Tuesday, 1 August 2017

Kashmir - Bajrangi Bhaijan di Pahalgam

Assalamu'alaikum warohmatullah kepada semua pembaca muslimin dan muslimat. Juga salam sejahtera kepada pembaca non muslim.

Madrasah di Ashmuqom, Pahalgam
=========================

Kerana Bajrangi Bhaijaan, aku sanggup panjat 274 anak-anak tangga menuju ke madrasah di Ashmuqom untuk merealisasikan impian menjejaki tempat-tempat penggambaran filem ini dilakukan. Gigihkan aku !

Madrasah ini merupakan salah satu tempat penggambaran ketika Salman Khan dan pemberita serta Shahida konon-kononnya berada di Pakistan dalam misi mencari ibubapa Shahida. Silalah menonton filem ini yang memaparkan pemandangan pergunungan Kashmir yang sememangnya cantik! 

Gigih dalam misi memanjat anak-anak tangga







Sekian
Catatan Aku Seorang Pengembara

Saturday, 26 November 2016

Incredible India - Rajashtan - Episod 14 - Meraikan Hari Raya Eid Ul Adha Bersama Masyarakat Muslim di Old Pink City, Jaipur

Assalamu'alaikum warohmatullahi kepada pembaca muslimin dan muslimat sekalian. Juga selamat sejahtera kepada semua pembaca non muslim. Allah menjadikan manusia itu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar manusia itu saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Jangan kita menghina mana-mana suku dan bangsa. Yang mulia disisi Allah itu hanyalah orang-orang yang beriman dan bertaqwa tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Pergilah mengembara untuk anda mengenal lain-lain bangsa yang ada di mukabumi ini. Mengembara juga akan membuat anda kenal akan diri anda sendiri. Bertegur sapa lah dengan lain-lain suku dan bangsa serta kenalilah budaya mereka agar anda mendapat ilmu dan pelajaran daripadanya. 

Di dapor restoran yang sedang membakar roti di Old Pink City

25 September 2015

Manali ke Delhi - 14 jam !! Tambah lagi 8 jam untuk meneruskan perjalanan ke Jaipur, Rajashtan. Completed for 22 hours journey from Manali - Delhi - Jaipur. Badan dah lali dengan perjalanan sebegini. Nasib baik pinggang aku masih mampu duduk dalam bas lama-lama. Tu pun dah rasa nak putus pinggang tu bila sampai Jaipur. Haha... Rasakan nikmatnya, nak sangat mengembara cara susah konon nya kan. Cuba merasai cara rakyat marhain tempatan bergerak. No complain walau di negara sendiri tak pernah buat melainkan ketika di zaman persekolahan dahulu. Aku pernah bawa kawan balik ke rumah naik bas lompat-lompat dari sekolahku di Jitra ke kampungku di Parit. Jitra - Alor Star-Butterworth-Taiping-Bruas-Parit. Kejung kengkawan aku dalam bas. Masa perjalanan dari pagi sampai ke senja baru sampai rumah. Sekarang, aku buat pula di negara orang. Alhamdulillah Allah masih memberikan aku nikmat kesihatan yang baik.

Sepanjang perjalanan malam dari Manali ke Delhi aku tidor saja. Apa lagi nak buatkan. Selesa la jugak bas ni. Bas jenis Volvo ada aircond. Tapi tak dapat la nak tengok jalan di pergunungan dari Manali ke Kullu seterusnya ke Chandigarh kerana gelap gelita. Pagi ni sesampai kat luar Kashmiri Gate Bas Stand, aku terpinga-pinga bila semua orang turun. Bas turunkan penumpang semua kat tepi jalan. Memang kompius la otak aku sikit nak hadamkan tempat tu. Dah la baru bangun, Otak aku belum bersedia untuk bekerja. Beg kami dikeluarkan dari dalam perut bas dan dicampak begitu sahaja di tepi jalan. Takde tokmaninah langsung deme ni. Nasib baik tak ada barangan kaca dalam beg tu. Macamana lajunya mereka ini berkata-kata menggulung-gulung lidah sambil geleng-geleng kepala, begitu lah juga lajunya tangan dan kaki mereka bekerja. Haha..

Aku dan Buddy dikelilingi oleh pemandu-pemandu auto menawarkan perkhidmatan angkut mereka. Kepala aku pening semula sampai Delhi ni. Sesak segala. Nafas pun tercungap dengan segala bau yang menusuk lubang hidungku. Nasib baik ada bulu dalam hidung aku ni yang masih mampu menangkis segala bakteria yang datang melekap. Rasa nak ambil bas semula pusing balik ke Manali. Haha. Dari tempat kami diturunkan iaitu di luar kawasan terminal, menapaklah kami ke Kashmiri Gate Bas Stand di seberang jalan. Jalan pelan-pelan sambil usung anak beruang kat belakang dan anak panda kat depan.

