Thursday 13 October 2016

China - Xi'an - The Great Mosque of Xi'an dan Lain-lain Masjid di Muslim Quarters

Assalamua'laikum warohmatullahi kepada semua pembaca Muslim. Alhamdulillah, kita dilahirkan dalam agama yang benar. Jadilah muslim yang sebenar. Muslim luaran dan muslim dalaman. Muslim di akhir zaman itu ramai seperti buih-buih di lautan, tapi keimanan amat tipis senipis kulit bawang. Kuatkan iman dengan belajar ilmu-ilmu agama agar dapat menangkis kuatnya cabaran keimanan dizaman ini. Kepada pembaca-pembaca non muslim, selamat sejahtera, moga anda di beri hidayah akan agama yang benar ini. Sesungguhnya hidayah keimanan itu adalah milik Allah jua.






















 


"The Lucky One". Satu satunya terracotta warrior yang digali dalam keadaan lengkap berlutut dalam posisi siap sedia setelah tertanam beribu-ribu tahun. Baju nya juga masih kelihatan cat warna merah. Ia merupakan patung seorang pemanah. Berada di Pit no.2.

Aku bukan nak bercerita tentang tentera patung ni. Banyak maklumat tentang sejarah patung-patung ni yang anda boleh baca di internet.

Kali ini aku nak bercerita tentang masjid. Lebih tepat masjid-masjid di Xi'an Muslim Quarter. Aku suka lawat masjid di negara yang minoriti Muslim, terutama masjid-masjid lama. Banyak sejarah yang aku boleh dapati dan banyak ilmu yang boleh aku pelajari. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan di internet mengenai masjid-masjid di Xi'an. Kalau ada pun hanya yang memang dah terkenal iaitu The Great Moqsue of Xi'an sedangkan yang lain-lain dipandang sepi. Maklum la kan. Sejarah umat Islam. Sapalah yang nak cerita tentang kehebatannya. Kalau bukan kita sebagai Muslim mengenengahkannya untuk maklumat sejagat, sampai bila-bila pun kita tak dapat maklumat secara langsung tentang masjid-masjid lama yang bertapak di dalam kawasan Muslim Quarter ini. Ia wujud lebih lama daripada kewujudan Islam di Tanah Melayu kita ni. Penduduk Tanah Melayu dan keseluruhan nusantara ni waktu tu masih dalam kegelapan iman. Jadi banyak-banyakkan bersyukur kerana hidayah keimanan itu sampai jua kepada nenek moyang kita. Malangnya aku tak tahu berbahasa mandarin, kalau aku tahu, memang akan aku selidiki daripada penduduk-penduduk tempatan akan sejarahnya. Sesuatu yang mengagumkan aku bila melihat peninggalan yang ada, yang semakin uzur ditelan zaman, tapi masih utuh berdiri memberi khidmat dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

Sepanjang aku menginap di sebuah hostel di dalam Muslim Quarter ni, aku dapat melawat beberapa buah masjid di dalam tembok kota lama ini. Sekiranya anda berkeinginan untuk ke Xi'an dan anda seorang muslim. Aku syorkan anda menginap di sini. Terdapat beberapa buah hotel/hostel yang berada di dalam kawasan Muslim Quarter ini. Anda boleh dapatkan di www.booking.com. Aku menginap di sebuah hostel yang bernama Alley Youth Hostel. Ia terletak di kawasan pasar di Muslim Quarter ini. Pemilihan hostel amat penting bagi aku. Keluar sahaja dari pintu hostel, aku boleh pilih kedai makan mana aku nak masuk. Semua peniaga muslim. Staff hostel ini pula boleh berbahasa Inggeris dengan fasih dan amat ringan tulang membantu aku tentang banyak perkara terutamanya language barrier aku dengan penduduk tempatan yang boleh buat aku pening nak menghadamnya. Mereka lah rujukan aku.   

