Friday, 11 December 2015

Incredible India - Himachal Pradesh - Episod 6 - Perjalanan Yang Panjang di Pergunungan dari Sarahan ke Chittkul

Assalamua'laikum dan selamat sejahatera kepada semua pembaca.

16 Sept 2015


Hari ini aku meneruskan pengembaraan menuju ke kawasan terpencil dan hampir ke hujung sebelah tenggara di pergunungan dalam wilayah Kinnaur di Himachal Pradesh. Bila aku bertanya kepada penghuni bumi Chittkul, tiada lagi orang Melayu dari Malaysia yang sampai ke tempat ini dengan cara kami mengembara ke sini. Aku ulang lagi sekali, tiada pengembara dari Malaya yang telah menjejaki tempat yang aku jejak ni. Aku dan Buddy adalah yang pertama.. Hahaha... Bangga diri sekejap dengan gelak paling angkuh. TAPI... TETAPI... AKAN TETAPI.....nak menyampaikan badan ke sini serta destinasi-destinasi seterusnya selepas ini...separuh nyawaku hilang ditelan jurang gunung jajaran himalaya ni, kena alami senak perut dulu, main lambung-lambung usus dulu, main hentak-hentak kepala di bumbung kereta rasmi aku tu dulu, kena tahan biji mata daripada terjengul keluar, pastikan jantung tidak berhenti berdenyut bila lalu tepi jurang sempit di gunung dan berselisih pulak dengan kenderaan lain dan tengok tayar kereta hanya beberapa inci dari jurang tu dulu, kena istighfar banyak-banyak agar diampun segala dosa-dosa kerana rapuhnya nyawa dan kena muhasabah diri sentiasa  kerana sebarang kesilapan kecil dalam pemanduan di lereng gunung yang sempit, curam dan berliku dengan struktur permukaan jalan yang berlubang-lubang dan tidak rata dan menempuh sungai-sungai berbatu kecil itu akan mengakibatkan musibah yang amat dahsyat yang boleh digambarkan oleh akal fikiran yang waras. NAMUN DEMIKIAN.... haha.... panjang sungguh mukaddimah aku untuk episod kali ini.

Aku disebuah perkampungan di Chittkul

Namun demikian, sambung balik mukaddimah. Semakin jauh aku mengembara ke kawasan yang pencil, semakin dekat aku dengan puncak-puncak gunung besalji, rasa semakin dekat aku berinteraksi dengan alam, semakin sihat paru-paru dan jantungku menghirup udara yang segar dan tidak tercemar oleh sebarang chemicals, Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Cuaca yang hampir sejuk beku itu tidak membantutkan keghairahan ku untuk ke tempat paling tinggi selagi ada jalan yang boleh dilalui oleh kenderaanku ini.

Kami turun dari Sarahan pagi tu lebih kurang pukul 7.30 am. Cuaca baik dan cerah dengan awan membiru.Tanpa sarapan. Aku tak tahu apa yang akan kami tempuh dalam perjalanan hari ini. Apa yang akan kami lihat, bagaimana struktur jalanraya dan persekitaran di tempat yang kami lalui dan siapa yang akan kami temui. Tidak banyak pengembara yang melalui kawasan ini. Kebanyakan pengembara akan bermula dari Manali mengikut pusingan jam, seterusnya naik ke atas ikut Rohtang Pass kemudian baru ke timur. Selalunya mereka tidak turun ke bahagian tenggara ini. Mereka akan pusing balik ke Rohtang Pass dan kembali ke Manali atau terus naik lagi ke Keylong. Tapi kami sebaliknya, lawan arah jam, kami bermula di Simla terus ke timur dan akan naik ke atas kemudian melepasi Rohtang Pass dan turun ke Manali.

Ladang-ladang epal yang sedang berbuah lebat di sekeliling lereng gunung memukau pandanganku. Ia sedang dituai. Bukan suatu kerja yang mudah memetik epal dilereng gunung dengan keadaan lereng yang curam dan cuaca menggigit tulang. Ia memerlukan tenaga physical yang kuat. Mengangkut raga-raga yang penuh dengan epal menuruni atau mendaki lereng yang curam ke tepi jalanraya. Tapi bagi penduduk tempatan, bekerja dalam keadaan cuaca sebegini adalah biasa bagi mereka. Kalau anda berkesempatan melancong atau berkerja ke India dan melihat kotak-kotak epal di kedai-kedai, sekiranya tertulis Himachal Pradesh di kotak-kotak tersebut, ketahuilah, aku berada di pergunungannya yang penuh dengan ladang-ladang epal ketika ianya sedang dituai.