Bas dari Delhi ke Jaipur. Tengok rupa bas ni pun dah sesak dada aku. Sabar je la dengan pengembaraan yang mencabar kekuatan minda

Kenapa pula perjalanan aku dari Delhi ke Jaipur begitu lama sehingga 8 jam kan ? Sedangkan kebanyakan trip selalunya mengambil masa lebih kurang 5-6 jam. Sesampainya aku dan buddy ke Kashmiri Gate Bus Stand, aku cuba cari bas ekspress ke Jaipur. Tapi tak de. Kami mundar mandir di sini. Cuba berfikir la konon-kononnya. Aku pergi ke kaunter pertanyaan, Bas ekpress seperti ISBT tidak berada di sini. Mereka kata kalau nak juga naik bas ISBT boleh pergi ke Sarai Kale Khan Bas Stand yang jauh dari tempat ini. Kena menapak dan terus menapak lagi. Aku dah tak larat nak menapak heret kaki pepagi buta ni. Itu pun dia tak pasti dan meminta kami ke sana dan check sendiri. Arrgghh sudah, satu kerja pulak aku nak buat. Begitu lah perjalanan aku dan buddy yang dibuat tanpa perancangan dan maklumat. Tapi kan.. Ada keme kesah. Semua dibuat ikut sesedap hati dan redah. Setelah duduk berbincang timbal balik dengan timbang tara campur timbang kati bagai, aku dan buddy ambil keputusan naik sahaja la bas ekpress lompat-lompat ni sebab dah malas nak berfikir dengan waras dan bergerak ke sana sini pagi-pagi buta ni. Mungkin keselesaaan kami di Manali selama 3 hari 2 malam telah melemahkan otak dan memalaskan kaki kami untuk bekerja lebih. Arrgghhh... pedulikan. 

Rekabentuk dalaman bas. Panas tak usah nak cakap la. Makan debu jalanan lagi. Dah la menuju ke tanah kering kontang. Aku terpikir, kenapa la pengembaraan aku ni jadi macam ni? Nasib baik aku dapat duduk kat depan, kalau kat tengah atau belakang, memang sesak segala. Jangan la buat hal dengan aku masa ni. Maunya aku mengamok dalam bas tu kang. haha.... Teringat perjalanan aku dari Trichy ke Bangalore dahulu. Juga menaiki bas yang lebih kurang sama rupa parasnya serta mencabar fizikal dan mental.

Setelah 8 jam berlalu, pukul 3 petang lebih kurang, kami sampai di Jaipur bas stand. Dari sana kami cari stesen metro terdekat untuk teruskan perjalanan ke Shyam Nagar metro station. Dekat jer, keluar daripada bas stand tu nampak la stesen metro. Tambang metro 10 rupees dan ambil masa dalam setengah jam. Train ni macam LRT tapi tak sesak seperti di Delhi. Lapang jer dalam train masa tu. Sampai stesen Shyam Nagar, kami ambil tut-tut terus ke hostel penginapan. Nak jalan kaki pun boleh tapi 2 jam kot baru sampai. Tambang tut-tut pun bukan mahal mana, 50 rupees jer. Bagi la income sikit kat pemandu auto tu.


Penginapan aku selama 3 hari 2 malam di Jaipur. Sangat selesa walau jauh sikit dari pusat bandar Jaipur. Ada dapor boleh main masak-masak. Rumah semi-D yang telah diubah suai dijadikan hostel backpacker. Ada bilik dan dormitory. Aku biasalah, mewah sikit, mesti ambik bilik nye la. Rasa seperti tinggal di rumah jer lagaknya. Dah memang rumah kan, Siap bagi sarapan free lagi.  haha

Dimiliki oleh dua orang anak muda adik-beradik. Konsep hostel tapi facility macam hotel, Memang berbaloi. Terletak di kawasan perumahan mewah la juga di Shyam Nagar ni.

Perut aku lapar tapi aku nak luruskan pinggang dulu setelah lama sangat duduk dalam bas. Si buddy pulak sibuk cari talian internet kat ruang tamu. Internet ni kiranya makanan dia la. Lapar dia tu boleh disenyapkan seketika dengan internet ni. Jadinya tak serabut la otak dan telinga aku berehat di bilik. Aman tenteram. Sejam lebih juga la berehat di hostel. Lega urat saraf. 

Petang tu kami keluar jalan-jalan ke Old Pink City untuk cari makanan. Dari hostel, aku dan buddy berjalan keluar ke jalan utama. tahan tut-tut untuk ke stesen metro. Naik metro semula ke bandar dan berhenti di stesen Chandpole. Kendian ambil tut-tut lagi untuk masuk ke Old Pink City. Terdapat banyak pintu masuk ke dalam bandar lama ni. Terdapat kawasan muslim di dalam sana untuk kami selongkar restoran-restoran halal. Malang menimpa. Banyak restoran tutup. Hari raya haji kan. Jenuh kami mundar-mandir.

Wajah-wajah Jaipur. Aku lupa kenapa aku naik tut-tut ni dan dari mana hendak ke mana. Lama sangat tak menulis, lupa segala nampak gayanya. Yang aku pasti, aku berada di dalam Old Pink City.


