Tuesday 19 July 2016

Incredible India - Himachal Pradesh - Episod 11 - Cuaca Semakin Suram Menuju Kaza dan Kambing Gunung Mengejekku di Dhankar

Assalamua'laikum warohmatullahi kepada semua pembaca muslimin dan muslimat. Semoga kita semua diletakkan dibawah rahmat Yang Maha Esa. Selamat sejahtera diucapkan kepada semua pembaca yang bukan muslim. 

Dhankar River di wilayah Spiti. Seluas mata memandang. Dikelilingi pergunungan yang cantik. 

20 September 2015

Malam di Perkampungan Tabo sangat la sejuk. Makan malam pun di dalam bilik sahaja bertemankan lampu picit dan lilin. Gelap sekeliling nak berjalan-jalan di persekitaran guesthouse. Bekalan elektrik tinggal nyawa-nyawa ikan. Malap semalap malapnya, kemudian terus gelap. Jangan mimpi tidur atas hot blanket dan mandi air panas. Pandai-pandai la balut badan setebal-tebalnya. Bila ambil wuduk, masa tu la ujian berat menimpa badan. Rasa macam ambil wuduk dengan ais. Nak habiskan berwuduk tu rasa seksa ya amat. Bila kenangkan semula makan malam macam duduk dalam bilik sejuk beku bertemankan lampu picit dan lilin, sedih pula rasanya. Kadang-kadang hidup tidak selalu indah seperti yang diingini. Sedikit ujian diberi untuk proses muhasabah diri agar aku selalu bersyukur dengan apa yang ada, bukan melihat kepada apa yang aku tiada. Walau suasana suram dan malap dengan cuaca yang hampir di bawah paras beku, bau makanan yang dihantar ke bilik aku memang tak pernah mengecewakan hidung aku. Menusuk terus ke otak. Berselera walaupun semuanya berasaskan kentang, sayur-sayuran dan bijirin sahaja. Boleh saja makan tanpa daging ayam dan lembu kambing ni berhari-hari. Tak ada masalah. Tak merungut pun. Dapat makan pun dah cukup bersyukur. Tapi bila balik ke negara sendiri, tekak aku ni memang mengada-ngada, menggelupur nak makan ayam dan daging dan itu saja la yang terlintas di fikiran untuk dijamah bila mendarat di KLIA.


Trojan Guesthouse. Tempat aku menginap di Perkampungan Tabo

Pagi di Tabo, hujan turun mencurah  ke bumi. Awan mendung menyelaputi pergunungan yang ada dipersekitaran kampung. Aku tak dapat nak berjalan-jalan sebentar di sekitar kampung sebelum kami keluar ke destinasi seterusnya. Ada satu bukit depan guesthouse aku duduk tu. Aku ingatkan nak panjat bukit tu waktu pagi untuk ambik gambar keseluruhan kampung diwaktu pagi. Tapi aku hanya merancang, cuaca tak mengizinkan. Kampung ni berada di suatu lembah subur yang luas. Kalau ada matahari pagi memancar, pemandangan ke keseluruhan dataran luas yang dikelilingi gunung-ganang ni memang terserlah keunikannya. Ada ladang gandum serta sungai. Kuda-kuda berkeliaran dan ladang epal.

Hari ini, kami meneruskan penjelajahan ke Kaza. Kami bertolak keluar dari Tabo lebih kurang pukul 8.00 pagi ketika hujan sedikit reda .Kami singgah di Dhankar dipertengahan perjalanan untuk melawat perkampungan-perkampungan kecil yang wujud di pergunungan di sini. Seterusnya kami en-route ke Kye Monastry dan Perkampungan Kibber sebelum mengakhirinya di Kaza. Nampaknya cuaca hari ini tidak menyebelahi kami langsung. Sepanjang perjalanan hujan dan kabus agak tebal di pergunungan. Tangkap gambar memang tak best la. Awan tebal dan gelap. Tiada sinaran mentari. Keluar saja dari kereta, angin sejuk menampar terus ke muka. Cuaca yang aku suka walau akan menggeletar badan menahan angin menyucuk ke kulit.

Di Dhankar, kami pergi ke sebuah monastry di atas gunung untuk melihat pemandangan yang cantik seluas mata memandang ke lembah sungai Dhankar dan terdapat sebuah perkampungan dilereng gunung di sepanjang sungai tersebut. Kemudian kami mendaki ke sebuah puncak gunung untuk melawat sebuah tasik yang tertinggi di kawasan pergunungan ini. Tasik Dhankar diberi nama. 



Bergambar dari sebuah monastry mengadap perkampungan dan sungai yang luas terbentang di bawah sana. Cuaca berkabus dan hujan rintik.

