Sunday, 15 November 2015

Incredible India - Simla - Episod 4 - Di Celah-celah Kehidupan Penghuni Gunung dan Menikmati Cuaca Sejuk Nyaman di Bandar Pergunungannya

Assalamua'laikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca.

Alhamdulillah, jerebu nampaknya sudah reda dan langit kembali terang dan membiru. Tetapi, musibah lain pula mula melanda negara. Banjir dan tanah runtuh. Jaga keselamatan dan kesihatan semua. Banyakkan minum air kosong dalam kehidupan seharian, sebaiknya tambah perahan lemon dan masukkan bersama kulit lemon di dalam air minuman tersebut. Lemon baik untuk mengeluarkan toxic yang terkumpul dalam badan. Lemon yang bersifat asid pada asalnya akan bertukar menjadi alkali bila masuk ke badan kita. Lemon adalah sumber terbaik untuk mendapatkan Vitamin C. Ia juga mengandungi Vitamin B6, potassium, folic asid dan phytochemical limonene yang penting yang diperlukan oleh system badan manusia. Ia juag merupakan sumber anti kanser semulajadi. Menakjubkan kan. Makan lah buah-buahan dan sayuran segar serta elakkan atau sekurang-kurangnya minimakan penggunaan bahan-bahan kimia dan pewarna dalam masakan kita. Kita sendiri lah yang menentukan apa yang masuk ke dalam badan kita samada racun atau penawar. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Terkesima aku melihat pakcik ni mengerah keringat diusia sebegitu mengangkat bebanan sambil mendaki tangga-tangga di Middle Old Bazaar, The Mall di bandar pergunungan Simla. Walau cuaca agak sejuk pagi tu, namun aku lihat peluh mencurah-curah dari mukanya membasahi jambangnya dan akhirnya jatuh ke lantai bumi.

Berada di dataran tinggi dengan cuaca yang sederhana sejuk amat aku sukai. Walaupun nak masuk ke bilik air dan mengambil wuduk diwaktu subuh itu sesuatu yang menyeksakan badan akibat kesejukan, ia bukan lah masalah besar bagi aku. Tangki air panas yang terdapat di dalam bilik air mengurangkan kegelisahan otak. Buka pintu balkoni, menyelinap udara sejuk pagi menyentuh pipiku. Menggigil aku seketika. Melihat terbitnya mentari pagi menyinari pergunungan di Simla ini amat memukau pandanganku. Keadaan sekeliling yang sunyi dari bunyi kenderaan dan kabus pagi yang tebal yang sedikit demi sedikit menghilang disinari mentari menyejukkan pandangan mataku. Lama aku mengelamun di luar balkoni hanya untuk melihat alam. Menarik nafas dalam-dalam kemudian lepaskan, sungguh segar terasa di paru-paruku. Berfikir tentang keindahan alam ciptaanNya dan betapa bersyukurnya aku boleh sampai ke sini dimana suatu masa dahulu hanya merupakan suatu angan-angan berada di pergunungan ketika menonton filem-filem hindi. Udaranya yang segar dan bersih, langit berawan dan suara unggas masih boleh kedengaran dari lereng gunung bersebelahan bilik hotel yang aku duduki.

Jajaran Pergunungan Himalaya yang disimbah mentari pagi

Simla adalah sebuah bandar pelancongan. Banyak hotel-hotel dipacak di lereng gunung