Masjid Jamek di Old Pink City

Tetiba aku dan buddy gelak terkekeh-kekeh bila baca nama kedai ni...

Lama juga kami berjalan mundar-mandir di kawasan kejiranan muslim di Old Pink City ni. Nama jalannya pun nama muslim, tapi lagi sekali aku dah tak boleh ingat nama jalannya. Dalam buku nota pun aku tak tulis nama jalan ni. Otak dah makin mereput nampak gayanya.

Kami banyak bertanya kepada orang tempatan muslim dimana kami boleh dapatkan restoran halal. Seketika ada seorang tua ( berusia lingkungan 60-an-lebih senang aku panggil dia Chacha pertama ) yang disapa menunjukkan jalan ke restoran dan dia berjalan bersama-sama kami. Ketika kami hampir sampai ke restoran, di kaki lima kedai, Chacha pertama ni terserempak dengan seorang lagi Chacha kedua. Mungkin sekampung agaknya, dan berceritalah chacha pertama ini kepada chacha kedua tentang keadaan kami yang sedang kelaparan mencari restoran tak jumpa-jumpa lagi. Bolehlah dikatakan begitu. Dua beranak yang sedang bermusafir di Eid ul Adha.

Walau kami mendengar perbualan mereka, sedang mereka terangguk-angguk dan memandang kepada kami dengan muka kesian, satu patah perkataan pun kami tak faham. Akhirnya Chacha kedua mempelawa kami untuk makan malam di rumahnya. Aku pandang buddy dan buddy pandang aku. Apa kami fikir ? Bestnye dapat makan kat rumah !!! Yang pastinya free.. Haha.. Rasa nak melompat kijang sekejap kat kaki lima tu.

Chacha Hanef Ahmed yang mempelawa kami ke rumah untuk makan malam di hari raya. Semoga business keluarga mereka berkembang dan bertahan untuk generasi seterusnya.

Sementara aku dan buddy mengekor si Chacha ni kerumahnya yang tak berapa jauh dari tempat kami bertemu, aku melihat kedai2 yang menjual daging di sepanjang jalan. Juga kambing-kambing yang berkeliaran di kaki lima kedai serta kawasan kejiranan tempat tinggal Chacha ni. Kambing-kambing yang bakal dijadikan korban.

Rumahnya biasa-biasa sahaja jika dilihat daripada luar. Bila masuk ke dalam, mak ooiii.. tu dia, terserlah kemewahan interior design rumah Muslim Jaipur. Bertingkat-tingkat. Semuanya didiami oleh ahli keluarga mereka. Kebanyakan kejiranan disini juga adalah daripada kalangan ahli keluarga bergenerasi, samada bau bacang, bau durian dan juga bau kentut-kentutan. Sebuah keluarga Muslim tempatan yang berjaya dalam perniagaan. Alhamdulillah. Chacha ni adalah ketua kampung disini.

Masuk ke dalam rumah, aku bersalaman dengan isteri Chacha, lupa namanya. Dia terus ke dapur setelah diberitahu oleh Chacha. Tak lama kemudian, kami dihidangkan dengan semangkuk manisan. Pembuka selera masakan tempatan. Namanya Simia. Sangat manis giler kentang. Tapi sedap. Pertama kali aku makan. Kalau hari hari aku makan manisan ni, boleh dapat gangren.


Simia. Manisan orang Muslim India. Aku tak tau diperbuat daripada apa. Yang pastinye bukan dari kambing. haha.

Belum pun sempat aku habiskan manisan Simia ni. Datang lagi menu yang lain satu persatu. Semuanya kambing!!!.. Menggeletor urat tekak aku tengok. Nak terjah kang nampak sangat aku ni kebulor teramat kan. So bawak-bawak bersabor, control ayu dan duduk diam-diam sambil terkulat-kulat nak telan simia tu. Bila tengok jer menu kambing tu, tetiba simia tu rasa tak sedap dah.


Daging kambing goreng

Menu malam tu yang dijamu kepada kami dan tak terjangkau dek otak kami untuk memikirnya. Sungguh kami ucap terima kasih pada yang memberi nikmat juga kepada penduduk Jaipur di Old Pink City ni.
1. Simia - manisan pembuka selera
2. Daging kambing goreng
3. Kari kambing
4. Kari hati kambing
5. Roti Naan


Sungguh sedap dan menyelerakan. Tambahan pula dimakan ketika perut hampir-hampir nak memberontak. Cuma hati kambing tu jer yang aku tak sentuh sebab aku tak makan organ dalaman binatang sembelihan.

Menjamu selera dengan hidangan menu kambing belaka.