Aku mengembara bukan semata-mata untuk melihat sahaja akan semua ciptaan Allah yang terbentang di hadapan mata aku. Aku belajar tentang hidup dan kehidupan. Aku belajar tentang adab bertemu manusia yang lain bangsa, lain budaya, lain kepercayaan, lain bahasa. Aku belajar tentang sejarah. Aku belajar tentang nilai-nilai kemanusiaan. Aku belajar erti sabar. Aku belajar untuk memahami, menerima dan yang penting aku belajar bagaimana untuk menjadi seorang yang redho dan mengucap syukur kepada yang memberi aku peluang dan ruang untuk aku mengembara.

************************************************************************************************

Muslim Quarter terletak di dalam kota lama Xi'an. Ia dikelilingi oleh tembok di sekelilingnya. Kota lama ini bukan lah tempat tinggal @ istana  raja-raja China dulu kala. Ia merupakan gudang/pusat pengumpulan bekalan makanan untuk penduduk di zaman dahulu. Ia juga adalah pusat perniagaan antarabangsa dimana kebanyakan penduduk muslim di ketika itu memonopoli perniagaan di sini. Di zaman kegemilangan Jalan Sutera Darat, nama Xi'an adalah Ch'ang an. Di dalam kota ini terdapat lebih kurang 20,000 orang penduduk muslim yang dipanggil bangsa Hui. Anda boleh kenal mereka melalui pakaian masing-masing serta rupa paras yang sedikit berbeza daripada bangsa Han. Kebanyakan penduduk Islam di sini lebih tertumpu didalam blok-blok di Muslim Quarter ini. Aku mengambil kesempatan ketika disini untuk berjalan-jalan di lorong-lorong sempit yang padat dengan penduduk sambil melihat sekeliling tentang kehidupan mereka dan beramah mesra dengan penduduk tempatan. Bila mereka melihat kelibat aku, automatik mulut mereka keluar perkataan Malaysia !. Samada aku yang akan memberi salam dahulu atau pun mereka. Dari situ aku terasa keakraban sebagai seorang pengembara Muslim bertemu Muslim tempatan. Jadinya, murah-murahkanlah senyuman dibibir anda jika anda ingin beramah mesra dengan penduduk tempatan. Aku bangga sebab ramai pelancong muslim dari Malaysia yang berkunjung ke sini. ukhuwah sesama muslim amat mudah dirasai. Dimana sahaja gerai dan restoran yang aku singgah atau masuk, nama Malaysia tak lekang dari mulut mereka bila mereka melihat kelibat aku. 

Peta tembok Kota Lama Xi'an. Bersegiempat tepat. Mempunyai 4 buah pintu masuk. Utara, selatan, timur dan barat. Jika nak melawat dan memanjat tembok, anda boleh masuk melalui pintu selatan. Jalan kaki sahaja dari Muslim Quarter. Adalah dalam 7 - 8 kilometer pergi balik. Aku agak la.. Aku jalan bukan terus sampai South Gate. Banyak tempat aku buat persinggahan. Aku singgah Drum Tower dulu, Lepas tu aku singgah Bell Tower, kemudian baru aku sampai ke South Gate. Masa balik jer aku terus jalan tanpa henti ke Muslim Quarter.  Haha.. Maka kuat-kuatkan lah kaki dan lutut untuk berjalan-jalan di sini.

South Gate tembok Kota Lama Xi'an

Berjalan mundar mandir di atas tembok Kota Lama Xi'an. Aku tak ingat berapa meter tingginya, tapi kalau jatuh boleh mati katak kat situ jugak. Tak pun patah riuk tinggal nyawa-nyawa ikan.