Petang semalam, Buddy ada tanya aku samada aku berminat untuk mengambil tour package untuk mengembara di negeri Himachal Pradesh ni. Kalau nak travel menggunakan pengangkutan awam di Himachal ni mau makan masa beberapa bulan dan tak semua kawasan terpencil dapat dimasuki oleh kenderaan terutama bas. Kebanyakan pengembara yang tak berapa nak tegar macam aku ni akan menggunakan tour agency untuk mengembara di wilayah di jajaran himalaya ni. Buddy sebenarnya disapa oleh seorang tour agent dihotel ni yang menjalankan business tour agency nya disini. Aku pun tak tahu lagi apa ada di Himachal Pradesh ni dan daya tarikan untuk pelancong selain bandar dipergunungan seperti Simla dan Manali. Itu pun sebab dulu selalu sangat tengok filem hindi, jadi melekat nama-nama tu dalam memori kepala aku ni. Aku tanya semula apa laluan dia, bagaimana dengan pengangkutan yang digunakan dan corak perjalanan, berapa ramai yang terlibat, berapa hari dan apa yang best sangat dengan laluan yang dicadangkan tu. Ini kerana kalau aku setuju dengan perubahan laluan pengembaraan ni daripada apa yang telah aku rancang, ia melibatkan perubahan kepada keseluruhan jadual pengembaraan aku ni. Buddy memang tak boleh jawap la soalan-soalan aku tu sebab diapun baru nak pikir laluan baru tu. Jadi dia bawa aku pergi jumpa tour agent tu kat office dia di kawasan lobi hotel. Nazir, berbangsa Kashmir dan beragama Islam, telah lama membuka tour agency nya di sini. Berbincang la kami begitu dan begini dengan cadangan-cadangan yang diberikan. Hampir senja kami berbincang dan mendapatkan kata putus. Apa yang aku dapat simpulkan tentang perbincangan kami berkaitan dengan cadangan laluan tersebut ialah ianya sesuatu yang menarik untuk diteroka, sesuatu yang baru dan semestinya akan mencabar fizikal dan mental.

Pagi ni aku dan Buddy nak menghabiskan masa kami seharian di bandar Simla sahaja dengan melihat rentak kehidupan di bandar pergunungan ni. Melihat budaya orang gunung dan cara hidup masyarakatnya. Menghayati keindahan pemandangan pergunungannya, menikmati cuaca gunung yang sejuk nyaman serta menghirup udara segar disini. Seawal 7.30 am kami dah keluar dari hotel, berjalan menuju Old Bazaar yang jauhnya berjalan kaki lebih kurang 2 km di celah-celah bangunan yang berselerakan di lereng-lereng gunung. Tapi tak terasa letih sebab otak sibuk menghayati pemandangan sekeliling di lembah pergunungan. Lagi pun kami berjalan menuruni lereng-lereng gunung dan tiada bebanan yang berat di belakang bahu, jadi tak terasa tekanan sangat pada lutut aku ni.

Berjalan kaki di tepi lereng gunung di kawasan penginapan sambil menghirup udara segar.

Sampai di Middle Bazaar, The Mall, kami terus menuju ke Masjid Jama', pergi semula ke kedai Chacha semalam. Bukan tak ada kedai lain, cuma aku rasa selesa di situ. Malam tadi pun si Buddy pergi makan malam dengan Nazir, pengusaha pelancongan yang baru dia jumpa tu pun di kedai Chacha ni jugak. Tapi pagi ni aku tak nampak kelibat Chacha. Hanya anak dia yang berada di dapor. Kami bagi salam dan terus mencari meja di suatu sudut dalam kedai. Kami bersarapan sebagaimana orang tempatan bersarapan. Ikut cara mereka, rasai makanan mereka. Tiada nasi lemak, roti canai atau segala gorengan. Sarapan yang sangat simple. Hanya capati yang disapu cheese. Aku terfikir semula, sihat kah makanan yang kita makan setiap hari itu? Aku selalu membuat perbandingan bilamana aku mengembara ke luar negara. Sungguh berbeza. Makanan kita amat mewah, kebanyakannya berminyak, manis dan bukan saja pelbagai malah penuh dengan segala bahan kimia yang terdapat dalam makanan dan toxic masuk ke dalam perut. Selamat dan berkhasiat kah makanan kita ?.


