Saturday 31 October 2015

Incredible India - Simla - Episod 3 - The Kalka-Simla Heritage Mountain Train @ Toy Train Menuju Bandar di Pergunungan

Assalamua'laikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca.

Aku suka gunung dan kawasan pergunungan. Bertambah suka kalau puncaknya diliputi salji. Sejuk mataku memandang. Aku tidak pernah bosan menghayati keindahan dan ketenangan alam di pergunungan.  Melihat air terjun dan sungainya, berjalan di dataran yang luas, melihat tanaman yang ditanam di lereng-lereng gunung membuat aku tenang. Aku suka cuaca di pergunungan yang nyaman, sejuk walaupun kadang-kadang bila datang angin sejuk tu meniup aku sampai menggigil ke tulang, terasa juga seriknya mengembara ke gunung ni. Apabila aku berada di atas kawasan pergunungan pula, semua yang ada di bawah akan terlupa. Aku lupa kerja, aku lupa hutang, aku lupa masalah dunia, dan yang pasti nya aku lupa Malaya. Subhanallah, itu perkataan yang selalu keluar bila aku nampak puncak-puncak gunung bersalji berceracak di hadapan mata. Indahnya ciptaan Allah. Aku pasti, semua orang ada minat masing-masing ketika mengembara. Ada yang suka bandar dan pusat membeli-belah, Ada yang suka pantai. Ada yang suka design bangunan, monumen-monumen lama dan lain-lain lagi. Anda bagaimana ? Apa minat anda apabila mengembara? Apa yang anda ingin lakukan ketika mengembara ?

            Toy Train @ The Heritage Mountain Train from Kalka to Simla

Sambungan dari Episod 2,

13th September 2015

Buddy keluar dari bilik station master dengan muka seposen. Tenung aku. "Apa dah jadi?" aku tanya. " Train lewat sampai, rosak kat atas, Dijangka pukul 8.30 baru sampai sini dan bertolak ke atas pukul 9.00 pagi nanti", Aku dengar dengan tekun kata-kata Buddy dan kepala otak aku dah bagi signal kecewa ke muka. Kecewa sebab rancangan aku nak tengok keretapi memanjat gunung yang sedang diselimuti kabus pagi hancur lebur di bakar mentari.

Hari beransur-ansur cerah. Pagi di stesen keretapi Kalka. Kicauan burung yang bersahutan antara satu saman lain dibumbung stesen memecah keheningan pagi. Aku melihat orang semakin ramai memasuki stesen dan menunggu keretapi untuk ke destinasi masing-masing. Aku masih termenung di kerusi, mengira jam, minit dan saat sambil kejap-kejap tengok ke platform di hujung stesen kalau-kalau ternampak kelibat Heritage Train muncul. Tapi terlalu awal mengharap ! Tiga jam setengah lagi perlu menunggu. Si Buddy sedang mencari kerusi yang sesuai untuk dia melelapkan mata seketika sementara hari masih belum cerah sepenuhnya.

Dia ada internet ! Untung la.... Boleh la dia menghabiskan masa menunggu keretapi dengan melayari internet dan bagitau dunia maya nya yang dia stranded di sebuah pekan di Utara negeri Haryana. Aku pula duduk di kerusi yang penuh dengan beg-beg kami. Jadi guard beg-beg dan kasut kami yang terletak di bawah kerusi. Namun akhirnya kami lena di kerusi masing-masing.

Penantian memang suatu penyeksaan. Seksa pada otak dan rugi pada masa. Ketika mengembara, banyak kemungkinan yang berlaku yang diluar jangkaan tapi aku dan Buddy sentiasa amalkan konsep berlapang dada dan redho dengan kelewatan tersebut. Nak dijadikan cerita, Buddy tidur di kerusi di tengah antara platform yang menghadap ke tandas awam yang terletak di luar platform. Tandas ni berkunci pada waktu malam sehinggalah penjaganya bangun daripada tidur pagi tu. Dimana dia tidur ? Di dalam tandas tersebut..haha...

