Saturday, 9 July 2016

Incredible India - Himachal Pradesh - Episod 10 - Dari Perkampungan Nako ke Tabo di Dunia Tanpa Radar Telekomunikasi

Assalamualaikum Warohmatullah kepada semua pembaca Muslimin dan Muslimat di mana jua anda berada. Juga Selamat sejahtera kepada semua pembaca Non-muslim. Semoga anda sihat dan ceria hari ini.

Salam Eid ul fitri kepada semua umat Islam walau dimana anda menyambutnya. Semoga puasa yang berlalu mendapat pahala berganda, kerahmatan dan keberkatan dalam beribadah daripada Yang Maha Pemberi dan Pemurah. Alhamdulillah, semoga kita dipanjangkan umur agar dapat bertemu lagi dengan ramadhan tahun hadapan, In Shaa Allah. 

Berada tinggi sebaris dengan awan..

19 Sept 2015

Pagi di Nako amat-amat sejuk. Aku seperti tidak mampu untuk keluar daripada selimut pun. Sekiranya anda berkeinginan dan merancang mengembara ke sini, pastikan anda mampu menghadapi cuaca sejuk menyengat kulit tanpa hot blanket, heater atau hot water. Ini baru bulan september. Belum lagi masuk ke musim sejuk sebenar. Baru cuit-cuit sejuk. haha.. Bersedialah daripada segi mental dan fizikal. Anda yang menentukan jalan dan corak pengembaraan anda. Dan beginilah yang aku pilih. Mencabar diri sendiri dengan cuaca yang semakin sejuk ketika ini dengan kemudahan yang asas sahaja. Aku berharap keadaan sekarang disini akan tetap berkekalan selama mungkin. Biarkanlah kemodenan itu tidak muncul disini. Agar ia mengajar kita erti syukur dan sabar. Berada di perkampungan terpencil di celah-celah pergunungan dengan berbekalkan kemudahan yang asas sahaja bagi manusia khatulistiwa memang sedikit memeritkan. Terutamanya kemudahan internet dan alat pemanasan global. Namun demikian, kejayaan dalam menghadapinya merupakan satu kepuasan bagi aku. Pengalaman yang dilalui tidak akan dapat aku beli dimana-mana. Kekal di memori selagi memori itu tidak dimasuki virus lupa. Dan di blog ini, aku berkongsi pengalaman itu dengan pembaca. Juga buat rujukan dalam pengimbasan memori aku dimasa akan datang.

Sarapan agak lewat pagi ni. Chef kesiangan agaknya. Malam tadi aku tengok ramai pelanggan di kedainya termasuklah kami bertiga. Jadinya pagi ni chef sibuk menyediakan segala-galanya semula. Ke hulu ke hilir dia memusing dapor tu. Aku pun terjebak sama ke hulu ke hilir ngelak dia dalam dapor yang kecik tu. Menyebuk betul aku ni. Uli tepung buat mee. Uli tepung buat paratha. Rebus kentang dan lain-lain persediaan. Segala-galanya buat sendiri. Tiada yang segera. Memang makan masa la sikit. Aku pun sabar sahaja menunggu walau perut aku ni dah hampir menggigil-gigil kesejukan tanpa makanan. Keluar masuk dapur sahaja kerja aku. Kalau tak melangkah masuk dapor pun, aku jenguk kat pintu dapur tu, menenggek kat situ sambil lirik mata aku mengikuti setiap pergerakan chef. Aku kata ke chef yang aku nak potato tikkali dan potato paratha lagi pagi ni. Tu yang dia rebus kentang untuk aku tu. Sementara tunggu chef memasak, aku melangut tepi tingkap tengok kabus gunung. Nak jalan-jalan kat luar pun terasa berat kaki nak melangkah. Beku!!!

Dah sempurna masalah perut, kami bersiap untuk meninggalkan bumi Nako. Cari tempat lain pula untuk ditinggalkan jejak aku ni. Hidup di pergunungan ni tak perlu nak terkejar-kejar masa. Bergerak dalam keadaan yang cukup santai. Menggeliat sesaja aku nak bersiap untuk keluar dari kampung ni sebab aku suka suasana kampung di pergunungan yang sejuk dan tenang sebegini.