Pintu masuk ke kawasan Masjid Jama' di Middle Old Bazaar Simla

Di sini, capati adalah makanan ruji mereka. Itu lah juga yang aku makan. Capati mereka berbeza dengan capati di Malaya. Rasanya juga sedikit berbeza. Tekstur nya juga berbeza. Kuantiti nya juga berbeza. Lebih lebar, lembut dan sedap. Mungkin tepung yang digunakan lebih berkualiti daripada apa yang kita gunakan di Malaya. Capati tersebut di panggang di atas api kemudian disapu dengan cheese. Itu sahaja. Terus makan. Tapi kelembutan capati tu amat cepat diambil alih oleh cuaca sejuk disini. Lembutnya tak lama, bila lama terdedah dengan cuaca sejuk ni dia akan cepat mengeras. Kena makan cepat-cepat.  Tetapi bagi orang yang tidak menggemari capati mungkin agak sukar hendak menelan nya di sini. Terdapat kuah kalau nak cicah dengan capati tersebut tapi aku tak pasti apa kuah yang dia cicah sebab aku tak berminat bila tengok kuahnya yang cair. Yang pasti ia bukan dhal. Berbeza. Ada juga yang makan capati ni dengan merendamnya ke dalam chai panas. Macam-macam cara. Aku cuba meniru cara mereka makan namun tak mampu aku nak menghabiskan keseluruhan capati tersebut. Cuma satu yang aku sangat suka iaitu chainya, sedap, tambahan pula kalau dicampur dengan halia. Tapi aku cuba minimakan meminum chai ni kalau aku singgah di mana-mana restoran kerana kebanyakan chai di sini dimasak dengan ditambah gula yang banyak. Kadang-kadang keterlaluan manisnya. Jika anda berkesempatan ke utara India, cuba anda minum chainya, terutama chai yang ada halia, memang sedap, tapi lepas minum chai kena minum air mineral banyak-banyak. Ada masanya aku ketagih juga dengan chai ni....di lain hari dan di lain tempat. hehe.. Rupa-rupanya meminum segelas chai di atas gunung di dalam cuaca yang sejuk nyaman sememangnya memberi nikmat pada tekak....haha


Sekeping capati yang disapu cheese dengan segelas chai
Kawasan hadapan Masjid Jama', di Middle Old Bazaar Simla

Selepas bersarapan, kami melangkah semula menuruni tangga-tangga di lereng pergunungan ni. Hari masih pagi dan cuaca masih sejuk gedik. Banyak kedai-kedai di lereng gunung ni yang masih belum dibuka. Dari tangga masjid, aku melihat ke bawah, ke Lower Bazaar. Sampah sarap masih bertaburan di sepanjang lorong-lorong sempit dan juga terdapat longgokan sampah di tepi tangga. Ia belum dibersihkan lagi. Mungkin malam tadi gerai-gerai di tepi jalan ni ditutup lewat agaknya. Monyet-monyet pula sedang melintas di talian yang terdapat disepanjang bazaar ni mengintai apa saja kemungkinan dan peluang untuk mendapatkan makanan untuk sarapan pagi ni.  Aku tak mampu nak keluar malam tadi setelah seharian aku berjalan bersama gendongan yang berat di belakang bahu. Memang penat. Lagi pun malam di sini amat sejuk dan bazaar ni jauh dari hotel tempat aku menginap. Jadi aku tak dapat nak gambarkan kehidupan malam di sini. Malam tadi lepas makan malam dengan Nazir di kedai Chacha, si Buddy terus balik ke Hotel. Aku tanya dia kenapa balik awal, kan malam masih muda. Dia kata memang tak boleh nak berdiri lama-lama kat luar, sejuk sampai ke tulang, katanya.

Habis bersarapan, pergi sedut shisha ni dulu ditepi dapor restoran

Kami berjalan menyelusuri lorong-lorong sempit di lereng gunung ni. Melihat aktiviti penghuni gunung di pagi hari dalam memulakan rutin harian mereka dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Merakam beberapa wajah yang memberi berbagai maksud. Wajah yang tidak dapat disembunyikan daripada lensa kameraku.