Bila matahari dah mencanak naik, aku terbangun dan termenung lagi. Melihat pencuci platform menyiram lantai dan menyapu sampah-sarap serta taik burung merpati yang banyak bertaburan di atas lantai. Sampah sarap yang disapu di buang ke kawasan rel. Mudahnya mereka menyapu. Walau tong-tong sampah disediakan, ia tidak bermakna buat mereka. Ketika aku berlegar-legar di stesen ni, aku menjenguk ke rel keretapi, memang banyak sampah yang dibuang disitu. Bagaimana pula mereka mencuci lantai stesen ? Amat mudah. Air direnjis sedikit ke kawasan lantai stesen bagi basah lembap dan kemudian mereka hayun batang penyapu dengan sekali lalu. Agak-agak bersih ke lantai tu atau sebaliknya?

Berbalik kepada cerita si Buddy. Sedang dia enak diulit mimpi pagi di kerusi, tetiba dia dikejutkan oleh penjaga tandas yang tiada kena mengena tu. Dia pergi ke kerusi Buddy dan disuruhnya Buddy bangun, matahari dah naik, begitu la agaknya maksud kejutan dia tu. Terkebil-kebil Buddy bangun. Aku cuma memerhati dari kerusiku. Nak gelak karang orang ingat aku sewel,so aku senyum jer pandang Buddy. Tapi tengok muka Buddy pun aku tahu dia memang tak puas hati, ye la kan, tengah lena siap bermimpi tu, kenapa dia dikejutkan oleh penjaga tamdas awam sedangkan petugas-petugas stesen tidak menghalang pun dia tidur di situ sebab mereka dah tahu kami berada di stesen ni sejak jam 4.00 pagi tadi lagi. Ya, aku pasti seperti kata Buddy, penjaga tandas tu cemburu sebab dia tak dapat menyambung tidur di dalam tandas kerana orang ramai nak masuk tandas kan. Suka suka hati dia jer kan pergi bangunkan orang lain yang sedang nyenyak.

Pagi tu disebabkan terlalu lama menunggu, perut aku sudah memberi signal minta di isi. Nak pergi ke restoran, ia terletak jauh di bahagian lain bangunan dan perlu membawa beg bersama-sama. Aku malas nak mengangkut semua dan berjalan agak jauh. Cukupla makan sebungkus coklat yang aku bawa dari Malaya sebagai pengalas perut sebelum hidangan diberikan didalam keretapi nanti. Aku siapkan juga 2000mg vitamin C soluble ke dalam air mineral aku. Sepanjang pengembaraan ini, vitamin C adalah wajib bagi aku. Sekiranya anda mengembara, pastikan vitamin C sentiasa ada dan anda consume setiap hari.

Interior Toy Train

Hampiri 8.30 pagi, 13 Sept 2015,perlahan-lahan aku lihat kelibat Heritage Mountain Train memasuki platform 5, Kalka Train Station. Kami bersiap, pakai semula kasut dan simpan selipar kami di poket beg. Akhirnya masa yang dinanti itu tiba juga setelah kebosanan menunggu. Setiap gerabak ditampal dengan sehelai kertas yang mengandungi list nama penumpang di pintu masuknya. Majoriti yang naik keretapi ni adalah pelancong samada pelancong dalam atau luar negara. Bagi penduduk tempatan pula, terdapat keretapi lain yang mengandungi kerusi biasa untuk mereka gunakan turun dan naik gunung dan tiada privilege ketika berada di dalam train tersebut memandangkan ia hanyalah train biasa.

Apakah privilege yang aku maksudkan yang terdapat pada Toy Train ni ?
1. Setiap gerabak memuatkan hanya 18 orang penumpang sahaja.
2. Kerusi yang selesa
3. Di hadapan di setiap kerusi disediakan sebuah meja
4. Terdapat tempat letak beg yang luas di belakang kerusi anda
5. Terdapat tandas di setiap gerabak.
6. Tiada pintu untuk melintas ke gerabak lain ketika keretapi bergerak.
7. Penumpang diberi makan dan minum ketika berada di dalam perjalanan.
8. Penumpang dibekalkan dengan suratkhabar
9. Terdapat seorang pelayan bagi setiap gerabak

Seorang demi seorang penumpang memasuki gerabak. Gerabak aku hampir penuh. Cuma ada 2 kerusi kosong yang tinggal. Pelancong luar seperti aku dan beberapa pelancong barat yang sama-sama naik ke dalam gerabak ini merupakan backpackers. Kami bertegur sapa seketika to say hai. Mereka dari Perancis. Dalam masa yang sama, pekerja keretapi membawa barang-barang makanan dan minuman ke dalam gerabak. Setiap gerabak disediakan seorang pelayan.

