Monday 1 August 2016

Incredible India - Himachal Pradesh - Episod 12 - Chandratal - Mendiami Tent di Tasik terbesar dan tertinggi di Wilayah Lahaul & Spiti

Assalamua'laikum warohmatullahi kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga hari-hari yang kita lalui dilimpahi rahmat daripada Yang Maha Esa. Semoga Allah membuka segala pintu rezeki dan kemudahan dalam segala urusan kita seharian. Jangan lupa untuk memulakan hari dengan berdoa kerana doa adalah senjata azimat umat Islam yang sangat mustajab. Tidak lupa juga selamat sejahtera kepada seluruh pembaca yang belum menerima hidayah Islam agar anda terbuka hati untuk mendalami agama yang benar ini. Agama yang mentauhidkan Allah yang Esa. Sesungguhnya Islam adalah agama yang membawa keamanan, ketenangan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kenali lah Islam dengan sesungguhnya daripada kacamata yang sebenar kerana ia akan membuatkan anda jatuh cinta dengan agama ini. Islam is first class.

Besar sungguh lembu gunung ni. Lebih mesra dipanggil Yak! Cuba anda cari dimana matanya.


21 September 2015

Perjalanan hari ini adalah dari Kaza ke Chandratal.
Kaza -> Rangrik ->Morang -> Pangma -> Hansa -> Losar -> Chandratal


Bangun pagi beku, buka suis lampu, tak ada elektrik. Gelap gelita. Nasib baik ada lampu picit  yang sentiasa jadi penyelamat. Masuk bilik air, menjerit bila terpijak lantai yang sejuk. Buka pili air, menjerit lagi dek kesejukan air yang mengalir. Berus gigi gusi pula terasa kebas macam kene tempek air beku. Oh Tuhan.. seksanya menghadapi ujian musim sejuk yang baru nak acah-acah bermula. Lebih seksa bila kemudahan asas tidak berfungsi. Kena mencebok dengan air sesejuk ais.  Tapi aku tak pernah serik melalui pengalaman yang sama setiap kali mengembara. Tak impikan pun nak balik ke negara sendiri bila terasa sedikit kepayahan ketika mengembara dan masih memilih untuk mengembara di musim sebegini.

Caption "Aku di persimpangan". Jika tersesat kembalilah ke pangkal jalan

Pagi di Kaza, cuaca cerah dan berangin tapi berawan tebal. Tak dapat diramalkan lagi bagaimana di perjalanan nanti. Harap cuaca akan berterusan baik dan matahari memancar terang. Pekan Kaza mempunyai kemudahan yang diperlukan oleh pengembara terutamanya penginapan yang banyak. Tidak perlu membuat tempahan awal sebagaimana yang kami buat. Apabila sampai di kawasan pekan Kaza ni, tanyakan saja pada hostel/hotel/guesthouse yang terdapat di sini ketika dalam laluan. Kebanyakan penginapan yang terdapat disini lebih kepada guesthouse/hotel yang tiada berbintang kerana kebanyakan orang yang datang ke sini adalah terdiri daripada pengembara yang lasak bukannya golongan pelancong biasa. Terdapat kedai-kedai yang menjual barangan kembara seperti beg, kasut, peralatan mendaki dan lain-lain keperluan pengembaraan di pergunungan. Cumanya bagi kita yang beragama Islam, bab makanan selalu menjadi perkara yang perlu dititikberatkan. Sebagai pengembara, kita harus bertindak dengan cepat dalam membuat keputusan bila mengetahui destinasi yang kita akan jejak itu tidak mempunyai penduduk muslim. Aku akan pilih guesthouse/hotel yang mempunyai restoran vegetarian sahaja. Itu penting dan aku akan selongkar dapur mereka. Mengembara di pergunungan India ini tidak sesukar mengembara di pergunungan China kerana di India, kebanyakan penghuni gunung adalah bangsa Tibet yang tidak makan daging. Mereka adalah golongan vegetarian dari asal. Sebaliknya, di pergunungan China, Bangsa Tibet telah dimurtadkan oleh Bangsa Han. Mereka makan apa sahaja sama seperti Bangsa Han. Jadinya memang susah nak makan di pergunungan China. Anda boleh baca pengalaman aku kelaparan dalam kesejukan ketika mengembara di Shangri La China, dengan hanya memakan oat segera nestle yang terpaksa aku catu disebabkan bekalan yang terhad aku bawa, coklat dan buah-buahan sahaja. Lepas tu, sekali jumpa nasi selepas tiga hari, menggelupor mengunyah macam dah tak ada hari esok bagiku.