Anak panah menunjukkan kawasan yang selalu menjadi tumpuan pelancong di Simla 

Aku menuruni tangga di tepi masjid, seketika mataku terpaku melihat seorang tua mengangkat bebanan yang besar lagi berat sedang meniti satu persatu anak-anak tangga dengan berhati-hati. Mengelak dari manusia dari arah hadapannya. Bila dia lalu di sebelah aku, terdengar bunyi nafasnya yang kuat menghembus. Aduhai...dalam usia sebegini, lututnya masih kuat dan dia masih mampu menggunakan tulang empat keratnya memikul bebanan yang entah berapa kilo di belakang bahu. Satu kerja yang amat berat bagi aku.   


Banyak pengajaran yang aku dapat dari pakcik ni. Jaga lah lutut anda. #tetiba

Selepas pakcik yang mengangkat bebanan tersebut hilang daripada pandanganku, aku terus menuju ke suatu kawasan lapang di belakang masjid. Dari sini, aku boleh melihat terus ke bawah iaitu ke lower bazaar. Lama aku melepak di sini. Melihat penghuni gunung melakukan aktiviti dipagi hari.


"Oh Chacha !! Usia kita sangat berbeza jaraknya....tapi kita sama-sama pakai tongkat sakti untuk daki anak-anak tangga ni!!!"....

Masjid Jama' dari kawasan belakang

Menghayati pemandangan pergunungan daripada Middle Bazaar, The Mall Simla di waktu pagi

Merenung masa depan.....

Padat - Bangunan dan juga penghuninya

Aku dan Buddy kemudiannya berjalan-jalan di Middle Bazaar sehingga ke hujung. Kami tersekat di pagar sebuah sekolah. Tiada jalan keluar memaksa kami untuk berpatah semula. Terjumpa dengan sekumpulan kanak-kanak sedang berehat atau mungkin juga sesi persekolahan mereka lewat bermula agaknya. Lagi sekali lensa kameraku menghala kepada mereka. Ada yang malu-malu dan ada yang memberikan kerjasama untuk bergambar denganku.

Menuju ke sekolah


Aku disebuah lorong di Middle Bazaar berhampiran dengan sekolah

Wajah-wajah comel kanak-kanak Simla

Aku nak bergambar dengan budak-budak sekolah ni saja. Tapi ada juga orang dewasa yang nak menyelit sama. Bila masa dia muncul aku pun tak sedar. Ai seh.....

Kami terjumpa sebuah terowong di middle bazaar. Ramai penghuni gunung ni yang berjalan di dalam terowong. Atas rasa ingin tahu kemana arah terowong tersebut, kami juga cuba berjalan di dalam terowong ni. Panjang terowong ni lebih kurang 250-300 meter, Sampai di hujung terowong sana, baru aku perasan yang kami telah sampai ke suatu kawasan lain yang dinamakan Lakkar Bazaar, ada jalan pintas rupanya, tapi bazaar ni mengadap ke lembah yang lain di pergunungan ni. Rupa-rupanya terowong tersebut membelah puncak gunung ini kebahagian yang lain. Kalau tidak penghuni gunung terpaksa memanjat sehingga ke dataran dan turun semula. Semalam ketika kami berjalan mencari hotel, kami telah melalui Lakkar bazaar ni, tu yang aku boleh perasan. Di atas terowong yang kami lalui terletaknya dataran atau The Ridge, tempat mereka berpesta dan melakukan keraian seperti festival apple. Ketika musim sejuk pula, dataran ini akan dilitupi salji dan dijadikan tempat ice skating or sledging. Menarik kan!

Berjalan di lereng gunung ni kena berhati-hati, takut tersilap langkah boleh terjelebok jatuh. Elok kalau bawa tongkat sakti macam aku. Kalau di musim sejuk dan bersalji pula, keadaan tangga-tangga dan jalan menjadi licin. Tambahan pula berjalan di lereng-lereng gunung. Lagi menakutkan kalau tak pakai kasut yang bersesuaian. Boleh buat ice skating dimana-mana. Silap percaturan, ice skating ke gaung terus.