Jalan sempit dan curam ketika turun dari Sarahan memeningkan kepalaku kerana perutku masih kosong. Duduk di dalam kenderaan yang membuai-buai badanku ke kiri dan ke kanan kerana kenderaan mengikut rentak jalan yang berbelok-belok di lereng. Bila dah sampai semula di Rampur, barulah struktur jalanrayanya agak baik. Pemanduku meneruskan perjalanan ke timur. Bila kami dah turun dari Sarahan, dia bertanya kepada kami samada kami nak bersarapan di kedai-kedai kecil yang dilalui atau teruskan dulu pemanduan, aku kata teruskan saja dulu. Perutku masih mampu bertahan. Si Buddy dan York mengikut saja. Tak de nak complain apa-apa. Aku rasa mungkin aku kenyang menghirup udara gunung yang segar..haha

Laluan aku hari ni :

Sarahan -> Rampur -> Dhar -> Jeoti -> Wangtoo -> Nichar -> Karcham -> Sangla -> Chittkul

Si York yang suka ambil gambar pemandangan dan aku yang suka ambil gambar lembu...

Bila kami sampai di kawasan Jeoti, pemandu memberhentikan kami di tepi jalan mengadap ke lembah Satluj untuk menikmati pemandangan pagi yang indah. Alhamdulillah, dengan cuaca yang terang kami dapat melihat lembah tersebut yang saujana mata memandang. Lama juga kami berhenti di sini. Aku rasa lebih setengah jam hanya untuk menghayati keindahan alam.


Kami berhenti di sini, tepi jalan yang lengang. Di kiriku jurang dan di kananku air terjun.

Terdapat perkampungan di bawah sana. Kat situ pun manusia pandai membuat penempatan
Habis zooooommmmmmmmmm dah aku tangkap perkampungan tersebut

Air terjun di tepi jalan di Satluj Valley. Ni baru permulaan. Lepas ni lagi banyak sungai dan air terjun yang kena lalu.

Melepasi kawasan Jeoti bermakna kami akan memasuki wilayah Kinnaur. Selamat tinggal wilayah Simla.

Jalan-jalan di lereng pergunungan ni ada yang ditarah gunungnya untuk dijadikan jalanraya. Maka berbagai-bagai formasi lah yang aku jumpa sepanjang perjalanan.
Struktur jalan tak berapa elok dan hanya satu kenderaan saja boleh lalu dalam satu satu masa.



Disebabkan formasi batuan di lereng gunung ni unik, kami berhenti sebentar melihat sekeliling dan bergambar. Kenderaan tak banyak lalu lalang, jadi mudah untuk kami ketengah ketepi ikut suka-suka hati.

Siap buat aksi lagi di tengah jalanraya

Tarahan lereng gunung berbatu yang dibuat laluan jalan.

Mereka sedang berehat disana...

Dari jauh dah kedengaran bunyi hon, maka bersiap sedialah si pemandu mencari struktur jalan yang lebih lebar agar mudah berselisih nanti

Sempat bergambar dengan konstable sahab. Penjaga sempadan wilayah antara Simla dan Kinnaur


Mereka juga mempunyai hak menggunakan jalanraya di sini. Kena bagi laluan pada mereka ni. Bagus nya mereka bergerak secara berjemaah, ada dua ekor abang kawasan dan pembantu abang kawasan yang memimpin pergerakan. Segak dan macho jer macam abang sado !... Tiba-tiba aku teringat kesedapan satay kambing yang aku makan hari-hari di  Kunming dulu.

Sihat-sihat belaka deme ni dengan bulu yang lebat padat penebat haba. Beratus-ratus ekor sekali lalu. Ada juga yang degil keluar dari kawanan memanjat lereng-lereng gunung ni sambil meragut rumput-rumput yang terdapat di situ.

Kami melepasi Wangtoo dan terus ke pekan kecil Nichar. Di sini kami berhenti untuk bersarapan merangkap makan tengahari awal. Memandangkan mustahil untuk mendapatkan kedai muslim sebab tak ada komuniti muslim di sini, aku meminta pemandu mencari restoran full vegetarian. Bila kami sampai saja di restoran tepi jalan, kami disapa dengan ramah oleh pemilik kedai. Macam biasa aku akan interview mereka untuk kepastian. Aku meminta izin untuk masuk ke dapor dan buat pemeriksaan. Itu lah cara aku.

