berkumpul dan mungkin 'berzikir' kerana aku nampak mereka sedang membelek-belek buah tasbih di tangan masing-masing.

Aku senyum pada mereka and say Hi! eh bukan la...namastee

Aku nak bersembang dengan mereka tapi apa bahasa yang aku nak gunapakai? Maka berbicara lah kami umpama kucing dan arnab dengan senyuman kambing yang sentiasa terukir di bibir.

Seorang makcik ni sua ke aku kacang-kacangan. Jenuh aku belek kacang apa. Lepas ucap terima kasih aku terus masukkan kacang-kacang tersebut ke dalam poket baju sejuk aku.

Aku teruskan lagi berjalan memanjat bukit yang ada di perkampungan ini. Ada sebuah tasik besar di sini yang dinamakan Nako Lake. Patut la ada penempatan di sini. Ada sumber air. Terdapat banyak anak-anak sungai dan mata air yang mengalir dari puncak gunung di belakang perkampungan ini menuju ke tasik Nako dan juga ke sungai-sungai kecil berhampiran.

Tanah subur yang sesuai ditanam dengan kentang
Salah satu air mata air yang mereka kepong untuk dijadikan sebagai air minum
Nako Village dan Nako Lake dari puncak
Tenang aku melihat alam. Tiada bunyi bising kenderaan. Tiada kekalutan dalam mengejar kehidupan. Tiada pencemaran alam. Bernafas lah aku menggunakan paru-paruku dengan selesa menghirup udara gunung yang segar. 

Menghayati puncak-puncak gunung yang berceracak. Ada yang telah mula diliputi salji sedikit demi sedikit
Kawasan hostel kiri dan kanan jalan. Keldai liar bebas mencari makanan
Bangunan Hostel yang aku diami.  

Aku berjalan pula di sudut lain di perkampungan ini. Melihat petani yang masih membanting tulang di petang hari. Tanaman kentang di ladang-ladang. Musim menuai tiba. Harus dituai sebelum salji menimbus bumi menjadikannya kaku dan beku.

Kentang-kentang yang telah dituai disimpan di dalam tanah.

Aku nak naik ke ladang mereka tapi punya la tinggi. Jadinya aku tangkap gambar mereka menggunakan monopod saja. Dari bawah!

Pokok-pokok kentang yang berdaun segar dibawa pulang untuk santapan malam bagi lembu, kambing atau keldai mereka.

Petani balik petang, aku pun balik ke guesthouse. Lapar. Terus menuju dapor di tingkat bawah. Tengok si Buddy dah ada dalam restoran bawah hostel. Aku order  potato paratha. Buddy order potato tikkali dan telur dadar. Pertama kali aku makan potato tikkali. Sedap!!! Buddy tengok tukang masak memasaknya. Aku tak sempat nak jengah. Kemudian aku bawa resepi tersebut balik Malaya.

Paratha uli sendiri, masukkan kentang lenyek.

Kemudian, bakar atas api yang sederhana. Siap potato paratha untuk dikunyah.

Ini lah potato tikkali. Sangat sedap giler kentang betul. Walau aku cuba di tempat lain dalam perjalanan aku di Himachal Pradesh ini. Ia tidak sesedap di sini. Anda cuba lah jika ada peluang ke sini.

Menu tengahari aku yang super lambat aku ambil. Dah nak senja!

Pemandangan gunung di waktu senja. 

Dari balkoni guesthouse aku duduk dan menghayati awan-awan tebal menyelimuti puncak-puncak pergunungan di sini

Tiada aktiviti malam yang boleh dilakukan disini. Suhu turun mendadak. Power supply pula kadang kadang tergendala. Gelap sekeliling kampung. Mujur lampu picit aku berfungsi dengan baik. Nak tidur awal aku tak mengantuk sebab siang tadi aku terlelap seketika. Akhirnya aku turun ke dapor dan tengok tukang masak memasak. Masa ni la aku belek semua bahan yang dia gunakan. Dan akhirnya aku ter-order mee goreng tibet. Makan dalam cahaya lilin dan lampu picit aku.

Ketika aku lepak-lepak selepas makan malam, terdengar keriuhan sekumpulan anak muda dari Mumbai yang baru sampai. Anak-anak muda yang baru 2-3 tahun lepas grad dan baru memulakan career masing-masing nak enjoy the life dengan rakan-rakan se-universiti. Bising kawasan sekitar dibuatnya di tengah malam gelita.  

Sekian untuk episod kali ini
Terima kasih sudi membaca coretan sang pengembara
Moga berjumpa di lain siaran
Wassalam

24 comments:

  1. Adoi gerunnya nengok bas tu berselisih. Meremang bulu roma kita.

    ReplyDelete
  2. Wow!!very challenging. Untung choknah dpt merasa sendiri pengalaman.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Pengalaman yang tak dapat dibeli

      Delete
  3. Gunung mana lagilah agaknya yang maksu nak panjat nanti...

    ReplyDelete
  4. yonggg.. akak pun gila makan sarapan kat luar tua.. sejuk mengokot pun buat sakan je. sedap hirup chai panas dalam sejuk kan..

    lepas ni ke ke gunung mana? eeee. jalan je dia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pedulikan cuaca sejuk tu kan. Sarapan sambil mengadap puncak gunung. Saya lebih suka kopi o instead of chai. Nikmatnya...perrgghhh...
      Masih tengah pilih gunung mana lepas ni nak lepak...hahahaha

      Delete
  5. Salam kenal.
    Singgah sini jalan-jalan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salamkenal kembali.
      Terima kasih sudi berkunjung

      Delete
  6. Part bas tu...menakutkan!
    Tapi gambar semua cantik!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak dapat bayang yang jadi penumpang tu bagaimana perasaan mereka.

      Delete
  7. Salam kenal -ciku singgah singgah sini

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam kenal kembali
      terima kasih sudi singgah ke blog ini

      Delete
  8. Replies
    1. Salam kenal kembali
      Terima kasih berkunjung ke blog ini

      Delete
  9. Kita tumpang baca jerlah yong..nak tumpsng bsckpacking rssa nya mscam di luar kemampuan fizikal dan spiritual

    ReplyDelete
  10. haha...akak! sorry bz semenjak dua menjak..tak perasan entry nih...siap ada nota khas lagi. LOL.
    Insya Allah saya take note...hehe.

    ReplyDelete
  11. Bestnya baca coretan kakak. sedikit sedih kerana mereka tiada kemudahan seperti kita di tanah Melayu. Tetapi sedikit terharu melihat keagungan alam semulajadi yg Allah ciptakan. Allahuakbar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TErima kasih Ella sudi mengunjungi blog ini.
      Kawasan pergunungan yang terlalu jauh dari segala kemudahan. Tapi banyak keunikan yang tiada di tempat kita mahupun di bandar2 sana. Mengembara untuk melihat perbezaan bukan persamaan.

      Delete