Ramai pengembara / pelancong akan singgah di Monastry Dhankar ni sebab ada cafe, hostel dan yang penting ada toilet. Bangunan monastry terletak betul-betul di tepi gaung gunung. Boleh melihat terus ke sungai yang luas terbentang. Pemandangan sangat cantik. Kalau cuaca elok, aku rasa boleh tengok ceracak-ceracak gunung ganang yang bergelimpangan di hadapan mata. Boleh menghayati pemandangan gunung-ganang dan sungai yang luas ni berjam-jam. Masya Allah sungguh cantik ciptaan Sang Pencipta yang Maha Agung. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Cantiiiiikkkk sangat. Sejuknya mata memandang, segarnya menghirup udara gunung, tenangnya suasana alam tanpa hiruk pikuk kenderaan, tiada kata lagi yang dapat aku gambarkan betapa tempat terpencil ini mampu menggamit kedatangan sang pengembara.

Kabus sangat tebal sehingga menyelimuti kawasan pergunungan. Tak nampak banjaran himalaya.

Dari monastry ini, bagi sesiapa yang ingin memanjat ke puncak untuk ke tasik Dhankar, trek bermula di sini. Melihat cuaca yang suram dan hujan. Aku tak berminat nak pergi memanjat. Ia memakan masa lebih kurang 2 jam untuk naik dan turun. Hanya York dan si Buddy saja yang sanggup memanjat sehingga ke puncak seterusnya ke tasik. Tapi kecewa berdiri dalam kabus dan tak nampak persekitaran.

Trek menuju ke Tasik Dhankar. Berkabus , hujan dan sejuk

Beberapa pengembara yang hampir sampai ke puncak Tasik Dhankar.

Si Buddy berada di puncak  gunung  tapi tasik tenggelam didalam kabus tebal. Aku tanya si Buddy selepas dia turun, jumpa tasik tak kat puncak tu? Katanya kabus sangat tebal. tak nampak tasiknya pun. Nasib baik aku tak panjat sama. Dapat penat jer.. Haha..

Kalau cuaca baik, pemandangan pasti berbeza dan sangat cantik berlatarbelakangkan puncak-puncak gunung di jajaran himalaya yang berceracak memasak bumi.

Seterusnya kami menuju kampung yang kami nampak daripada monastry. Saja melawat ke sana nak tengok apa aktiviti seharian penduduk di sana.

Kami menuju ke perkampungan Dhankar
Akhirnya......
Merisikokan diri berdiri dari sebuah puncak bangunan yang paling hujung di tepi gaung. Gayat jangan cerita la. Menyelinap di laluan tepi-tepi gaung tu. Bangunan ni juga menempatkan sami-sami buddha yang sedang bertapa di dalam bangunan. Majoriti pengembara / pelancung akan masuk berjumpa sami-sami tersebut dan bagi sedekah. Kami mana cukup masa pergi melawat tok sami!!! Bergambar pun makan masa yang lama tau!!! 



Dalam perjalanan terjumpa makhluk ni. Punya la cute.. Mata dia macam biasa la, seperti anjing-anjing gunung yang lain, amat sukar untuk dibuka luas-luas.


Banyak keldai digunakan di sini. Kawasan pergunungan amat memerlukan binatang sebegini untuk mengangkut barangan keperluan penduduk di pergunungan memandangkan jalinan jalanraya tidak memungkinkan kenderaan berenjin untuk melaluinya. Keldai memang sinonim dengan pengangkutan di lereng gunung, Semasa aku mendaki gunung Thur Sina di Semenanjung Sinai, Egypt dulu pun, keldai digunakan untuk mengangkut air sehingga ke puncak gunung. Air yang kami gunakan untuk mengambil wuduk di subuh hari di sebuah surau di puncak Thur Sina. Begitu lah jasa sang keldai walaupun suaranya buruk. Sedangkan setiap makhluk ciptaan Allah itu pasti ada sebab kenapa ia diciptakan. Moral of the story - jangan kita memandang rendah akan kekurangan/kecacatan sesama insan dengan memberikan perumpamaan seperti makhluk Allah yang lain yang diciptaNya sekaligus menghina dalam keadaan dibawah minda sedar atau separa sedar. Jagalah lidah yang tidak bertulang itu dan pandanglah setiap insan dari sudut positif dan bukalah minda untuk berfikir dan memahami akan segala ciptaan Allah yang ada di sekeliling kita. Eh !! #tetiba

Hanya kaldai sahaja yang mampu mendaki di celah-celah lereng dengan membawa muatan di belakang mereka. 