Lepas makan, kami berehat sebentar dan teruskan bersembang. Si Buddy tu memang pandai bersembang. Pandai layan orang tua. Nasib baik dia tak rock kan orang-orang tua di perkampungan ni. Cara sembang pun dah tergeleng-geleng kepala macam orang sana. Bila masa dia belajar pun aku tak berapa pasti. Tapi sampai balik Malaya jugak la dia bawa rentak geleng-geleng kepala tu. Dah setahun berlalu, dah tak nampak dah geleng kepala dia tu bila aku sembang ngan dia bila terserempak. Mungkin dah kene ketuk dengan tok-tok guru dia di pondok kot. hehe

Chacha Hanef ni banyak berkorban setiap tahun. Berpuluh ekor kambing. Dia juga ada ternakan kambing sendiri. Murah rezeki mereka. Mereka ternak kambing disekeliling rumah jer. Itu cara mereka. Sedang kami bersembang tu, masuk seorang lagi ahli keluarga Chacha Hanef ni. En. Asrar namanya. Sambung lagi kami berlabun. Rypa-rupanya mereka ni adalah saudagar batu permata di Jaipur ni. Terkedu aku dengor. Mereka ada kedai2 batu permata di beberapa bandar. En Asrar pula ditugaskan ke Ethiopia untuk mendapatkan bekalan di sana. Sudah 250 tahun mereka menguasai perniagaan ini sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Mereka ada agent yang dilantik di luar negara. Contoh nya di Asean seperti Thailand dan Singapura. Ada demand disana. Malaysia? Permintaan tak memberangsangkan, kata En Asrar.

En Asrar mengeluarkan batu-batu permata jenis Ethiopian Opal kepada kami. Dia juga mengajar kami bagaimana untuk mengetahui ketulinan dan gred batu opal ini. Siap keluarkan lampu untuk kami sama-sama menilik batu-batu ini. Ada yang berharga RM 3,000 untuk setiap batu. Batu jer pun, kata hati aku. haha. Tapi bagi peminat batu permata, ia merupakan satu kepuasan jika dapat memilikinya.

Batu-batu permata Ethiopian Opal pelbagai saiz dan kualiti yang belum diasing-asingkan

Ada yang teringin dan suka buat batu cincin ?

Rasa dah lama melepak kat rumah Chacha Hanef, kami memohon izin untuk pulang ke hostel. Takut nanti kami terlepas keretapi. Tapi Chacha Hanef minta adiknya si Asrar untuk menghantar kami pulang. Kebetulan En Asrar nak keluar seketika dengan isteri dan anak-anaknya. Bersapa pula aku dengan isteri Asrar yang bernama Nazimah. Mereka tinggal di tingkat lebih atas daripada rumah Chacha Hanef.

En Asrar berhenti di suatu masjid untuk solat Isya' dahulu. Kami yang perempuan ni tinggal lah dalam kereta seketika. Sempat aku suruh anak Nazimah ni copy lagu-lagu hindi ke dalam handphone aku. haha. Aku siap pelawa Nazimah untuk datang ke Malaysia. In Shaa Allah katanya kalau Asrar nak bawa dia.

Kepada keluarga Chacha Hanef Ahmed, Asrar Ahmed serta isterinya Nazimah. Jutaan terima kasih kami yang tak terhingga atas ukhuwah yang terjalin. Sesungguhnya Muslim itu bersaudara. Tetiba aku nak whatsapp Nazimah la lepas tulis entry ni. Nak tanye bila nak datang Malaysia. Aku nak masak Potato Tikkali nak jamu mereka. Hahaha...

Sekian, episod kali ini
Bertemu di lain siaran

Aku Seorang Pengembara
Shah Alam 26 Nov 2016

Thursday, 13 October 2016

China - Xi'an - The Great Mosque of Xi'an dan Lain-lain Masjid di Muslim Quarters

Assalamua'laikum warohmatullahi kepada semua pembaca Muslim. Alhamdulillah, kita dilahirkan dalam agama yang benar. Jadilah muslim yang sebenar. Muslim luaran dan muslim dalaman. Muslim di akhir zaman itu ramai seperti buih-buih di lautan, tapi keimanan amat tipis senipis kulit bawang. Kuatkan iman dengan belajar ilmu-ilmu agama agar dapat menangkis kuatnya cabaran keimanan dizaman ini. Kepada pembaca-pembaca non muslim, selamat sejahtera, moga anda di beri hidayah akan agama yang benar ini. Sesungguhnya hidayah keimanan itu adalah milik Allah jua.






















 


"The Lucky One". Satu satunya terracotta warrior yang digali dalam keadaan lengkap berlutut dalam posisi siap sedia setelah tertanam beribu-ribu tahun. Baju nya juga masih kelihatan cat warna merah. Ia merupakan patung seorang pemanah. Berada di Pit no.2.

Aku bukan nak bercerita tentang tentera patung ni. Banyak maklumat tentang sejarah patung-patung ni yang anda boleh baca di internet.