Akhirnya kami turun juga dari kampung di pergunungan ini. Berat rasa hati nak berlalu pergi. Terfikir sejenak. Tiada kah kumpulan jemaah Tabligh yang keluar ke sini selama 40 hari dan memberi penerangan tentang Islam. Besar harapan ku agar suatu hari nanti akan ada sinar Islam di sini. Memalingkan kepala ke belakang, sedikit demi sedikit perkampungan ini nampak semakin jauh dibelakangku dan akhirnya hilang dari pandanganku di sebalik gunung-gunung yang berceracak. Apa yang ada di hadapan mata sekarang adalah jajaran pergunungan yang tandus tiada berpenghuni dengan cuaca sejuk menyengat-nyengat kulit di pagi hari.

Kabus pagi yang masih membaluti pergunungan disini

Melihat gunung berceracak disini, sambil melihat ke sekeliling alam dari dalam kereta, aku cuba membayangkan bagaimana keadaan gunung2 ini apabila ia diarah untuk hancur nanti. Bertebaran bak hamparan permaidani atau tikar mengkuang seluas mata memandang dan kemudian apabila bumi ini digulung. Maka berakhirlah sebuah episod kehidupan dunia . Amat sukar untuk digambarkan.

Kawasan pergunungan ini seperti yang diberitahu oleh penduduk tempatan, akan ditutup kepada semua pengembara bermula bulan November setiap tahun sehingga bulan May kerana salji tebal. Salji tebal akan memutuskan satu-satunya jalinan perhubungan darat yang ada. Salji tebal juga akan menyukarkan pergerakan kenderaan akibat permukaan jalan yang licin. Cuacanya juga pada waktu itu hanya penduduk tempatan sahaja yang mampu menghadapinya.

Gayat tengok bawah nun...

Ini caption " Lihatlah gunung ganang yang luas terbentang. Kalau rasa hidup dah tak bermunafaat walau untuk diri sendiri, silakan ke sini dan terjun !!"

Berhenti sekejap di tengah jalan tinggalkan jejak

Ternampak formasi gunung yang menarik dan cantik di mata kami, aku minta pemandu berhenti sehampir mungkin untuk kami nikmati pemandangan sekitar kawasan sini

Dan juga melompat keriangan bak kanak2 ribena

Ni caption "menuju jalan mati"
Dia juga mengekori kami ke tempat dimana kami bertenggek sebentar. Lupa aku nak pinjam motor dia untuk bergambar. Dah masuk ke kereta baru aku terfikir. Otak kebekuan. Nak pusing semula berjalan ke hujung sana memang aku takkan buat la... Jauh dan sejuk gediks.

Akhirnya, setelah usus perut ku bergolek ke kiri dan kanan dan dilambung-lambung ketika turun naik gunung, kami sampai di sempadan daerah Kinnaur dan Spiti.

Jarak tak lah terlalu jauh, tapi perjalanan nya memang menguji kecekalan jiwa seorang pemandu dan memerlukan kepakaran yang tinggi untuk melakukan pemanduan di gunung.

Setiap pengembara perlu melapor diri di pos kawalan sempadan daerah di Simdo. Passport dan Permit perlu ditunjuk dan didaftarkan.

Pos kawalan sempadan antara daerah

Perjalanan menuju ke Kaza. Tapi kami akan berhenti di sebuah perkampungan sebelum Kaza iaitu Tabo.

Ketika kami sampai di sebuah lembah sungai, terdapat halangan batu-batu gunung runtuh menghalang jalan. Kami terpaksa berhenti di situ. Tiada pilihan. Juga terdapat sebuah lagi kenderaan yang tersekat seperti kami. Sepasang pengembara dari Holland, Mereka menggunakan pemandu pelancong selain daripada pemandu kenderaan untuk membawa mereka ke kawasan ini. Seterusnya kami ber-konvoi sepanjang perjalanan pada hari tersebut. Mereka membawa kamera yang panjang sehasta tu. Takut aku tengok. Ni mesti professional photographer, hati aku berkata-kata.

Terdapat halangan di hadapan. Batu2 runtuh dan satu-satunya laluan yang ada sedang dibersihkan daripada reruntuhan batu dari atas.

Aku lupa apa nama monastry ni. Tak ada dalam catitan aku.