Terdapat lebih kurang 24 buah masjid di bandar Xi'an ini dan 10 daripadanya ( kalau tak silap aku ) terletak di dalam Muslim Quarter ini. Aku cuma jumpa 5 buah sahaja ( didalam Muslim Quarter) di mana satu daripadanya sedang melalui proses baik pulih dan penambahan bangunan baru. Masjid-masjid disini berdekatan antara satu sama lain. Aku perasan yang setiap blok ada masjid nya sendiri. Aku dapat rasakan yang dulu kala, masjid menjadi tempat persinggahan yang amat penting kepada pedagang-pedagang silam di laluan sutera ketika itu. Ketika aku berjalan-jalan di waktu maghrib, kedengaran suara azan dikumandangkan dari masjid-masjid ini. Seronok tak usah nak cakap la kan. Azan di negara minoriti muslim. Sebak dan lain rasa hati. Semua masjid terletak di laluan kedai-kedai. Ia memudahkan para peniaga serta pengunjung untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim apabila masuk waktunya. Allahuakbar! TAPI daripada pemerhatian aku, peniaga-peniaga di sini tak laju nak menyahut seruan azan tu. Masing-masing disibukkan dengan hal duniawi. Hal agama dan tuntutannya diambil sambil lewa. Ketika maghrib ni la pelancong-pelancong ramai berkeliaran di lorong-lorong kedai yang berbaris-baris banyaknya. Begitu besarnya hasutan dan bisikan tentera-tentera Dajjal.

MASJID DAXUEXIXIANG
=====================

Masjid pertama yang aku jumpa bukanlah The Great Mosque of Xi'an, tapi ianya sebuah masjid yang lebih tua daripadanya. Hanya lebih kurang 200 - 250 meter jaraknya dari tempat penginapan aku. Melihat kepada pintu masuk dan struktur bangunannya, termenung aku sendirian dihadapan batu tanda yang terdapat diluar masjid. Batu tanda yang ditulis dalam bahasa Mandarin dan English. Boleh lah aku baca sejarah pembinaannya dan sedikit maklumat asas tentang masjid ini.

Masjid ini dibina pada tahun 705 masihi. Berkeluasan 7,000 meter persegi. Begitu awalnya Islam sampai ke sini. Di zaman para sahabat lagi. Allahuakbar. Perdagangan telah membawa Islam sejauh ini. Di China ketika itu di bawah pemerintahan Kerajaan Dinasti Tang. 

Dari jalanraya, inilah bangunan masjid Daxuexixiang yang boleh dilihat. Sepintas lalu, aku tak perasan pada mulanya ia adalah sebuah masjid. Kebetulan aku berhenti di depan pintu dan memerhati rekabentuk lama bangunan ini. Lama aku amati baru aku perasan ianya sebuah masjid

Pintu gerbang yang semakin uzur dan terhakis oleh peredaran masa dan zaman. 1311 tahun telah berlalu. Merentas beberapa Dinasti pemerintahan sehinggalah ke Republic hari ini.  Mungkin masjid ini telah melalui banyak fasa-fasa baikpulih.

Pintu Gerbang di laluan masuk utama.
k
Terdapat banyak batu bersurat di dalam masjid ini. Keadaannya cukup jelas memberitahu usianya. Aku cuba amati tulisan arab yang diukir di batu ini. Sampai juling mata aku dalam cubaan nak baca dan otak aku nak hadam, samada ayat AlQuran atau batu surat, satu perkataan pun aku tak reti eja. haha...

Kawasan laman diwaktu petang nak ke senja menuju ke dewan solat utama di hari hujan gerimis 

Sapa tau baca tolong terjemah ke aku..

Bangunan kiri dan kanan laman. Macam bilik-bilik penginapan 

Ruang solat. Lampu belum dipasang. so aku tangkap jer la dalam gelap. haha

laluan batu berukir sebelum sampai ke laman utama masjid

Masjid-masjid lama yang terdapat di dalam Xi'an Muslim Quarter ini, juga di kebanyakan kawasan di sebelah utara dalam negara China ini mempunyai beberapa bahagian. Ia dimulai dengan pintu gerbang sebagai tanda anda sedang memasuki ke dalam kawasan masjid. Ia menandakan kekuatan agama. Kemudian kawasan laman, yang membuat mata anda sejuk memandang dan tenang dijiwa. Kemudian menara 2-3 tingkat untuk bilal melaungkan azan. Kemudian laman lagi yang menempatkan bilik-bilik di kiri dan kanan kawasan. Kemudian laman utama masjid. Akhir sekali dewan solat utama. Begitu berseninya masyarakat dahulu dalam merekabentuk dan membina sebuah masjid.