Kali ini aku nak bercerita tentang masjid. Lebih tepat masjid-masjid di Xi'an Muslim Quarter. Aku suka lawat masjid di negara yang minoriti Muslim, terutama masjid-masjid lama. Banyak sejarah yang aku boleh dapati dan banyak ilmu yang boleh aku pelajari. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan di internet mengenai masjid-masjid di Xi'an. Kalau ada pun hanya yang memang dah terkenal iaitu The Great Moqsue of Xi'an sedangkan yang lain-lain dipandang sepi. Maklum la kan. Sejarah umat Islam. Sapalah yang nak cerita tentang kehebatannya. Kalau bukan kita sebagai Muslim mengenengahkannya untuk maklumat sejagat, sampai bila-bila pun kita tak dapat maklumat secara langsung tentang masjid-masjid lama yang bertapak di dalam kawasan Muslim Quarter ini. Ia wujud lebih lama daripada kewujudan Islam di Tanah Melayu kita ni. Penduduk Tanah Melayu dan keseluruhan nusantara ni waktu tu masih dalam kegelapan iman. Jadi banyak-banyakkan bersyukur kerana hidayah keimanan itu sampai jua kepada nenek moyang kita. Malangnya aku tak tahu berbahasa mandarin, kalau aku tahu, memang akan aku selidiki daripada penduduk-penduduk tempatan akan sejarahnya. Sesuatu yang mengagumkan aku bila melihat peninggalan yang ada, yang semakin uzur ditelan zaman, tapi masih utuh berdiri memberi khidmat dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

Sepanjang aku menginap di sebuah hostel di dalam Muslim Quarter ni, aku dapat melawat beberapa buah masjid di dalam tembok kota lama ini. Sekiranya anda berkeinginan untuk ke Xi'an dan anda seorang muslim. Aku syorkan anda menginap di sini. Terdapat beberapa buah hotel/hostel yang berada di dalam kawasan Muslim Quarter ini. Anda boleh dapatkan di www.booking.com. Aku menginap di sebuah hostel yang bernama Alley Youth Hostel. Ia terletak di kawasan pasar di Muslim Quarter ini. Pemilihan hostel amat penting bagi aku. Keluar sahaja dari pintu hostel, aku boleh pilih kedai makan mana aku nak masuk. Semua peniaga muslim. Staff hostel ini pula boleh berbahasa Inggeris dengan fasih dan amat ringan tulang membantu aku tentang banyak perkara terutamanya language barrier aku dengan penduduk tempatan yang boleh buat aku pening nak menghadamnya. Mereka lah rujukan aku.   

Aku mengembara bukan semata-mata untuk melihat sahaja akan semua ciptaan Allah yang terbentang di hadapan mata aku. Aku belajar tentang hidup dan kehidupan. Aku belajar tentang adab bertemu manusia yang lain bangsa, lain budaya, lain kepercayaan, lain bahasa. Aku belajar tentang sejarah. Aku belajar tentang nilai-nilai kemanusiaan. Aku belajar erti sabar. Aku belajar untuk memahami, menerima dan yang penting aku belajar bagaimana untuk menjadi seorang yang redho dan mengucap syukur kepada yang memberi aku peluang dan ruang untuk aku mengembara.

************************************************************************************************

Muslim Quarter terletak di dalam kota lama Xi'an. Ia dikelilingi oleh tembok di sekelilingnya. Kota lama ini bukan lah tempat tinggal @ istana  raja-raja China dulu kala. Ia merupakan gudang/pusat pengumpulan bekalan makanan untuk penduduk di zaman dahulu. Ia juga adalah pusat perniagaan antarabangsa dimana kebanyakan penduduk muslim di ketika itu memonopoli perniagaan di sini. Di zaman kegemilangan Jalan Sutera Darat, nama Xi'an adalah Ch'ang an. Di dalam kota ini terdapat lebih kurang 20,000 orang penduduk muslim yang dipanggil bangsa Hui. Anda boleh kenal mereka melalui pakaian masing-masing serta rupa paras yang sedikit berbeza daripada bangsa Han. Kebanyakan penduduk Islam di sini lebih tertumpu didalam blok-blok di Muslim Quarter ini. Aku mengambil kesempatan ketika disini untuk berjalan-jalan di lorong-lorong sempit yang padat dengan penduduk sambil melihat sekeliling tentang kehidupan mereka dan beramah mesra dengan penduduk tempatan. Bila mereka melihat kelibat aku, automatik mulut mereka keluar perkataan Malaysia !. Samada aku yang akan memberi salam dahulu atau pun mereka. Dari situ aku terasa keakraban sebagai seorang pengembara Muslim bertemu Muslim tempatan. Jadinya, murah-murahkanlah senyuman dibibir anda jika anda ingin beramah mesra dengan penduduk tempatan. Aku bangga sebab ramai pelancong muslim dari Malaysia yang berkunjung ke sini. ukhuwah sesama muslim amat mudah dirasai. Dimana sahaja gerai dan restoran yang aku singgah atau masuk, nama Malaysia tak lekang dari mulut mereka bila mereka melihat kelibat aku. 