Kami sampai di sebuah monastry agama buddha. Pemandu aku ikut kereta tadi. Pemandu pelancong tu kabor ada mumia sami berusia 500 tahun ditempatkan di sini. Meh la join katanya. Aku tak kisah ikut melawat tempat tu disebabkan group aku ada seorang lagi peminat benda-benda macam ni. Ikut kan jer la. Macam biasa, aku dan buddy memang tak minat nak masuk, tambahan pulak si buddy aku tu katanya maqam pondok dia tinggi sikit, so memang takkan masuk la, apatah lagi nak jengulkan muka ke dalam bangunan yang menempatkan mumia tu. Ia ia mereka mengajak kami masuk ke dalam bangunan kecik tu. Aku dah puas tengok mumia kat Egypt. Lagi banyak dan macam-macam rupa ada. Lagi menakutkan dan seram bulu roma. Hahaha..Tapi suka la si York tu dapat tengok mumia dan monastry di atas gunung ni sebagai subjek photo dia.

Kami menggeledah kawasan sekitar monastry

Bangunan tu la menempatkan mumia tersebut

Dari atas monastry tu akan nampak sebuah perkampungan masyarakat Tibet di bawah sana.

Dah habis mereka melawat mumia monk tu, kami terus turun menuju ke kawasan perkampungan suku kaum Tibet kat bawah monastry tersebut. Dalam laluan perjalanan juga. Entah macamana pemandu pelancong tu boleh tahu ada keraian kenduri kahwin sedang berlansung di sebuah rumah. Asalnya nak cari tandas. Terjumpa sekumpulan orang sedang berkumpul. Pemandu pelancong sembang-sembang dengan penduduk tempatan terus penduduk tempatan tu ajak kami semua ke kawasan mereka mengadakan kenduri.

Kawasan memasak air panas. Banyak kegunaan air panas ni. Untuk minuman dan juga membasuh pinggan mangkuk.

Suka mereka bila aku ajak bergambor. Aku kan ke ramah tamah..haha...

Aku masuk ke halaman rumah. Tak la ramai sangat orang aku tengok. Kebanyakannya lelaki sedang mengapak kayu api, ada yang mundar mandir jenguk-jenguk kawasan sambil minum chai dan ada juga sedang memasak di suatu sudut. Sedang aku terpinga-pinga di tengah halaman, datang la seorang perempuan bawa air panas dan air soda tanya aku nak minuman yang mana. Aku pilih chai jer la. Sejuk sejuk ni pekena teh baru segar tekak. Sedap la pulak chai dia walau sedikit manis. Kemudian datang pulak seorang lelaki pelawa makan roti naan dia. Wow.. Ni dah dikatakan ngantuk disorongkan bantal. Perut tak la lapor sangat tapi nak mengunyah. Sedap gila roti dia. Garing diluar dan lembut di dalam. Tepung yang mereka gunakan memang lain daripada tepung yang ada di Malaya ni. Enak dimakan begitu saja. Tak perlu nak cicah bagai dengan kuah dhal atau kari ayam.

Tepung yang digunakan untuk membuat roti naan. Di belakang tu adalah longgokan taik lembu kering yang bakal dijadikan bahan api.

Sambil pegang cawan chai di sebelah tangan dan roti naan di sebelah tangan lagi, aku terpaksa gantung kamera dan spesis gopro aku kat lengan dan tengkuk. Tak dapat nak buat apa dah. Kalau ada satu lagi tangan boleh la tangkap gambar sendiri sambil minum. Terpaksa la minta tolong kat buddy sambil buat muka seposen sebab mengganggu dia sedang mengunyah!.

Depan pagar rumah kenduri. Pelancong Holland dan York sibuk dengan kamera masing-masing mencari subjek dari satu sudut ke sudut yang lain

Sambil minum dan makan tu aku berjalan ke khemah yang tertutup dengan kanvas. Jengulkan muka ke dalam sambil senyum dan say hi pada semua. Mak oiii...ramai nya perempuan di sini. Rupa-rupanya golongan hawa sedang berkumpul di kawasan mencanai dan memasak roti naan. Lalu aku terpandang ke dapor-dapor yang menempatkan kuali leper yang digunakan untuk memasak roti. Secara spontan mulut aku berhenti mengunyah dan roti yang ada dalam mulut ni pun aku rasa nak keluarkan semula. Oh tidaaaakk, hati aku meronta-ronta dan tekak aku tiba-tiba menggelupor kegelisahan. Dah hampir separuh roti tu aku makan!!!!