Walaupun jadual pergerakan keretapi telah dilewatkan ke pukul 9.00 pagi atas masalah teknikal. Ia tidaklah bergerak tepat. Itu pun lewat juga bergeraknya daripada pukul 9.00 pagi. Hari cerah dan panas dengan awan membiru di udara. Teringat aku akan Malaya yang sedang dilanda jerebu bila mendongak ke langit. Aku dah tak sabar nak tengok keretapi ni bergerak panjat gunung. Menukar cuaca panas ke dingin dan nyaman. Rasa lambat masa berlalu.Tak lama kemudian lebih kurang sepuluh minit selepas pukul 9.00, pemandu lokomotif mula membunyikan hon, menarik brek dan keretapi pun bergerak meninggalkan stesen Kalka dengan perlahan-lahan.

Tajuk suratkhabar ni buat aku terkejut...Takdir....Ia berlaku tengahari semalam. Diberitakan keretapi dibawa dengan laju dan 3 daripada gerabaknya tergelincir dari landasan yang mengorbankan 3 warga Britain dan ramai yang cedera.

Dari akhbar The Indianexpress melaporkan...Berlaku hanya selepas 10 minit berlepas dari Stesen Kalka, maknanya belum lagi dalam proses memanjat gunung. Patut la pemandu tu bawa laju...

Selang beberapa minit sepanjang keretapi bergerak, pemandu lokomotif ni akan menarik tali hon. Bergema lah bunyi nya ke serata alam di pergunungan. Memberitahu alam dan isinya akan perjalanannya. Keretapi bergerak di atas rel yang membelah pergunungan, sedikit demi sedikit dan semakin tinggi memanjat. Dah macam ulat gonggok aku tengok sebab is bergerak agak perlahan berbanding keretapi lain yang biasa aku  naiki.  Terdapat banyak terowong di sepanjang perjalanan. Bukan setakat terowong saja, keretapi juga bergerak di rel yang dibina di tepi gaung dan lereng-lereng gunung. Semakin tinggi ia memanjat, pemandangan juga semakin berubah. Aku melihat pemandangan pergunungan dan lembah gunung yang indah di hadapan mata. Makin tinggi ia naik,makin banyak pokok-pokok pine dan deodar disepanjang perjalanan. Pemandangan yang sangat cantik.

Keretapi juga berhenti di beberapa stesen-stesen kecil disepanjang laluan pergunungan ini. Samada untuk menunggu keretapi yang datang dari arah hadapan atau memberi peluang kepada penumpang keluar seketika untuk melihat pemandangan yang mengagumkan dari lereng gunung.

Di satu stesen di lereng gunung
Setelah 5 jam melihat pemandangan gunung dan lembahnya dari dalam Toy Train, tepat pukul 2.15 pm, keretapi pun sampai di Stesen Simla. Keluar daripada gerabak, terasa pipiku di sapa bayu sejuk gunung. Aku suka cuaca yang nyaman sebegini. Lebih kurang 11-16 darjah Celcius. Aku check keadaan tandas di stesen ni. Masuk tandas di stesen ni kena bayar 3 rupee. Tandasnya bersih. Sebelum aku masuk, aku tanya penjaga tandas tu berapa rupee kena bayar, berulang kali aku tanya, rupanya dia tak faham soalan aku. Nasib baik kebetulan lalu seorang lelaki disitu dan dia lah yang translate soalan aku kepada penjaga tandas. Barulah mereka angguk dan tunjuk jari 3.

Stesen Keretapi Simla terletak di lereng gunung. Bangunan-bangunan di sini kebanyakannya dipacak di lereng-lereng gunung. Jadi kami akan banyak bergerak dalam keadaan mendaki dan menurun lereng-lereng gunung di sini. Untuk keluar daripada stesen keretapi ni juga perlu memanjat anak-anak tangga di lereng gunung. Bagi aku, ia adalah latihan lutut yang paling berkesan walau rasa sedikit terseksa. Terseksa sebab menggalas beg yang berat di belakang. Cuba anda bayangkan, backpack aku seberat 13 kilo yang sentiasa setia dibelakang bahu dan beg kecik aku yang seberat 2-3 kilo dibahagian depan perlu aku bawa ketika mendaki dan menuruni lereng-lereng gunung di sini. Cukup mencabar kekuatan fizikal ketika ini. Nasib baik cuaca sejuk dan nyaman mengurangkan kegelisahan aku ketika melakukan pendakian. Keluar juga peluh dingin aku ni.