Dua orang bergerak serentak mengangkut bebanan di Lakkar Bazaar dalam keadaan mendaki.Aku terkedu setiap kali aku melihat mereka. Tiada perkataan yang dapat aku ungkapkan sambil anak mataku terpegun sehingga mereka hilang dari pandangan

Aku terjumpa lagi bebarapa orang pekerja yang sedang mengangkut barangan memanjat tangga-tangga di Lakkar Bazaar pula. Cepat-cepat aku halakan kameraku kepada mereka. Ada yang perasan dan sebaliknya. Aku terfikir, kenapa mereka tidak menggunakan binatang seperti keldai, kuda atau unta ? haha....mungkin binatang-binatang tu tak ada di sini.

Berapa kilo agaknya barangan yang di kendong - Demi sebuku roti dan kelangsungan hidup, terkedu aku melihat kesukaran mereka dalam menjalani kehidupan di pergunungan ini - Lakkar Bazaar

Ketika aku cuba menghalakan kameraku kepadanya, tetiba dia terperasan.

Ketika aku memerhati gelagat manusia dan kehidupan mereka di sini. Aku tidak jumpa pun orang tempatan yang obes !!!!!... Macam aku !!! Hahaha... #Muhasabah diri#. Harus aku berhijrah ke gunung ni...

Sakit tulang belakang aku tengok!! Bergenang air mataku seketika.

Dari Lakkar Bazzar, aku dan Buddy naik semula ke dataran. Memanjat anak-anak tangga di celah-celah bangunan. Kami berehat sebentar di sana. Menarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Melihat ke sekeliling pergunungan 360 darjah. Indahnya pemandangan pergunungan dihadapan mataku. Melihat pula ke lembah, hijau nya alam. Cuaca pula memihak kepadaku pada hari itu. Cerah dengan langit yang membiru.

Dataran tertinggi " The Ridge" di Bandar Simla. Nyamannya berada di sini.

Bangunan perpustakaan dan Gereja yang terdapat di "The Ridge"

Aku kemudian menyambung perjalanan daripada dataran "The Ridge" menuju ke The Mall semula. Memaksa kakiku semula untuk memijak anak-anak tangga menuruni lereng gunung.The Mall terletak di antara The Ridge dan Middle Bazaar. Bangunan-bangunan di sini lebih moden. Kawasannya juga lebih luas berbanding middle dan lower bazaar. Ramai orang lebih suka berjalan kaki di kawasan sini. Sudah tentu banyak pelancong aku lihat. Juga ramai warga tempatan yang bersiar-siar di kawasan sekitar. Ada yang berdiri melihat orang yang lalu lalang atau duduk di kerusi yang terdapat di kawasan sekitar dan bersembang sesama mereka. Aku melihat kehidupan di bandar pergunungan ini sama seperti cuacanya juga. Tidak tegang, lebih santai dan tenang.  

Aku duduk bersama-sama warga tempatan di kerusi yang terdapat di lereng gunung untuk melihat kehidupan di sini. Relax dan bersantai-santaian

Perempuan juga bekerja sebagai buruh binaan.

Aku dan Buddy kemudiannya sampai di hujung Bazaar di The Mall Road. Penat berjalan rasa nak minum kopi. Kami masuk ke sebuah cafe di tingkat atas sebuah kedai.

Sekadar minum kopi dan merehatkan kaki seketika

Dalam entry yang lepas, aku ada cerita yang si Buddy dah beli simcard tempatan ketika di Delhi. Maka mudah lah dia nak layari internet di merata ceruk rantau di India ni kan. Aku pula masih sibuk bertanya pada pekerja cafe ni jika mereka menyediakan wifi free. Tak ada okay. Kecewa aku. Lepas minum kopi, aku tinggal kan Buddy kat cafe ni bersama internetnya. Tak boleh jadi, kata hati aku. Aku tanya pekerja cafe dimana aku boleh beli simcard. Seterusnya aku berjalan di sekitar The Mall menuju kedai telecommunication dan membeli simcard tempatan akhirnya.

Apabila membeli local simcard, dokumen dan maklumat berikut diperlukan :-
1. Photostate passport - boleh photostate di kedai telecommunication kalau mereka ada mesin la.
2. Gambar berukuran passport sekeping - aku memang sentiasa bawa gambar aku bila mengembara.
3. Alamat hotel dan nombor bilik.
4. Bayaran. - masa ni aku kena bayar 250 rupees.