Kawasan dapor memasak

Mereka menggunakan taik lembu sebagai bahan api untuk membakar roti. Tapi yang tu aku tak kisah la sangat kan. Yang aku kisah kan tu ialah bila roti dah dibakar di atas kuali leper, ia akan di bakar lagi dibawah kuali yang ada api yang sedang menyala dan bara-bara yang ada tu bagi garing dan ia akan terkena dan tercalit sedikit sebanyak dengan bara taik lembu yang terdapat di situ. Aku nak muntah !!!! Kome boleh tengok gambor yang lebih jelas di episod sebelum ini. Uweeeeekkkkk!!! Apa aku nak buat dengan separuh roti yang sedang aku pegang ni ? Tapi kan, tapi kan. tapiiiiii....  sesungguhnya.... aku tak nafikan. roti tu memang sedap !!

Senyum dalam derita bila tengok taik lembu kering yang bergelimpangan di sekeliling dapor. Roti itu...Dah separuh aku telan. Haha

Ada roti diletakkan di atas bara taik lembu !!

Oh roti ! Begini nasib mu...

Wajah-wajah wanita kaum Tibet versi India. Masa kat Shangri La China dulu aku dah tunjuk rasanya wajah wanita kaum Tibet versi China.. Haha....Kaum dan bangsa yang sama tapi lain budaya. Itu lah tujuan mengembara. Melihat perbezaan.

Pelancong dari Holland ni mencari subjek untuk dilakarkan dalam memori kamera dia.

Sembang jer pun. Jangan la serious sangat. Muka masing-masing dah macam nak gaduh bertumbuk! Si Buddy dan pemandu pelancong untuk warga Holland.

Kesibukan dihari pertama kenduri kahwin masyarakat Tibet

Kaum lelaki pula sibuk memasak kacang tanah menggunakan pasir. Aku tak tau la apa masakan deme nak buat ni

Dia kata nak tolong mereka...tolong tengok jer sambil minum chai.



Aku diberitahu kenduri masyarakat tibet di sini akan berlansung selama 3 hari 3 malam. Dasat oooo.... Dan makanan utama yang akan disajikan kepada tetamu adalah roti naan. Mungkin ada menu lain agaknya tapi aku tak nampak pulak kat keliling kawasan memasak tu seperti bawang ke, lada ke, bawang putih ke, kentang ke atau apa-apa sayur dan lain-lain bahan. Tak macam kita yang segala rempah ratus ada serta peralatan periuk belanga dan pinggan mangkuk memenuhkan kawasan memasak. Itu lah kesimpulan yang aku dapat buat melalui pemerhatian sepanjang aku berada di rumah kenduri tersebut. 

Bila dah kenyang dan ucapkan terima kasih kepada tuan rumah, kami pun berlalu pergi meninggalkan kawasan perkampungan yang dibaluti dengan pokok-pokok epal yang sedang berbuah ranum. Gatal jer tangan aku ni nak memetik beberapa biji sambil lalu tapi apakan daya. Semua pokok mempunyai tuan.

Kami sampai di Tabo selepas tengahari dan apabila sampai di suatu simpang di dalam kawasan perkampungan Tabo, konvoi kami berpecah mengikut haluan masing-masing. 

Kami bermalam di guesthouse ini. Dengan bekalan elektrik yang dicatu di tengah pergunungan di jajaran Himalaya. Cuaca amat sejuk menyucuk kulit. Redho dengan kekurangan yang sedia ada.



Aku berjalan di sekitar kampung yang terletak di lembah pergunungan. Kawasan nampak sangat subur dengan tanaman gandum yang luas terbentang, kuda-kuda yang bebas berkeliaran memakan ruput serta ladang-ladang epal yang sentiasa menggamit mata aku.





Melihat aktiviti penduduk tempatan. Banyak guesthouse dibina di sini. Mudah untuk mendapatkan penginapan.


Setelah penat berjalan di kawasan kampung Tabo, aku singgah di dapor guesthouse dan order chai serta paratha. Aku lapor sejuk-sejuk ni. Chef ni bukan penduduk tempatan. Dia dari negeri lain. Aku lupa negeri mana. Ada dia kabor. Bulan November nanti dia dan semua yang bukan penduduk tempatan akan diperintah keluar dari Tabo dan tinggallah hanya orang tempatan sahaja menghuni kampung sepanjang musim sejuk. Perniagaan guesthouse juga ditutup sepanjang musim sejuk.

Sekian episod untuk kali ini.
Semoga berjumpa di lain siaran
Terima kasih sudi membaca coretan seorang pengembara.

Wassalam



14 comments:

  1. deme ni islam ke buddha yong?