Di Pergunungan India, mereka hanya makan makanan berasaskan bijirin dan sayuran sahaja. Selamat di situ. Minyak yang mereka gunakan juga adalah minyak bunga matahari atau minyak sayuran. Ketika anda mengembara, masuk lah ke dapur mereka. Jangan malu dan malas. Belek-belek botol-botol di rak yang ada didapur dan tanyalah mereka jika anda tidak pasti barangan yang di letakkan ditepi-tepi dapur mereka. Dengan lain perkataan, beramah-mesra lah dengan penghuni dapur. Kalau tidak, anda akan kelaparan tambahan pula cuaca sejuk akan mempercepatkan proses perut anda menggelupur kelaparan dalam kesejukan dan minta diisi. Haha.... Perlu diingat, bila berada di tempat terpencil sebegini dengan kemudahan elektrik yang dicatu, jangan mimpi ada microwave di guesthouse/hotel yang anda diami. Jangan cerewet tentang makanan. Kalau nak makan dengan mewah dan selesa mengikut selera sendiri, elok lah jangan mengembara ke tempat sebegini. Kalau bawa makanan sendiri, pandai-pandai la nak panaskan macamana. Paling senang, bawa coklat untuk mengurangkan kegusaran perut kerana coklat akan buat anda bertenaga dan banyakkan makan buah-buahan sepertimana yang aku buat hari-hari. Mengunyah epal sampai kembang anak tekak. 

Sungai Spiti di lembah Spiti yang luas terbentang

Walau berawan tebal, cuaca masih cerah ketika kami memulakan perjalanan turun naik gunung meninggalkan Kaza. Banyak tempat-tempat perhentian yang kami lakukan di perjalanan ini kerana faktor mukabuminya yang mencengkam retina mata aku yang paling dalam. Berada di suatu lembah pergunungan yang unik, sungguh mengagumkan akan ciptaan Allah di sini membuatkan aku mengucap masyaAllah setiap kali memandang pergunungan yang berada dihadapan mataku. Formasi pergunungan yang cantik dan suasana yang damai mententeramkan jiwa. Hirupan udara bersih tapi tiada burung yang berkeliaran di udara. Mungkin unggas-unggas di sini telah berpindah ke selatan ke tempat yang lebih panas.

Semakin jauh kami ke utara, semakain tebal awan di udara. Harapnya kami dapat sampai ke destinasi dalam keadaan selamat memandangkan pemanduan di gunung amat merbahaya ketika hujan.

Nampaknya awan semakin menebal memberi tanda keresahan di sanubari

Semakin tinggi kami menuju puncak-puncak gunung, semakin cantik lembah yang berada di bawah. Walau awan tebal, tiada hujan maka suasana masih cerah kerana kabus tidak tebal. Banyak tempat yang kami berhenti semata-mata untuk menghayati alam ini. Yang pasti ianya tidak ada di negara aku. Jadi aku perlu semat dalam-dalam pemandangan disini sebaik mungkin di kotak memori. Biar ianya segar apabila aku mengimbasnya kembali suatu hari nanti ketika kudratku tidak mampu lagi untuk melangkah ke tempat-tempat sebegini.


Jika engkau masih muda, mengembaralah dimukabumi ini selagi engkau punya kekuatan dan bertasbih lah akan segala kebesaran ciptaan Ilahi yang dicipta yang engkau saksikan dihadapan mata. Mengembara akan memberikan engkau ilmu dan kematangan yang engkau perlukan untuk kehidupan di dunia ini. Jadikanlah usia muda itu bermunafaat yang akan engkau syukuri bila engkau tiada lagi berupaya.  