Selesai daftar, aku diminta untuk call customer service pada pukul 9.30 malam lebih kurang untuk activate internet. Mudah saja.

Di sekitar The Mall Road

Kemudian, aku turun semula ke middle bazaar untuk makan tengahari di restoran Chacha, Terserempak semula dengan si Buddy di pertengahan jalan. Senang saja nak cari dia. Samada di kedai makan atau berhampiran kedai makan. Dia kan pantang lapar. haha.. Kami pun masuk semula ke kedai Chacha untuk makanan terakhir kami di bandar pergunungan Simla. Seterusnya kami berjalan ke lower bazaar. Kehidupan petang semakin rancak di sini. Jumpa pula kedai telephone. Aku beli screen protector untuk spesis gopro aku ni. Murah dan murah...haha....Harga handphone di sini lebih kurang sama saja dengan di Malaya.

Muka lapar....dah tu...jom kita masuk ke kedai Chacha...

Sambil jalan aku snap gambar. Ada saja yang siap sedia...haha - Lower Bazaar

Di lower Bazaar, aku jumpa masjid yang kedua. Kashmiri Masjid namanya. Tapi aku tak jumpa pintu masuknya. Bila aku tanya penduduk tempatan tentang jumlah masjid di sini. Ia amat mengecewakan. Sebelum kemerdekaan India daripada British. Masjid banyak disini. Tetapi sekarang tinggal beberapa buah sahaja. Hanya dua buah yang aku jumpa sepanjang aku berjalan di kawasan sini.

Kashmiri Masjid, Lower Bazaar, Simla


Lower Bazaar, Kawasan jualan sayur dan buah-buahan. 

Sabar menunggu pelanggan.

Penimbang antik yang masih digunapakai

Di kawasan ni, aku membeli pisang dan buah apple yang segar untuk bekalan makan malam nanti. Jangan kena curi lagi dengan si monyet dah la kan. Aku perlu kembali semula ke hotel kerana ada perbincangan dengan Nazir dan seorang pelancong Jerman pada pukul 4.30 pm nanti. Dari Lower Bazaar, aku memandang ke atas, cuba mencari bangunan hotel yang aku duduki. Nun jauh di puncak. Luruh jantung aku rasa bila mana aku harus memanjat kembali anak-anak tangga yang bersimpang siur untuk sampai ke sana.

Bersambung....

Terima kasih sudi membaca dan semoga berjumpa di lain episod.

12 comments:

  1. hehe...mcm cite hindustan dah neh...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takde macam lagi dah....memang pasti....muekekekekeke

      Delete
  2. Hebat mu ni ye.. dah ke sini pulak ye... tak terkejar memang... anyway, teringin nak gak ke Simla ni... tapi tu lah.. nak kena cari teman..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha...lama pendam impian Kak Yan, kene realisasikan ia.

      Delete
  3. Mashaallah insafnya tgk dorg ye coknah…..tapi tempat & org2nya cantik2. heheh

    ReplyDelete
  4. Kuat betul pakcik tu ya angkat barang.... sedih pulak tengok... sempat berwefie dngn bdk2 sekolah ya...
    wah, minerva bookstore pon ada sana.. cuaca best x time ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dah biasa buat kerja berat. Kita yang tengok ni sakit belakang rasa.
      Seronok jalan2 kat sana, turun naik lereng gunung tu, cuaca gunung, masa ni cuaca memang best, tak sejuk sangat tapi malam menggigil la.

      Delete
  5. aduhaii camna lah teman nak ikut ke kampong yong tu...semput napas nak sampai ateh tu...
    ni tengah gundah gelana yong...teman terbayang nyambut salji kat kampong sana nuuuun...miss by inches weii!!!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Panjat selo-selo nekcik.
      Tak pe nekcik, bior teman tolong sambut salji kat kg Yong tu ya

      Delete