Peta tembok Kota Lama Xi'an. Bersegiempat tepat. Mempunyai 4 buah pintu masuk. Utara, selatan, timur dan barat. Jika nak melawat dan memanjat tembok, anda boleh masuk melalui pintu selatan. Jalan kaki sahaja dari Muslim Quarter. Adalah dalam 7 - 8 kilometer pergi balik. Aku agak la.. Aku jalan bukan terus sampai South Gate. Banyak tempat aku buat persinggahan. Aku singgah Drum Tower dulu, Lepas tu aku singgah Bell Tower, kemudian baru aku sampai ke South Gate. Masa balik jer aku terus jalan tanpa henti ke Muslim Quarter.  Haha.. Maka kuat-kuatkan lah kaki dan lutut untuk berjalan-jalan di sini.

South Gate tembok Kota Lama Xi'an

Berjalan mundar mandir di atas tembok Kota Lama Xi'an. Aku tak ingat berapa meter tingginya, tapi kalau jatuh boleh mati katak kat situ jugak. Tak pun patah riuk tinggal nyawa-nyawa ikan.

Terdapat lebih kurang 24 buah masjid di bandar Xi'an ini dan 10 daripadanya ( kalau tak silap aku ) terletak di dalam Muslim Quarter ini. Aku cuma jumpa 5 buah sahaja ( didalam Muslim Quarter) di mana satu daripadanya sedang melalui proses baik pulih dan penambahan bangunan baru. Masjid-masjid disini berdekatan antara satu sama lain. Aku perasan yang setiap blok ada masjid nya sendiri. Aku dapat rasakan yang dulu kala, masjid menjadi tempat persinggahan yang amat penting kepada pedagang-pedagang silam di laluan sutera ketika itu. Ketika aku berjalan-jalan di waktu maghrib, kedengaran suara azan dikumandangkan dari masjid-masjid ini. Seronok tak usah nak cakap la kan. Azan di negara minoriti muslim. Sebak dan lain rasa hati. Semua masjid terletak di laluan kedai-kedai. Ia memudahkan para peniaga serta pengunjung untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim apabila masuk waktunya. Allahuakbar! TAPI daripada pemerhatian aku, peniaga-peniaga di sini tak laju nak menyahut seruan azan tu. Masing-masing disibukkan dengan hal duniawi. Hal agama dan tuntutannya diambil sambil lewa. Ketika maghrib ni la pelancong-pelancong ramai berkeliaran di lorong-lorong kedai yang berbaris-baris banyaknya. Begitu besarnya hasutan dan bisikan tentera-tentera Dajjal.

MASJID DAXUEXIXIANG
=====================

Masjid pertama yang aku jumpa bukanlah The Great Mosque of Xi'an, tapi ianya sebuah masjid yang lebih tua daripadanya. Hanya lebih kurang 200 - 250 meter jaraknya dari tempat penginapan aku. Melihat kepada pintu masuk dan struktur bangunannya, termenung aku sendirian dihadapan batu tanda yang terdapat diluar masjid. Batu tanda yang ditulis dalam bahasa Mandarin dan English. Boleh lah aku baca sejarah pembinaannya dan sedikit maklumat asas tentang masjid ini.

Masjid ini dibina pada tahun 705 masihi. Berkeluasan 7,000 meter persegi. Begitu awalnya Islam sampai ke sini. Di zaman para sahabat lagi. Allahuakbar. Perdagangan telah membawa Islam sejauh ini. Di China ketika itu di bawah pemerintahan Kerajaan Dinasti Tang. 

Dari jalanraya, inilah bangunan masjid Daxuexixiang yang boleh dilihat. Sepintas lalu, aku tak perasan pada mulanya ia adalah sebuah masjid. Kebetulan aku berhenti di depan pintu dan memerhati rekabentuk lama bangunan ini. Lama aku amati baru aku perasan ianya sebuah masjid

Pintu gerbang yang semakin uzur dan terhakis oleh peredaran masa dan zaman. 1311 tahun telah berlalu. Merentas beberapa Dinasti pemerintahan sehinggalah ke Republic hari ini.  Mungkin masjid ini telah melalui banyak fasa-fasa baikpulih.

Pintu Gerbang di laluan masuk utama.
k
Terdapat banyak batu bersurat di dalam masjid ini. Keadaannya cukup jelas memberitahu usianya. Aku cuba amati tulisan arab yang diukir di batu ini. Sampai juling mata aku dalam cubaan nak baca dan otak aku nak hadam, samada ayat AlQuran atau batu surat, satu perkataan pun aku tak reti eja. haha...

Kawasan laman diwaktu petang nak ke senja menuju ke dewan solat utama di hari hujan gerimis 

Sapa tau baca tolong terjemah ke aku..

Bangunan kiri dan kanan laman. Macam bilik-bilik penginapan 

Ruang solat. Lampu belum dipasang. so aku tangkap jer la dalam gelap. haha

laluan batu berukir sebelum sampai ke laman utama masjid

Masjid-masjid lama yang terdapat di dalam Xi'an Muslim Quarter ini, juga di kebanyakan kawasan di sebelah utara dalam negara China ini mempunyai beberapa bahagian. Ia dimulai dengan pintu gerbang sebagai tanda anda sedang memasuki ke dalam kawasan masjid. Ia menandakan kekuatan agama. Kemudian kawasan laman, yang membuat mata anda sejuk memandang dan tenang dijiwa. Kemudian menara 2-3 tingkat untuk bilal melaungkan azan. Kemudian laman lagi yang menempatkan bilik-bilik di kiri dan kanan kawasan. Kemudian laman utama masjid. Akhir sekali dewan solat utama. Begitu berseninya masyarakat dahulu dalam merekabentuk dan membina sebuah masjid.