Stesen Keretapi Simla

Sampai diluar stesen, aku tengok ramai penumpang-penumpang tadi mengambil teksi atau kereta dan van yang datang menjemput. Aku tanya orang sekeliling, jauh lagikah pusat bandar Simla ni? Dalam 12 kilometer, kata mereka. Patut la semua orang terpaksa ambil pengangkutan lain untuk meneruskan perjalanan. Aku dan Buddy tidak terkecuali. Kami disapa oleh beberapa pemandu kereta sapu yang banyak disekitar stesen ni bertanyakan ke mana kami nak pergi. Kami tanya semula harga yang mereka boleh tawarkan kepada kami untuk ke pusat bandar. Kami tawar-menawar sebelum kami setuju menggunakan kereta mereka untuk membawa kami ke hostel yang dimaksudkan. Melalui jalan-jalan kecil dipergunungan, kecekapan pemandu tersebut memandu di lereng gunung amat aku kagumi. Orang gunung la katakan.

Simla merupakan bandar terbesar dan ibu negeri Himachal Pradesh. Ia terletak di ketinggian 7,238 kaki dari aras laut. Perjalanan menggunakan bas dari New Delhi ke Simla memakan masa hampir 8 jam perjalanan. Tiada lapangan terbang di sini memandangkan bentuk mukabuminya yang bergunung-ganang. Bandar terdekat yang mempunyai lapangan terbang ialah Chandigarh.

Terdapat kawasan-kawasan di lereng-lereng gunung ni tidak dapat dimasuki oleh kenderaan atas faktor mukabuminya atau kawasan larangan seperti taman. Kami diberhentikan di kawasan taman lereng gunung dan perlu berjalan 700 mtr untuk sampai ke Youth Hostel tersebut. Sampai di hostel, facility yang akan aku tanya ialah samada mereka ada wifi free. Memandangkan hostel pertama yang kami jejak ni tiada wifi, kami decided untuk cari hotel lain. Kami tanya pekerja hostel dimana arah hotel-hotel lain yang berdekatan. Kemudian kami terus berjalan di lereng-lereng gunung dan melepasi Lakkar bazaar yang terdpat di lereng gunung ni.

Di kawasan Lakkar Bazaar ni, terdapat beberapa hotel yang kami masuk dan tanya rate serta kemudahan yang ada terutamanya wifi. Terdapat beberapa hotel yang dah penuh kerana ada festival apple di sini sejak semalam selama 2 hari. terdapat juga hotel yang masih mempunyai bilik kosong serta mempunyai pemandangan gunung dan lembah yang cantik dimana ia terletak betul-betul di lereng gunung tapi malangnya tiada kemudahan internet. Kami pun teruskan berjalan sehingga kami sampai di sebuah dataran yang sedang berpesta apple.

Bandar di Pergunungan
Kami lepasi kawasan dataran yang masih ramai dengan manusia menuju ke kawasan bazaar lama. Bazaar ni mempunyai tingkat-tingkat tertentu di sepanjang lereng. Bermula dari dataran tersebut, kami turun ke Upper Bazaar. Bukan hotel yang kami cari tapi mencari restoran untuk makan. Kelaparan melanda dan otak kami tak berminat nak cari hotel lagi. Ia bukan keutamaan lagi dah saat ni bila perut memberi signal. Kami turun di tangga-tangga bazaar menuju ke lorong-lorong sempit mencari kalau-kalau kami terjumpa restoran muslim. Kaki pun dah mula menggigil-gigil menuruni tangga-tangga di bazaar ni.

Dari upper Bazaar, kami turun ke Middle Bazaar seterusnya ke Lower Bazaar. Dari Lower Bazaar kami pandang semula ke atas. Apa kami cari ? Kubah masjid kalau kami ternampak. Kalau kami jumpa masjid pasti kami akan jumpa restoran muslim. Akhirnya dari jauh kami nampak sebuah kubah hijau, Mungkin masjid. Itu telahan aku. Kami teruskan berjalan menuju ke bangunan tersebut. Sampai di satu simpang, bangunan tersebut hilang dari pandangan. Kubah pun dah tak nampak.Terlalu banyak simpang jalan di lorong-lorong sempit lereng gunung ni Ah sudah!..Arah mana pulak kami nak tuju ni nak cari balik bangunan masjid tersebut. Di kawasan bazaar ni juga terdapat kubah warna tembaga tapi bukan masjid. Ia mengelirukan pandangan aku.