THE GREAT MOSQUE OF XI'AN
===========================

Masjid Besar ini terletak di laluan perniagaan utama yang sempit yang menempatkan peniaga-peniaga muslim yang padat dan sentiasa sesak. Terdapat papan tanda arah untuk ke masjid ini. Jika anda berjalan-jalan di Muslim Street yang terkenal ini, sila lihat ke atas ditepi-tepi bumbung kedai akan papan tanda ini. Sungguh mengagumkan daripada seni rekabentuk binaan bangunannya yang sepenuhnya bercirikan senibina China. Ia sama seperti masjid pertama yang aku jumpa. Mempunyai pintu gerbang, laman, pavilion, Bilik-bilik di kiri dan kanan laman, laman utama dan dewan solat.

Masjid Besar Xi'an dibina pada tahun 742 masihi, 37 tahun selepas masjid pertama yang aku jumpa tu dibina. Masjid ini amat istimewa. Ia menjadi kebanggaan masyarakat Bangsa Hui di Xi'an. Keluasannya juga lebih besar iaitu 13,000 meter persegi. Pintu gerbangnya juga lebih besar. Terdapat taman, bilik-bilik di kiri dan kanan laman dan pavilion sebelum sampai ke ruang solat utama. Lebih mengagumkan, dewan solat utama dihiasi dengan tulisan ayat-ayat suci Al Quran penuh dengan terjemahan sekali. Ayat-ayat ini dipahat di atas papan dan ditampal didinding dewan solat.

Pintu Gerbang Masjid Besar Xi'an. Dibuat daripada kayu.

Pintu gerbang dari arah dalam laman masjid

Laman masjid dan menara. Jenuh berlari nak tangkap gambar sendiri bila takde cameraman/woman

Batu-batu bersurat

Batu-batu bersurat ini ada yang diletakkan di laman-laman dan di dalam bilik-bilik. Banyak sungguh. Ada yang dah terhakis tulisannya oleh peredaran masa.

Apakah ini ? Berada di tepi laman. Mungkin tempat pemanas/pendiang haba atau simpanan air ? Aku tak pasti.

Koleksi-koleksi lama yang disimpan di dalam bilik.

Tak dapat nak di cairkan kebekuan otak aku untuk mencari petanda tentang batu ini

Batu bersurat dalam bahasa mandarin

Eh eh !! Dia pun ada melawat masjid ni di zaman aku tak kenal peta dunia lagi!

Menara azan
Selepas pintu gerbang pertama, ada lagi pintu gerbang kedua. Tempat ni dinamakan "The five room Hall".

Pavilion, tempat lepak-lepak dan beramah mesra antara jemaah

Pakcik-pakcik yang jaga masjid ni dan pelancong bukan Islam yang tak boleh masuk ke ruang solat ni perati jer aku dari luar buat kerja sorang-sorang kat ruang solat ni. Cari kerusi, setkan kamera then lari-lari anak ke depan. Bengong jap.

Tergamam aku tengok dinding dalam ruang solat ni. Atas adalah ayat-ayat suci AlQuran. Belah bawah adalah terjemahan dalam bahasa mandarin. Kome boleh hadamkan tak? 

Lihatlah seni mereka. moga yang mengukir ayat-ayat suci ini diberikan Allah syurga atas usaha mereka dan dijauhkan dari azab kubur. Semoga mereka dalam ketenangan dan kegembiraan dalam rahmat Allah di sana.


Siapa lah nama-nama pengukir ini agaknya. Dimana generasi mereka hari ini?