Antara gambar-gambar di Lembah Spiti yang sempat aku ambil dari dalam kenderaan ketika melaluinya. Terdapat beberapa perkampungan kecil yang dihuni oleh masyarakat Tibet. Kami tidak berhenti dimana-mana kampung pun pada hari ini sebab tujuan kami hari ini adalah untuk sampai ke Chandratal secepatnya. Tapi asyik berhenti saja di tengah-tengah perjalanan. Tak laju mana pun bergerak. Harap Chandratal masih cerah menerima ketibaan kami nanti.

Kami menuju Loser

Memasuki musim sejuk, air sungai semakin surut dan akhirnya akan beku diselaputi salji

Di sebuah perkampungan. Kami cuma lalu sahaja. Gandum telah habis dituai. Menunggu untuk di simpan sebagai bekalan di musim salji tebal nanti.

Puncak-puncak gunung sana dah diliputi salji. Sedikit demi sedikit keputihan itu muncul disebalik gunung yang tinggi mencantikkan pemandangan.  

Beginilah keadaaan jalinan jalanraya yang aku tempuhi di pergunungan. Jalan berliku dan lipat putus habis. Senak perut sepanjang jalan bila badan dilambung-lambung dan digelek-gelek ke kiri dan kanan. Keadaan jalan yang tidak sempurna, walau apapun, alhamdulillah, masih ada jalan untuk dilalui. Bagi yang tak tahan dengan jalan gunung sebegini, pasti anda akan muntah dan sakit bontot serta pinggang.

Dari atas, aku nampak dah lori ni serta beberapa kenderaan lain sedang naik dan pasti akan bertembung dengan kami. 

Ia semakin menghampiri. Jantung semakin berdebar. Adakah kami mampu berselisih dengan selamat tanpa mencederakan atau mengguris kenderaan kami.

Pertembungan dua kenderaan di jalan yang sempit. Salah satu mesti beralah. Selalunya kenderaan di bahagian bukit akan mencari tempat untuk berhenti dan memberi laluan kepada kenderaan yang berada di sebelah lurah gunung. Berbagai irama hon dibunyikan balas-membalas dan hanya pemandu-pemandu sahaja yang faham maknanya. Ketika ini, kenderaan kami telah pun berhenti memberi laluan kepada kenderaan dari hadapan meneruskan perjalanan. Pemandu pula memerhatikan laluan agar kenderaan dari hadapan dapat memboloskan diri.

Keadaan kami di dalam kereta. Selesa sebab kami hanya ber-empat termasuk pemandu. Perjalanan jauh di pergunungan memerlukan keselesaan ketika duduk di dalam kenderaan. Jangan ambil mudah dengan keperluan badan anda dan posisi anda duduk di dalam kenderaan. Anda yang menentukan corak perjalanan dan kenderaan yang anda kehendaki, jangan sampai bila badan anda sakit akibat penat kerana kenderaan yang anda pilih tidak selesa, mood anda akan terjejas. 

Aku duduk mengadap sungai dan puncak-puncak gunung. Tarik nafas dalam-dalam dan teruskan aktiviti berselfie. Tak perlu buat apa-apa di sini. Lihat sahaja pada alam dan berbicaralah pada mereka. 
Turn dia pulak berselfie. Bestnye kalau dapat bentang tikar mengkuang. Letak nasi lemak sambal sotong, air kelemonci dan telur rebus. Hiris timun sambil-sambil tu. Berkelah kat sini. Peerrrgghhh...Nikmat kot !!!


Alahai... oh awan itu

Teruskan lagi perjalanan. Kali ini berhenti pula di tengah-tengah dataran yang luas apabila terpandang sekumpulan lembu gunung sedang meragut rumput.


Aku mendekati seekor Yak dalam banyak-banyak Yak yang ada kerana hanya dia yang berbulu lebih lebat berbanding yang lain-lain.

Yak ni siap berguling-guling di hadapan kami. Macam menari sambut tetamu la kot. Berdekah kami gelak. Rasa nak guling sama sambil gelak. Mungkin dia gembira agaknya melihat kehadiran kami dan memberi sedikit hiburan kepada kami. Aku tak sempat nak ambil gambar ketika dia berguling kerana terkedu melihat aksi dia yang secara tiba-tiba.