Aku membuka tudung periuk yang terdapat didepan dapur. Wow.. aroma wangian dhal dan lain-lain masakan yang berasaskan bijirin dan sayuran menusuk ke hidungku. Tiba-tiba perut aku terasa begitu lapar.

Capati adalah makan ruji di sini. Makanan sihat tanpa goreng-gorengan. 

Kami mencari tempat duduk dan di layan dengan begitu baik sekali. Aku rasa mungkin tidak banyak pengembara yang melalui kawasan sini serta singgah di restoran tempatan begini yang nampak sedikit uzur daripada luar. Tapi ketahuilah, menikmati makanan tempatan di tempat yang aku pergi tidak pernah mengecewakan tekak aku. Sedap segala. Aku pula bukan jenis yang memilih makanan atau mengada-ngada dan malu-malu dalam mencuba memakan di sesuatu tempat.

Capati, dhal, kacang yang macam buah pinggang tu dan cauliflower. 

Pekan kecil Nichar

Bila perut telah penuh, aku berjalan-jalan sebentar di pekan Nichar ni. Ramai penduduk tempatan memerhati kami. Mungkin kami ni spesis alien masuk kampung. Biarkan lah. Aku mencari kedai telekomunkasi untuk top up internet aku. Walau aku jauh di jajaran himalaya yang terpencil. kemudahan internet masih laju. Aku masih mampu berhubung dengan dunia luar yang tiada bersempadan. Aku belum hilang dari radar..haha...

Kami meneruskan perjalanan ke Karcham. Terdapat janakuasa hydroelektrik di sini. Bukan sahaja di sini. Terdapat beberapa buah lagi disepanjang perjalanan kami di wilayah ini. Melepasi Karcham, kami kembali mendaki lereng-lereng gunung yang curam.


Penempatan tersusun di Karcham. Samada penempatan tentera atau pekerja hydroelektrik. Aku tak pasti. Lupa tanya Sonu sebab dia tengah memberi tumpuan pada pemanduan.

Antara lereng-lereng gunung, terdapat sungai dan air terjun di lembahnya. Jalan berbelit-belit macam ular. Sukar untuk aku pastikan gunung yang mana kami telah lalui. Pemandu kami amat arif dengan jalan-jalan dan simpang-simpang yang ada di gunung ni. Sekejap kami berada di kawasan lembah, kemudian dalam setengah jam kami sudah sampai di kawasan puncak. Begitu la yang berlaku dalam pemanduan kami di lereng gunung ni. Sekejap di bawah, sekejap di atas, merentasi dari satu gunung ke satu gunung tanpa sesat. Aku kagum dengan ilmu jalan di gunung yang dimiliki oleh pemandu kami.

Begini la keadaan jalan di gunung. Jalan berliku dan sempit.

Ada ketikanya kami terpaksa berhenti agak lama di pertengahan jalan apabila terdapat halangan di hadapan kami. Kenderaan berselisih terutamanya antara lori dengan lori. Amat mengerikan bila aku melihat pemandu-pemandu tersebut cuba untuk melepasi antara satu sama lain betul-betul di tepi jurang gunung. Silap selangkah, musibah menimpa.

Apa telah terjadi di sebalik lereng sana ?

Aku turun dan bergediks tepi lori dan gaung bila dapat tahu keadaan sedikit kritikal dan makan masa untuk selesai kerana pertembungan antara lori dengan lori.

Ini la yang berlaku. Lori tentera dan lori barang berselisih di selekoh jalan yang sempit. Mereka sedang mencari penyelesaian agar dapat melepasi antara satu sama lain. Mereka terpaksa bergesel antara satu sama lain untuk elak tergelincir dan terus menjunam ke dalam gaung tu. Detik cemas.  Apa kami buat ? tunggu jer laaaaaa.

Akhirnya bila dah lepas detik cemas tadi, kami turun semula ke lembah untuk panjat gunung yang lain pula. Begitu la sepanjang perjalanan sehingga sampai ke destinasi hari ini. 