Penduduk disini mengembala kambing yang entah berapa banyak. Mungkin beratus atau beribu ekor. Berbondong-bondong aku tengok kambing-kambing gunung ni keluar dari kandang memulakan hari mencari makanan di sekeliling gunung mengikut kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan akan ada ketuanya yang akan mengetuai pergerakan. Seronok aku tengok mereka memanjat di tepi tebing-tebing gunung dengan bebasnya. Alangkah sedapnya kalau dapat seekor buat panggang kan!!! Kambing gunung yang bebas bergerak mesti sedap dagingnya..Muahahahahahaha....tersengih aku sendirian meng-imagine rasa daging rusuk kambing gunung panggang yang diperap dengan rempah ratus India, sambil melihat mereka lalu disisiku mengembek memandang aku seperti sedang mengejekku bila aku berkata-kata kepada mereka.

Laluan kambing-kambing. Walaupun laluan itu sedikit curam, mereka mampu memanjatnya. Tak ada seekor pun yang aku perhatikan tergelincir jatuh ke bawah.

Mereka akan makan tumbuh-tumbuhan yang ada disekitar laluan. Ada juga yang sanggup memanjat tebing tinggi semata-mata untuk mendapatkan tumbuhan yang terdapat tumbuh disitu.

Dari Dhankar, kami meneruskan perjalanan de-tour ke Kye Monastry dan Perkampungan Kibber sebelum berpatah semula ke Kaza untuk mengakhiri pengembaraan kami untuk hari ini.. 

Aku tak ada gambar di Kye Monastry. Jenuh aku fikir dan cari memandangkan terdapat beberapa gambar yang aku ter-delete dulu. Aku tak pasti gambar-gambar di lokasi yang mana. Habis dah semua memori kad aku geledah. Ada juga memori kad yang entah dimana aku sorok. Pengembaraan kali ini aku mempunyai koleksi gambar yang terlalu banyak sehingga ada juga lokasi-lokasi yang aku lupa dimana. Nasib baik ada tarikh yang tertera, maka boleh lah aku merujuk kepada catitan aku yang serba ringkas itu. Harapkan memori di kepala ni memang tak mungkin aku boleh sambung penulisan ni untuk dikongsi dengan pembaca. Mungkin juga hujan agaknya waktu tu, jadinya aku duduk sahaja dalam kenderaan menunggu York memanjat bukit dan melawat ke monastry tersebut tanpa memetik butang kamera. Maka tak dapat aku nak kongsi gambar dengan pembaca yang memerlukan gambaran dan maklumat di lokasi ini.

Seterusnya, kami menuju ke Kibber Village, sebuah kampung yang dihuni oleh sekumpulan kecil penduduk sahaja. Perkampungan ini terletak di ketinggian 4,270 meter dari aras laut. Rumah-rumah disini dibina daripada tanah liat. Terdapat tanaman gandum dan ia sedang dituai sebelum salji turun menutupi seluruh kawasan ini sedikit masa lagi.

Perkampungan Kibber

Seorang penduduk sedang menuai gandum secara tradisi. Bayangkan sebuah ladang gamdum di ketinggian lebih 4,000 meter dari aras laut. Aku tak dapat bayangkan musim panas di sini macamana kalau dah 7 bulan setahun dalam musim sejuk.

Aku cuba tegur dia. Tapi dia tak layan pun kedatangan aku ni. Dia teruskan sahaja kerjanya menyabit batang-batang gandum. Tanah dipergunungan ini amat subur dan lembab. Terdapat saliran kecil di tepi ladang. Udara di sini amat bersih dan segar. Sangat selesa menghirup udaranya. Aku rasa paru-paru aku amat sihat bekerja tanpa pencemaran. Alhamdulillah. 

Kami turun kembali ke lembah sungai untuk meneruskan perjalanan ke Kaza


Melintasi Sungai Spiti

Kami sampai di Kaza lebih kurang pukul 5.00 petang. Hari dah nak gelap. Pemandu cuba bertanyakan guesthouse yang ada di laluan. Akhirnya terus menuju ke pekan dan menginap di sebuah guesthouse ditengah-tengah pekan Kaza.

Guesthouse yang kami duduki di tengah pekan Kaza. Banyak guesthouse di sini. Pengembara juga banyak berkampung disini yang datang daripada pelbagai negara. memandangkan laluan ke Kaza akan ditutup tak lama lagi, pengembara cuba menghabiskan pengembaraan di laluan ini secepatnya sebelum ia ditutup selama hampir 6 bulan. Ia akan dibuka semula paling awal adalah di bulan May sekiranya cuaca mengizinkan. 