THE GREAT MOSQUE OF XI'AN
===========================

Masjid Besar ini terletak di laluan perniagaan utama yang sempit yang menempatkan peniaga-peniaga muslim yang padat dan sentiasa sesak. Terdapat papan tanda arah untuk ke masjid ini. Jika anda berjalan-jalan di Muslim Street yang terkenal ini, sila lihat ke atas ditepi-tepi bumbung kedai akan papan tanda ini. Sungguh mengagumkan daripada seni rekabentuk binaan bangunannya yang sepenuhnya bercirikan senibina China. Ia sama seperti masjid pertama yang aku jumpa. Mempunyai pintu gerbang, laman, pavilion, Bilik-bilik di kiri dan kanan laman, laman utama dan dewan solat.

Masjid Besar Xi'an dibina pada tahun 742 masihi, 37 tahun selepas masjid pertama yang aku jumpa tu dibina. Masjid ini amat istimewa. Ia menjadi kebanggaan masyarakat Bangsa Hui di Xi'an. Keluasannya juga lebih besar iaitu 13,000 meter persegi. Pintu gerbangnya juga lebih besar. Terdapat taman, bilik-bilik di kiri dan kanan laman dan pavilion sebelum sampai ke ruang solat utama. Lebih mengagumkan, dewan solat utama dihiasi dengan tulisan ayat-ayat suci Al Quran penuh dengan terjemahan sekali. Ayat-ayat ini dipahat di atas papan dan ditampal didinding dewan solat.

Pintu Gerbang Masjid Besar Xi'an. Dibuat daripada kayu.

Pintu gerbang dari arah dalam laman masjid

Laman masjid dan menara. Jenuh berlari nak tangkap gambar sendiri bila takde cameraman/woman

Batu-batu bersurat

Batu-batu bersurat ini ada yang diletakkan di laman-laman dan di dalam bilik-bilik. Banyak sungguh. Ada yang dah terhakis tulisannya oleh peredaran masa.

Apakah ini ? Berada di tepi laman. Mungkin tempat pemanas/pendiang haba atau simpanan air ? Aku tak pasti.

Koleksi-koleksi lama yang disimpan di dalam bilik.

Tak dapat nak di cairkan kebekuan otak aku untuk mencari petanda tentang batu ini

Batu bersurat dalam bahasa mandarin

Eh eh !! Dia pun ada melawat masjid ni di zaman aku tak kenal peta dunia lagi!

Menara azan
Selepas pintu gerbang pertama, ada lagi pintu gerbang kedua. Tempat ni dinamakan "The five room Hall".

Pavilion, tempat lepak-lepak dan beramah mesra antara jemaah

Pakcik-pakcik yang jaga masjid ni dan pelancong bukan Islam yang tak boleh masuk ke ruang solat ni perati jer aku dari luar buat kerja sorang-sorang kat ruang solat ni. Cari kerusi, setkan kamera then lari-lari anak ke depan. Bengong jap.

Tergamam aku tengok dinding dalam ruang solat ni. Atas adalah ayat-ayat suci AlQuran. Belah bawah adalah terjemahan dalam bahasa mandarin. Kome boleh hadamkan tak? 

Lihatlah seni mereka. moga yang mengukir ayat-ayat suci ini diberikan Allah syurga atas usaha mereka dan dijauhkan dari azab kubur. Semoga mereka dalam ketenangan dan kegembiraan dalam rahmat Allah di sana.


Siapa lah nama-nama pengukir ini agaknya. Dimana generasi mereka hari ini?

Dewan solat utama

Dnding luar dewan solat utama. Uzur dimamah usia

Hadapan dewan solat utama. Pelancong bukan muslim hanya dibenarkan melihat dari luar pagar ini sahaja. Pakcik tu penjaga masjid ni. Bagi salam ke dia. Nampak jer aku datang buka kasut kat luar pagar, terus suruh aku masuk dalam untuk buka kasut sambil duduk kat batu sebelah pintu dewan masjid. Lepas tu keluar daripada mulut dia perkataan Malaysia. Best kan. Sedekah sikit ke dia, langsung suruh aku geledah seluruh ruang masjid tu. Haha.