Kami tiba di Sangla. Sonu terus memandu ke sebuah perkampungan. Ada monastri berusia lebih 1000 tahun di atas sana, katanya. Aku mengangguk lemah. Aku tak berminat nak melawat tempat-tempat sebegini. Memandangkan ada orang lain bersama kami yang minat lawat temple dan kuil, aku terpaksa ikut saja la. Sampai dihujung jalan, Sonu bagitau kalau nak lawat kene panjat anak-anak tangga yang entah berapa tinggi kena panjat. Aku kata biarlah York je yang pergi. Kami tunggu jer kat sini. Sonu angguk tanda setuju.


Perkampungan di Sangla - Nun paling tinggi terletaknya monastri yang berusia lebih daripada 1000 tahun. Semput lutut aku tengok.

Aku berjalan-jalan di perkampungan tersebut. Keliling ladang epal. Semua berpagar. Maklumla. Lembu banyak. Nanti habis dikebasnya. Aku cuba cari jalan masuk ke dalam ladang. Tak jumpa. Bukan tujuan nak petik epal, aku cuma nak bergambar saja. Tak ada orang pulak yang lalu lalang waktu tu. Aku teruskan berjalan lagi sambil mata aku melilau tengok ladang yang boleh aku masuk.

Ladang-ladang disini diairi oleh anak-anak sungai dari gunung. Jernih dan bersih. Ia dijaga dengan elok sekali oleh penduduk di sini. Siap buat macam saliran berbatu.

Aku tunggu tepi sebuah ladang sambil berdoa agar ada tuan punya ladang yang akan lalu. Dari jauh aku nampak seorang budak sekolah lalu. Baru balik dari sekolah. Aku sapa dia. "Balik dari sekolah ke?"aku tanya, " ye". katanya.  Aku tanya samada dia tahu mana-mana tuanpunya ladang di kiri kanan jalan ni yang boleh aku jumpa dan nak rasa melepak dalam ladang epal. Terus dia jawap, " tu kat depan tu ladang epal keluarga saya"katanya..Hatiku melompat riang.

Aku lupa nama dia. Berusia 12 tahun, sekolah swasta di Sangla di mana ibunya pengetua disitu dan ayahnya seorang renjer hutan. Balik sekolah bawa beg begitu sahaja. Tak perlu gendong beg seberat 5 kilo epal sampai terbongkok-bongkok macam kanak-kanak di Malaya.

Dia mempelawa aku masuk ke ladang epal keluarganya. Kena panjat sikit pagar batu yang disusun dan alihkan ranting-ranting kayu kat situ. Macam tu la jalan masuknya. Baru aku tahu. Kemudian aku tanya kenapa teruk sangat pagar nya siap ada ranting lagi. Untuk elak lembu daripada masuk ke ladang, katanya. Epal nya macam dah nak masak, "bila nak tuai?" aku tanya lagi. "Lagi dua ke tiga minggu boleh la" jawapnya.

Aku pun selongkar la ladang epal tu, bergedik sana sini. Puas hati aku. Kemudian dia petik dan bagi beberapa biji ke aku. Hiihaaaa. Hati manyak suka.... "Petik jer la kalau nak lagi", katanya. Tapi aku rasa cukup la dengan apa yang dia bagi tu. Kemudian kami berjalan sama menuju kampung dia yang kena naik tangga nak ke monastri tu.

Epal yang ranum di pokok. Manis dan crunchy....

Sambil jalan pulang, aku bagi ke dia sedikit sedekah tanda terima kasih. Dia tak mahu terima pada mulanya. Aku kata gunalah untuk beli aiskrim. Dia jawap tiada aiskrim jual kat sini. Mati akal aku. Akhirnya aku kata buat je la untuk belanja apa pun. Anggap saja sebagai upah beli epal dan bagi masuk ke ladang tadi.

Kemudian dia kata " I believe in God", "I am Christian". Dalam hati aku kenapa tiba-tiba budak ni cakap begitu. Mungkin sebab dia tahu aku Muslim. Ye dia tahu katanya. Aku tanya lagi ramai kah penduduk Kristian kat kampung ni. Katanya tak ramai, keluarga dia dan beberapa keluarga lagi. Lain semua samada hindu or Buddha. Aku berdoa agar dia diberi hidayah untuk mendalami Islam dan mengenal agama yang benar suatu hari nanti. Aku boleh tahu daripada perbualan kami, cara dia bercakap dan berfikir, dia seorang budak yang pintar.