Dewan solat utama

Dnding luar dewan solat utama. Uzur dimamah usia

Hadapan dewan solat utama. Pelancong bukan muslim hanya dibenarkan melihat dari luar pagar ini sahaja. Pakcik tu penjaga masjid ni. Bagi salam ke dia. Nampak jer aku datang buka kasut kat luar pagar, terus suruh aku masuk dalam untuk buka kasut sambil duduk kat batu sebelah pintu dewan masjid. Lepas tu keluar daripada mulut dia perkataan Malaysia. Best kan. Sedekah sikit ke dia, langsung suruh aku geledah seluruh ruang masjid tu. Haha.

Hanya dua masjid di atas yang mempunyai maklumat dalam bahasa Inggeris yang boleh aku kongsi dengan pembaca semua. Tiga lagi masjid yang aku jumpa dan lawati tidak ada maklumat dalam bahasa Inggeris. Aku tak tahu apa nama masjid-masjid ini. Aku beri no aje la. Jadinya aku tak dapat nak hadam maklumat apa aku nak sampaikan di sini. Semua maklumat dalam bahasa mandarin. Apa yang aku boleh kongsi hanya lah gambar-gambar masjid tersebut untuk tatapan semua. Ketiga-tiga masjid ini juga mempunyai senibina yang lebih kurang sama. Cumanya ruang solat utamanya nampak baru dengan dinding batu dan lantai karpet moden.


MASJID KETIGA
==============

Masjid ini juga terletak berhampiran dengan hostel aku di sebelah belakang. Adalah dalam 300 - 400 meter jaraknya dari tempat penginapan aku. 

Dewan solat utama nampak dah dimodenkan.

Senibina China dan Islam

Laman masjid


MASJID KE-EMPAT
================

Masjid ni juga terletak bersebelahan dengan masjid no 3. Tak jauh mana pun. Adalah dalam 100 meter lebih kurang jaraknya. Aku tak perasana sebenarnya. Sepatutnya aku jumpa masjid ni dulu sebelum masjid no 3 tu. Bila aku pusing balik baru aku perati betul-betul penduduk local yang tengah duduk bersandar kat pintu masjid ni, rupanya bila aku jenguk ke dalam, nampak mimbar masjid ni.


Laman sebelum dewan solat

Pintu dewan solat

Lama masjid. Sejuk mata memandang

Pakcik ni bersiap sedia untuk sama-sama solat maghrib dengan jemaah yang lain. Parking motor roda tiga dia baik punya kat depan halaman masjid.

MASJID KE-LIMA
===============

Masjid ni berhampiran dengan Masjid Besar Xi'an tapi di blok yang lain. Dihadapan masjid ditutup dengan bahan binaan kerana dalam proses baikpulih dan pembinaan bangunan baru di sebelah dalamnya. Aku selongkar masuk ikut jalan tepi. Sehinggakan bila nak keluar aku sesat. Nasib baik penduduk yang berada dalam laman masjid tu bagitau aku jalan keluar. Aku tak sempat nak masuk ke dalam ruang solat utama sebab maghrib dah nak menjelma dan semua warga tua berada di muka pintu melihat aku mundar mandir di sekeliling laman masjid.

Lorong tepi yang aku jumpa untuk masuk ke dalam kawasan masjid

Semua tempat yang lapang diletakkan pasu-pasu sebab proses baikpulih dan pembinaan bangunan baru sedang berjalan.

Aku tak tau la pokok buah apa ni. Berada di tepi laman masjid

Yang ni delima rasanya. Masa aku mengembara di Xi'an ni, banyak buah delima dan air delima dijual di jalanan. Memang tengah musim menuai delima. Even sepanjang jalan menuju ke Muzium Terracotta, terlalu banyak ladang-ladang delima di kiri kanan jalan. 

Tu jer aku nak cerita tentang masjid-masjid yang aku telah jumpa di Muslim Quarter, Xi'an. Sekiranya aku berkesempatan lagi untuk ke Xi'an, aku akan cuba cari lagi 5 buah masjid yang masih kukuh berdiri di dalam kawasan Muslim ini.