Takut juga aku pada mulanya nak mendekati Yak ni kalau tiba-tiba dia terasa terganggu dan mengejar aku. Mau nya aku lari lintang pukang tak cukup tanah

Teruskan lagi perjalanan. Tak boleh lepak lama-lama dengan Yak. Karang jadi Yak pula kami di sini.

Sementara matahari masih muncul. Abadikan lah diri dalam memori kamera

Kawasan nan gersang berbatuan. Suasana macam dalam cerita Lord of The Ring la pulak ataupun cerita Merlin pun boleh kot.

Akhirnya kami sampai juga di khemah berhampiran Chandratal lebih kurang pukul 2.30 petang. Lewat kami sampai memandangkan terdapat banyak pit stop sepanjang perjalanan. Pemandu kami memilih khemah yang dipunyai oleh seorang abang sado berbangsa Tibet yang bernama Tenzin. Baik orangnya dan ramah. Ramai juga pengembara yang menghuni di sini. Kebanyakan adalah anak-anak muda samada datang secara berseorangan atau berkumpulan kecil.

Dari puncak gunung, ketika menuruni ke lembah, dari jauh dah nampak khemah-khemah yang dipacak di dataran yang terlindung dari angin gunung di kawasan Chandratal. 

Khemah kepunyaan Tenzin. Dai mempunyai khemah yang paling banyak berbanding lain-lain pengusaha kerana di kawasan ini terdapat beberapa owner tent yang memberi perkhidmatan sewaan khemah. Anda boleh pilih yang mana berkenan ikut kemampuan poket anda. 

Aku meletakkan barang-barang aku di dalam tent dan sempat bersolat dulu sebelum mengunjungi Chandratal yang terletak lebih kurang dua kilometer dari kawasan perkhemahan. Chandratal bermaksud Tasik Chandra [ Tal - tasik ].  Untuk ke sana, boleh saja kalau nak berjalan kaki. Ada trek ke sana. Kami naik kereta sehingga ke bahagian yang tidak boleh dimasuki oleh kenderaan dan seterusnya berjalan kaki sejauh satu kilometer lagi untuk sampai ke tasik.

Jauh juga kena jalan

Berjalan kaki menuju ke tasik. Jernihnya air sungai ini dan bersih.

Cantiknya pemandangan di sini. Tapi malangnya cuaca suram dan awal tebal 

Ketika aku sampai di Chandratal, ternampak dari jauh sekumpulan anak muda menuju ke tasik ini. Anak muda dari Mumbai yang kami jumpa di Nako yang buat bising di tengah malam dengan gelak ketawa mereka. Terserempak juga ketika di Kaza. Bertembung juga dengan kenderaan mereka ketika turun naik gunung. Sekarang berjumpa lagi di tasik ini. Tasik yang sunyi sepi tiba-tiba riuh rendah dengan gelak tawa mereka. 

Salah seorang daripada anak-anak muda dari Mumbai. Suka suka hati aku saja mengarahkan  dia duduk mengikut posisi yang aku kehendaki untuk merakamkannya di memori kamera. Dia suruh aku email gambar ni ke dia, tapi aku tak jumpa email dia bagi tu.

Tenzin, iaitu tuan punya tent yang kami sewa juga datang ke tasik ini bersama anak-anak muda tadi. Katanya, pemandangan ke dalam tasik ini adalah seperti cermin jernihnya jika cuaca cerah dan sebaiknya hayati pemandangan tasik ini di waktu pagi. Malang bagi kami, awan cukup tebal. tiada ruang petang itu untuk aku melihat suasana pemandangan tasik yang dikelilingi gunung-gunung bersalji yang aku lihat di internet. 

Walaupun cuaca sejuk. Air tasik ini sebaliknya.  