Makan Nasi Lauk Kari Ayam dan kambing di tepi Masjid Jama, Middle Old Bazaar, Simla
Turun naik tangga akhirnya kami jumpa masjid tersebut. Ia nampak usang. Dibina dari kayu yang dicat hijau. Kami masuk kawasan masjid dan jumpa beberapa kedai makan muslim. Kebanyakan mereka adalah dari rumpun Kashmir. Muka pun muka kashmir. Banyak keturunan kashmir yang menduduki kawasan sini. Aku dan Buddy masuk di sebuah restoran ChaCha ni dan letak beg terus. Lega rasa bahu aku dapat melepas beban yang dikendong.

Dihadapan restoran Chacha tepi Masjid Jama. Bila penat di dapor, ChaCha ni akan lepak diluar restoran dia sambil hisap shisha ni...

Kami order nasi lauk kari ayam dan kambing. Makan tak ingat dunia kata orang. Kami cuba bersembang dengan mereka tapi masing - masing tak faham. Maka bermulalah edisi itik dan ayam berbicara. Bila mereka tahu kami datang dari Malaysia dan muslim, mereka amat gembira. Ada yang datang cuba bertanya tapi disebabkan masalah bahasa ia membantutkan usaha mereka untuk berkomunikasi dengan kami. Tapi Islam tidak mengenal bangsa. Ukhuwah amat mudah terjalin dan kami dilayan dengan baik. Datang beberapa pemuda muslim yang mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dengan kami. Maka bertumpu lah yang lain-lain untuk bertanya dan pemuda tersebut tolong translate soalan mereka kepada kami. Si Buddy siap tunjuk passport lagi bukti datang dari Malaysia.


Jalan Menuju ke Hotel Penginapan nun jauh di atas gunung. Longlai lutut aku nak menyampaikannya ke hotel dalam keadaan mendaki dan kekenyangan. 
Bila dah kenyang, baru aku terasa penatnya kaki berjalan. Rasa tak mau keluar daripada restoran. Lepak lama sikit dalam restoran ni sambil nikmati chai panas. Kemudian aku keluar sekejap dari restoran dan berjalan di sekitar laman masjid untuk tegakkan badan aku dan betulkan tulang belakang yang sedikit tegang ni. Kemudian ambik beg untuk teruskan misi mencari hotel. Dengan bantuan seorang pemuda yang kami jumpa di kawasan restoran Chacha ni. dia membawa kami mencari hotel di kawasan sekitar. Muhamad Yassin, itu namanya dan berasal dari Kashmir. Berjalan lah kami dari Middle Bazaar naik semula ke dataran dan teruskan lagi mendaki ditepi lereng-lereng sambil bertanyakan hotel yang kami lalui.

Dipertengahan jalan di sekitar dataran melepasi bangunan gereja, bertemu lagi dengan seorang tua yang aku panggil ChaCha turut sama membantu kami mencari hotel. Disebabkan mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, jadi mudah lah sedikit bagi kami untuk mencari hotel. Sampai di suatu simpang, Cha Cha minta kami tunggu dulu tepi jalan sementara dia pergi ke hotel dan tanya samada ada bilik kosong atau pun tidak. Tak lama kemudian, dia menjerit dari kejauhan di celah-celah bangunan meminta kami datang kerana terdapat bilik kosong di satu hotel disana. Lemah lutut aku bila dengar suaranya yang sedikit tenggelam dan jauh, Maknanya hotel tu jauh lagi nak sampai sambil mendaki. Setelah hampir 2 km kami berjalan di celah-celah bangunan di lereng gunung ni, sampai la kami ke hotel yang masih ada bilik kosong dan mempunyai kemudahan internet. Terima kasih kami ucapkan kepada Chacha dan Yassin kerana sama-sama berjalan dengan kami mendapatkan hotel penginapan kami di sini. Tapi pertolongan mereka bukan lah percuma. Reaksi muka dan mata mereka menunjukkan maksud tersirat. Mungkin kami muslim, maka mereka segan nak meminta. Tapi aku faham. Kehidupan disini bergantung sepenuhnya dalam industri pelancongan. Ada masa peak season, ada masa low season. Mereka akan buat apa saja kerja untuk menampung kehidupan. Kalau anda ramah dengan pelancong, mungkin dapat tips. Itu cara mereka. Peak season belum tiba. Kena tunggu beberapa bulan lagi.