Hanya dua masjid di atas yang mempunyai maklumat dalam bahasa Inggeris yang boleh aku kongsi dengan pembaca semua. Tiga lagi masjid yang aku jumpa dan lawati tidak ada maklumat dalam bahasa Inggeris. Aku tak tahu apa nama masjid-masjid ini. Aku beri no aje la. Jadinya aku tak dapat nak hadam maklumat apa aku nak sampaikan di sini. Semua maklumat dalam bahasa mandarin. Apa yang aku boleh kongsi hanya lah gambar-gambar masjid tersebut untuk tatapan semua. Ketiga-tiga masjid ini juga mempunyai senibina yang lebih kurang sama. Cumanya ruang solat utamanya nampak baru dengan dinding batu dan lantai karpet moden.


MASJID KETIGA
==============

Masjid ini juga terletak berhampiran dengan hostel aku di sebelah belakang. Adalah dalam 300 - 400 meter jaraknya dari tempat penginapan aku. 

Dewan solat utama nampak dah dimodenkan.

Senibina China dan Islam

Laman masjid


MASJID KE-EMPAT
================

Masjid ni juga terletak bersebelahan dengan masjid no 3. Tak jauh mana pun. Adalah dalam 100 meter lebih kurang jaraknya. Aku tak perasana sebenarnya. Sepatutnya aku jumpa masjid ni dulu sebelum masjid no 3 tu. Bila aku pusing balik baru aku perati betul-betul penduduk local yang tengah duduk bersandar kat pintu masjid ni, rupanya bila aku jenguk ke dalam, nampak mimbar masjid ni.


Laman sebelum dewan solat

Pintu dewan solat

Lama masjid. Sejuk mata memandang

Pakcik ni bersiap sedia untuk sama-sama solat maghrib dengan jemaah yang lain. Parking motor roda tiga dia baik punya kat depan halaman masjid.

MASJID KE-LIMA
===============

Masjid ni berhampiran dengan Masjid Besar Xi'an tapi di blok yang lain. Dihadapan masjid ditutup dengan bahan binaan kerana dalam proses baikpulih dan pembinaan bangunan baru di sebelah dalamnya. Aku selongkar masuk ikut jalan tepi. Sehinggakan bila nak keluar aku sesat. Nasib baik penduduk yang berada dalam laman masjid tu bagitau aku jalan keluar. Aku tak sempat nak masuk ke dalam ruang solat utama sebab maghrib dah nak menjelma dan semua warga tua berada di muka pintu melihat aku mundar mandir di sekeliling laman masjid.

Lorong tepi yang aku jumpa untuk masuk ke dalam kawasan masjid

Semua tempat yang lapang diletakkan pasu-pasu sebab proses baikpulih dan pembinaan bangunan baru sedang berjalan.

Aku tak tau la pokok buah apa ni. Berada di tepi laman masjid

Yang ni delima rasanya. Masa aku mengembara di Xi'an ni, banyak buah delima dan air delima dijual di jalanan. Memang tengah musim menuai delima. Even sepanjang jalan menuju ke Muzium Terracotta, terlalu banyak ladang-ladang delima di kiri kanan jalan. 

Tu jer aku nak cerita tentang masjid-masjid yang aku telah jumpa di Muslim Quarter, Xi'an. Sekiranya aku berkesempatan lagi untuk ke Xi'an, aku akan cuba cari lagi 5 buah masjid yang masih kukuh berdiri di dalam kawasan Muslim ini.

Xi'an atau nama purbanya Ch'ang an, merupakan pusat perdagangan terkenal ketika kemasyhuran jalan sutera darat dahulu. Dari laluan ini lah Islam berkembang pesat ke sebelah timur Tanah Arab. Ia membawa peradaban Islam juga bangsa baru iaitu campuran timur dan barat yang menjadikan Bangsa Hui di China hari ini. Aku telah sampai di pusat laluan sutera darat di sebelah barat iaitu di Syria beberapa tahun lepas iaitu sebulan sebelum perang tercetus sehingga kini yang menghancurkan negara Syria seluruhnya. Lebih tepat lagi Aleppo, Palmyra dan Damsyik di mana aku dapat melihat sejarah silamnya dan segala memori itu masih kekal diingatanku. Dan kini aku berjaya sampai di pusat laluan sutera darat di sebelah timur ini iaitu Xi'an dan aku dapat melihat sisa-sisa peninggalan silamnya yang masih diwarisi sehingga ke hari ini. Sepanjang laluan antara Aleppo sehingga ke Xi'an, majoriti penduduknya beragama Islam. Bangga kan! Tidak perlu peperangan untuk mengembangkan agama Islam ini. Perdagangan telah menyatukan bangsa-bangsa di laluan ini dalam agama yang satu. Sekiranya aku masih diberi peluang dan ruang untuk aku teruskan pengembaraan aku dengan cara aku, aku akan cuba pula merentas semula laluan sutera darat ini untuk melihat peninggalannya yang sungguh aku kagumi sejak aku kenal erti sejarah dan geografi. In Shaa Allah, semoga Allah memberi aku umur yang panjang, kekuatan fizikal dan mental, kelapangan masa serta kewangan untuk aku merealisasikan impian aku ini suatu masa nanti.

Sekian, wassalam
Moga berjumpa di lain siaran

Aku Seorang Pengembara
Shah Alam, 13 Oktober 2016