Terdapat seorang pengembara dari Portugis yang datang hanya dengan berjalan kaki entah dari mana. Kami memang terserempak dengan dia di gunung ketika menuju ke Tent Tenzin. Berjalan seorang diri. Katanya dia memang suka mengembara secara berjalan kaki sahaja. Aku lupa namanya dan asal nama kampungnya. Ada dia bagitau. Lupa aku catit dalam nota ringkas aku.  Bekerja sebagai tukang kayu di negaranya. Bekerja hanya 4 bulan, kemudian mengembara selama 8 bulan. Dahsyat anak muda ini. Baru berusia dalam linkungan 26 tahun kalau tak silap komunikasi aku dengan dia di tepi tasik Chandra. 


Kemeriahan suasana di tepi Chandratal. Yang berdiri kiri sekali adalah anak muda dari Portugis. Lain-lain tu adalah kumpulan anak muda dari Mumbai. Awan yang teramat tebal amat mengecewakan aku. Tak mungkin aku akan dapat datang semula ke sini lagi untuk menghayati keindahan pemandangan tasik yang teramat jernih seperti cermin sebagaimana yang di beritahu oleh Tenzin. Sedih sesangat. Tak apalah. Tak rezeki namanya . Mungkin aku akan dapat tengok keindahan tasik gunung di tempat lain pula suatu hari nanti.

Chandratal ini terjaga kebersihannya. Tidak dibenarkan membuang sampah merata-rata. Sampah mesti dibawa keluar. Tasik ini dijaga oleh kaum Tibet yang menghuni di sini.

Dengan perasaaan kecewa, kembalilah semula kami menuju tent apabila senja mula berlabuh. kononnya nak tengok matahari jatuh di tepi tasik. Nampaknya terpaksa tengok dalam mimpi jer la...

Suhu di tempat perkhemahan jatuh mendadak bila malam menjelma. Sejuk giler. Pertama kali aku merasai pengalaman bermalam di tent di musim sejuk.

Tent kepunyaan Tenzin. Selesa dengan sleeping bag yang berlapis. Tent yang berwarna coklat itu ialah tandas. tong biru tu adalah bekas air. Pandai-pandai la nak mencebok dengan air sesejuk ais!

Dihadapan tent aku

Dah malam...Jom rasai pengalaman tidur di atas gunung dalam khemah dengan angin yang kuat di luar. Tidur atas lantai bumi berselimutkan sleeping bag yang tebal. Pun tak cukup tebal untuk menangkis kesejukan yang melanda. Nasib baik aku tak kejung dalam tent tu.

Sekian, episod kali ini.
Moga berjumpa di lain siaran.
Wassalam

6 comments:

  1. Bila baca penulisan akak..rasa sedikit kesedaran dan keinsafan. Tak dpt nak bayangakan bagaimana akak boleh bertahan di tempat sejuk yang macam tu..macam saya travel time winter, duduk hotel selesa..keluar kejap2 jer dah xtahan..nikan akak yang duduk dalam tent jer. Pengalaman sungguh berharga akak dpt..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Derita kesejukan ....
      Walau apa pun. itu lah pengalaman
      Perit untuk dilalui, manis untuk dikenangi
      haha

      Delete
  2. Assalamualaikum kak.. saya husna. Selamat berkenalan. Suka sangat baca pengembara akak. Betul2 mengembara. Dulu dah jumpa blog ni baca kembara akak ke egypt. Pastu sibuk dgn study final year dah lupa nama blog. Ni jumpa balikk.. tangah khatamkan balik entry2 y trtinggal.. ����. Sangat mmberi inspirasi. Saya bru abis study mei aritu. Mmg berimpian nak travel mcm gini..

    Btw cerita dia prgunungan himachal pradesh sangat2 menarik, mmbuka minda dan meninggikan keinsafan. Hebat kuasaNya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam husna
      Selamat berkenalan dan terima kasih membaca coreta perkongsian akak di blog ini.
      Tahniah dah berjaya dalam pelajaran
      Jangan simpan impian tu. Mulakan dengan tindakan
      Moga husna menjadi pengembara muslimah yang hebat suatu hari nanti. In Shaa Allah

      Delete
  3. aaaa bukn main saya swipe utk entry seterusnya.... rupanya blom ada smbungan lagiii... keme cepat2 sambungg

    ReplyDelete