    ReplyDelete
  2. Akak,

    terima kasih untuk entry ini.memang saya tunggu sangat2..saya baca di LP utk daerah ini suhu boleh jatuh hingga ke -30 darjah waktu winter, seram saya memikirkannya kak tapi InsyaAllah, nak try mana yang termampu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Belum masuk winter ni pun dah negative degree waktu malam.
      Moga Zilla berjaya nanti dalam pengembaraan ke negeri ini. in Shaa Allah

      Delete
    2. terima kasih kak..risau juga sebenarnya tapi saya dah discuss dgn driver di sana katanya laluan untuk awal November hanya Lantang Pass dan Kunzum Pass yang dtutup, yang lain masih dibuka..misal kata tutup, emm saya ingat nak trekking je kak macam ada satu mat saleh tu buat hehehe...

      oh ya kak, sana selain dari inner permit lain2 mmg takde bayaran masuk ke? jenuh dah google tapi tak dapat info pun...

      Delete
    3. opss lupa nak tanya, mcm mana dgn AMS di sini kak? akak ada kena tak atau ambil apa2 ubat utk cegah AMS sepanjang berada di sini?

      Delete
    4. Lantang Pass ? Kalau Rohtang Pass akak boleh imagine la.
      Kalau Kunzum Pass dah ditutup memang tak boleh ke Timur dah la. Tak dapat nak suruh hang panjat bukit belakang Chandratal tu rasa daun marijuana asli. haha...
      Kuat sungguh semangat tu nak trekking di bawah paras beku.

      Tiada bayaran lain selain inner permit sebanyak 150 rupees tu sahaja.

      Alhamdulillah, akak sihat sepanjang berada di pergunungan. Takde simptom AMS.Akak bawa ubat cirit birit jer. Tu pun tak guna sebab perut akak ni kebal agaknye dengan makanan India

      Delete
    5. eeh cop, bukan lantang tapi rohtang pass kak hahaha..sorry pikir ke laut tu yang memadai dok ubah nama...jadinya kalau keduanya ditutup mmg tak lepaslah nak ke manali huhuhu...chandratal menurut driver dia akan singgah; saya tak tahu lah route mana dia akan ikut utk tembus ke chandratal tu..tapi kalau singgah mmg teringin gak nak rasa daun tu *ehhh hahaha!

      kali ini mmg takdelah nak trekking bagai..tak sanggup kot..cumanya saya je, saya dok aim nak trekking dari sangla ke chitkul dan dalam masa yang sama saya dok bayangkan berapa tebal pakaian yang harus saya pakai ;)

      inner permit 150 rupees ya kak? saya baca katanya 350 rupees..bagus, lebih murah tu hehehe...

      apa2 pun, terima kasih byk ya kak utk semua info yang ada..sgt2 membantu dan serius saya teruja...

      Delete
    6. Kalau Rohtang Pass and Kunzum Pass tutup memang tak boleh ke Chandratal la. Tapi hang boleh naik ke Manali dari Simla. Akak pun kompius pikir macamana driver hang tu nak bawa ke Chandratal dari Kaza kalau laluan dari Nako pun ditutup. Tak pe, kalau ada rezeki In Shaa Allah sampai la tu. Doa byk2.

      Sorry, akak salah taip kos inner permit tu. Kos nya 350 rupees.

      Delete
    7. hahaha entahalah kak..kalau nak start dari manali saya kena terbalikkan route saya ini..semalam ada tanya guide tu katanya mmg rohtang dan kunzum ditutup waktu tu..dia ada bgth utk ikut another pass, lupa pula namanya..bila saya google mmg tak glemer pun route tu..

      mendoakan yang terbaik, ada rezeki InsyaAllah sampailah..kalau tak lepas ke Manali dan harus berpatah balik ikut route yang sama pun tak kisahlah janji semuanya selamat hehehe...

      Delete
  3. wow akak..menarik..gaya penceritaan macam baca buku..hehehe..i like

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha..gelak dulu
      Ada macam gaya penulisan upin dan ipin tak? haha
      Ada orang minta akak tulis dalam bahasa Malaysia standard tanpa dialek daerah.

      Delete
  4. SHR maksu... Sedap ea roti bakar tahi lembu tu... hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. SHR tu apekebondo nye Pak Lang ooiii?
      Roti itu amatlah sedap sebelum masuk dapor..haha
      Takde tau roti seumpamanya di Malaya ni.. hanya wujud di atas gunung jer..

      Delete