Xi'an atau nama purbanya Ch'ang an, merupakan pusat perdagangan terkenal ketika kemasyhuran jalan sutera darat dahulu. Dari laluan ini lah Islam berkembang pesat ke sebelah timur Tanah Arab. Ia membawa peradaban Islam juga bangsa baru iaitu campuran timur dan barat yang menjadikan Bangsa Hui di China hari ini. Aku telah sampai di pusat laluan sutera darat di sebelah barat iaitu di Syria beberapa tahun lepas iaitu sebulan sebelum perang tercetus sehingga kini yang menghancurkan negara Syria seluruhnya. Lebih tepat lagi Aleppo, Palmyra dan Damsyik di mana aku dapat melihat sejarah silamnya dan segala memori itu masih kekal diingatanku. Dan kini aku berjaya sampai di pusat laluan sutera darat di sebelah timur ini iaitu Xi'an dan aku dapat melihat sisa-sisa peninggalan silamnya yang masih diwarisi sehingga ke hari ini. Sepanjang laluan antara Aleppo sehingga ke Xi'an, majoriti penduduknya beragama Islam. Bangga kan! Tidak perlu peperangan untuk mengembangkan agama Islam ini. Perdagangan telah menyatukan bangsa-bangsa di laluan ini dalam agama yang satu. Sekiranya aku masih diberi peluang dan ruang untuk aku teruskan pengembaraan aku dengan cara aku, aku akan cuba pula merentas semula laluan sutera darat ini untuk melihat peninggalannya yang sungguh aku kagumi sejak aku kenal erti sejarah dan geografi. In Shaa Allah, semoga Allah memberi aku umur yang panjang, kekuatan fizikal dan mental, kelapangan masa serta kewangan untuk aku merealisasikan impian aku ini suatu masa nanti.

Sekian, wassalam
Moga berjumpa di lain siaran

Aku Seorang Pengembara
Shah Alam, 13 Oktober 2016

13 comments:

  1. Kalau tak perati betul-betul memang tap pasti ianya masjid. Maksu ke Xian sorang aje ke...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tu la, memang kene tenong lama2.
      Yup Pak lang, keme pergi sensorang jer selepas grup keme terbang kembali ke Malaya dari Beijing hari tu.

      Delete
  2. bestnya..in shaa Allah, nak jg Jalan2 Cari Masjid di Muslim Quarter, Xi'an...menghitung hari..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat mengembara
      Moga jumpa masjid-masjid yang ada di Muslim Quarters
      Jangan lupa makan satay kambing hari-hari. Nanti nyesal tak makan byk-byk. haha

      Delete
  3. A.kum sis, terima kasih info yg diberi. Mohon share & halalkan. InsyaAllah sy akan kesana dgn cara berbeza. Menghayati keagungan Allah. Doakanlah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waa'laikumussalam
      Sila lah share, semoga ia memberi maklumat kepada yang memerlukan.
      Selamat mengembara, semoga pengembaraan itu menambahkan lagi syukur kita kepada Allah

      Delete
  4. untung le akak dapat explore semua masjid yang ade kat Xian. Sye je tak sempat lebih..
    plan nak peergi Xian lagi, nak bawak ayah tengok muslim kat sana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak dapat jugak nak explore semua. tak cukup masa
      In Shaa Allah akak pun nak pergi lagi nanti, seronok tengok masyarakat Islam di sana dan beramah mesra dengan deme

      Delete
  5. salam, saya dah tempah utk stay kat alley youth hostel, blh bagi tips how to go to the hostel from airport? ok tak ladies travel tgh mlm. flight landed 1230am

    ReplyDelete
  6. Salam,

    Hostel yang tempat awak tinggal ada tandas tak dalam bilik?

    Saya dengan suami saya akan ke Xian tahun depan bulan 2.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam
      Ye. Setiap bilik ada tandas
      Sangat selesa dengan harga yang berpatutan

      Delete
  7. untuk xian alley south hsotel saya tengok dalam google maps ada dua hotel yang sama harga , mana satu

    ReplyDelete