Kami menginap di Woodland Hotel, dapat bilik mengadap ke lembah pergunungan. Pemandangan sangat cantik. Petang tu aku kata ke Buddy aku tak mau keluar dah. Penat sangat rasa kaki ni berjalan hari ni. Mendaki dan menuruni lereng-lereng gunung di Simla ni. Senja tu aku keluarkan bungkusan makanan yang aku bawa dari Malaya. Terdapat peanut butter, tuna sandwich dan roti gardenia di dalam bungkusan tu. Sedang aku melepak di katil dan Buddy di kerusi melayan gadget dan melayari internet masing-masing, tetiba bungkusan yang diletakkan di atas meja bulat di hadapan katil aku, juga berhadapan dengan kerusi yang Buddy tengah duduk hilang sekelip mata, menyelinap seekor monyet dari pintu balkoni mencuri bungkusan tadi. Kami tergamam sebab ia berlaku begitu pantas. Tak sempat Buddy mengejar dia sebab dia bergerak dan melompat dari satu balkoni ke balkoni lain dengan begitu pantas. Apa yang dibuatnya dengan bungkusan tadi ? Dicurinya roti gardenia aku yang tak sempat aku makan lagi. Dari jauh dia pandang semula ke Buddy dengan pandangan sinis. Tapi botol peanut butter dan tin tuna sandwich tu di tinggalkannya di tepi balkoni jiran aku. Angin juga la masa tu. Tapi memang tak rezeki pada roti tu. At least dapat kutip balik peanut butter dan tuna tu. Pintu balkoni tu terbuka sikit saja tapi dia dapat mengintai apa yang ada di dalam bilik. Lepas tu memang kami sentiasa tutup pintu tu melainkan kalau kami nak lepak di balkoni.

Aksi pencuri yang masih bebas. Cepat sungguh dia menyelinap masuk mencuri bungkusan makanan aku dan bawa lari sekelip mata.

Berdasarkan temubual aku dengan penduduk-penduduk tempatan di Simla. Sekiranya anda ingin melancong di kawasan pergunungan di sini, elok anda elakkan bulan May dan Jun kerana bulan-bulan tersebut merupakan peak season bagi kebanyakan tempat-tempat pelancongan di sana. Harga hotel sedikit mahal dan sukar mendapatkan bilik yang anda hajati dan bersesuaian dengan budget anda. Hotel juga perlu ditempah awal. Begitu juga dengan pengangkutan,ia akan menjadi mahal dan sukar didapati melainkan anda membuat tempahan awal.

Mengakhiri episod kali ini, aku sajikan sebuah video amatur pendek untuk tontonan semua. Selamat menonton and enjoy the music....



Semoga berjumpa di lain episod.
Wassalam

Layari www.akupunyatravel.com untuk pakej pelancongan ke destinasi terpilih hanya darpada akupunya travel

7 comments:

  1. saya add buddy akak ni kat fb lepas tgk dia post di BBM. nak tengok gamba india semata (berguna jugak internet dia untuk kepentingan saya :p ).

    really enjoy your writing & travelling style :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha....rajin dia update aktiviti dia di BBM.

      terima kasih sudi baca akak punye cerita.

      Delete
  2. seronok nye berjalan2 ... teringin juga mengambara .. tp baca blog pun dah best ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi menjengah ke blog ni.
      Alhamdulillah, berkesempatan mengembara sementara punya peluang

      Delete
  3. post yang menarik….akak guna camera GOPRO HERO 4 ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sudi datang berkunjung ke blog ni.
      Bukan Gopro. AEE yang murah jer....

      Delete
  4. Saya bercadang untuk honeymoon di Shimla hujung tahun nie. Kalau boleh nak minta tolong encik guide saya, bagaimana nak ke shimla nie dari kl, boleh email kan pada saya di wirdaaryanie.wa@gmail.com?

    ReplyDelete