Tak lama kami melepak kat tempat parking kereta, nampak York sedang turun dari monastri. Aku tanya kenapa kejap jer. Katanya dah tangkap gambar turun la. Kami meneruskan perjalanan. Puncak-puncak gunung bersalji semakin dekat aku rasa. Kami ternampak dari jauh sebuah lembah yang luas dan cantik serta sungai yang luas ditengah-tengahnya. Aku minta Sonu singgah di tempat tersebut.

Kawasan Summer Camp di Rakchham, Sangla yang terletak di tepi sungai macam dalam cerita Kuch Kuch Hota Hai.

Mula-mula kami tengok dari tepi jalan sahaja dan masuk ke sebuah hotel untuk melihat ke lembah. Lama aku perati macam ada jalan untuk ke sana. Aku kata kepada Sonu dan lain-lain, jom kita masuk ke summer camp tu. Lagi best tangkap gambar dari sana dan lepak tepi sungai. Kawasan yang memang cantik giler. Tenang melihat alam.

Sungainya yang luas dan bersih dengan batuan sungai di dasarnya, berlatarbelakang gunung-ganang yang mula di selimuti salji sedikit demi sedikit.

Ada air terjun yang deras di bawah jambatan yang kami lalui untuk ke summer camp tersebut

Kami mengelilingi summer camp tersebut terutamanya di kawasan sungai. Lama juga kami melepak dan bergambar serta menikmati ketenangan alam dan keindahan pergunungan di sini.

Kami sampai ke destinasi akhir untuk hari ini di Chittkul lebih kurang pukul 5.00 pm. Laluan ke Chittkul kena lalu kawasan tentera polis India yang menjaga kawasan Indo-Tibetan Border. Kami berada di dalam hutan dan penuh dengan aliran anak-anak sungai. Tiada kenderaan yang lalu lalang kecuali kami. Sunyi sepi terasa.

Laluan ke Chittkul. Pemandu kami iaitu Sonu kena daftar di pondok polis tentera di sini sebelum dibenarkan memasuki kawasan menuju Chittkul.

Seorang petani di Chittkul pulang ke rumah dari ladang di hujung sana dengan membawa makanan untuk lembu ternakannya.

Ketika kami berada di dalam hutan menuju ke perkampungan di kaki gunung Baspa Valley, tak pula terjumpa seekor binaatang pun berkeliaran. Aku ingat bolehlah nak beramah mesra dengan Gajah atau Yak liar, usahkan Pak Belang, belalang pun tak nampak bayang. Ketika kami sampai di sebuah perkampungan di Chittkul, matahari dah nak hampir berlabuh. Petani-petani pula masing-masing dah nak sampai ke rumah dari ladang mereka di lembah pergunungan himalaya ini.

Bersambung di lain siaran
Selamat membaca dan terima kasih

12 comments:

  1. Nice photo, pjg bebeno n3 ni tapi bapak baca sampai habis psl tgh laysn mata ni ngantuk , sini br kul
    2.05 ptg , krg kul 4.15 dah mula gelap

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha...anggap la tengah baca buku traveller di muka surat 221 - 235. Kejap jer nak abih...
      Selamat menjelajah dan menyelongkar bumi USA sama kamu bapak dan mak itam....

      Delete
  2. Waaaaaa I like it so much . I LOVE IT !! Your post are awesome !!! .I'm in love again . OMG !! . Btw That rock is quite unique like it almost fell down but it's not . I know this place when I watch "Extreme road trukers at National Geographic channel" They go there too , I'm trully amazed that you've been there . Masha'Allah look at their sky . Beautiful !!

    blog link - Syamsid Blog -

    .

    ReplyDelete
    Replies
    1. It was another great journey for me. Alhamdulillah.

      Delete
  3. berdarah mata jeles tgk and baca nih. hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha...lawak la hang ni
      India Utara memang best. Gunung ganang dia....speechless akak dibuatnya

      Delete
  4. Wahhhhh akak nak repeat india !

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sila la repeat. Banyak lagi tempat yang belum di jejaki kan

      Delete
  5. Bnyknya kmbing... lg rmai dr org..hehe.. x petik buah epal ke kak yong?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yong tengok kambing2 tu nampak satay jer......
      Petik epal masuk mulut terus...hehe

      Delete
  6. suasana perjalanan gunung nya sebijik macam perjalanan travel saya lalu pergunungan nak ke banaue di philippines, boleh bayang dgn jln sempitnya sekejap dkt lereng sini xlama lps tu dah dkt sebelah gunung sana plak.... besssss

    ReplyDelete