Sebuah laluan di Pekan Kaza

Segala keperluan harian boleh didapati di Pekan Kaza ni. Kalau di kedai buah-buahan tu, epal sesaja. Muak pulak aku tengok epal sebab dalam beg aku sentiasa ada bekalan buah epal. Jajan aku ketika di perjalanan. 

Di Kaza ni internet dah ada tapi dikendalikan oleh syarikat telekomunikasi yang lain. Jadinya aku tak boleh guna data yang aku beli daripada syarikat yang berlainan sebab perkhidmatan dia tak sampai ke kawasan ini. Jadi kena pandai cari lokasi wifi free di kedai yang ada perkhidmatan tersebut.

Antara menu aku ketika di Kaza. Portion untuk seorang tapi boleh makan dua orang sebab banyak. Mee yang diuli sendiri di dapur. Aku tawaf dapur mereka sekali lalu sambil tengok bahan-bahan di rak. Tengok dalam peti ais. Kosong!!!.Mentang-mentang kedai runcit ada kat bawah bangunan, senang kalau perlukan segala sayur, bijirin, tepung dan bawang-bawangan, turun saja bawa pitih. Ramai lelaki di dapur tu jadinya aku segan nak menempek sama. Aku cuma mengintai dari pintu sambil ekor mata aku melihat apa mereka lakukan di dapur tu. Akhirnya aku bosan dan kembali ke meja sambil menanti makanan sampai.

Malam di Kaza juga sama macam di Tabo. Bekalan elektrik dicatu di siang hari. Melengkor la dalam sejuk. Malam ada la lampu. Tapi bila aku buka suis air panas di dalam bilik air. Mesti lepas tu seluruh bangunan bergelap. haha...Tak cukup bekalan!!! Tidur dalam ais lagi la aku malam ni. Redho...Nasib seorang pengembara.

Sekian untuk episod kali ini
Semoga berjumpa di lain siaran
Terima kasih sudi membaca coretan aku seorang pengembara
Wassalam

Saturday 9 July 2016

Incredible India - Himachal Pradesh - Episod 10 - Dari Perkampungan Nako ke Tabo di Dunia Tanpa Radar Telekomunikasi

Assalamualaikum Warohmatullah kepada semua pembaca Muslimin dan Muslimat di mana jua anda berada. Juga Selamat sejahtera kepada semua pembaca Non-muslim. Semoga anda sihat dan ceria hari ini.

Salam Eid ul fitri kepada semua umat Islam walau dimana anda menyambutnya. Semoga puasa yang berlalu mendapat pahala berganda, kerahmatan dan keberkatan dalam beribadah daripada Yang Maha Pemberi dan Pemurah. Alhamdulillah, semoga kita dipanjangkan umur agar dapat bertemu lagi dengan ramadhan tahun hadapan, In Shaa Allah. 

Berada tinggi sebaris dengan awan..

19 Sept 2015

Pagi di Nako amat-amat sejuk. Aku seperti tidak mampu untuk keluar daripada selimut pun. Sekiranya anda berkeinginan dan merancang mengembara ke sini, pastikan anda mampu menghadapi cuaca sejuk menyengat kulit tanpa hot blanket, heater atau hot water. Ini baru bulan september. Belum lagi masuk ke musim sejuk sebenar. Baru cuit-cuit sejuk. haha.. Bersedialah daripada segi mental dan fizikal. Anda yang menentukan jalan dan corak pengembaraan anda. Dan beginilah yang aku pilih. Mencabar diri sendiri dengan cuaca yang semakin sejuk ketika ini dengan kemudahan yang asas sahaja. Aku berharap keadaan sekarang disini akan tetap berkekalan selama mungkin. Biarkanlah kemodenan itu tidak muncul disini. Agar ia mengajar kita erti syukur dan sabar. Berada di perkampungan terpencil di celah-celah pergunungan dengan berbekalkan kemudahan yang asas sahaja bagi manusia khatulistiwa memang sedikit memeritkan. Terutamanya kemudahan internet dan alat pemanasan global. Namun demikian, kejayaan dalam menghadapinya merupakan satu kepuasan bagi aku. Pengalaman yang dilalui tidak akan dapat aku beli dimana-mana. Kekal di memori selagi memori itu tidak dimasuki virus lupa. Dan di blog ini, aku berkongsi pengalaman itu dengan pembaca. Juga buat rujukan dalam pengimbasan memori aku dimasa akan datang.

Sarapan agak lewat pagi ni. Chef kesiangan agaknya. Malam tadi aku tengok ramai pelanggan di kedainya termasuklah kami bertiga. Jadinya pagi ni chef sibuk menyediakan segala-galanya semula. Ke hulu ke hilir dia memusing dapor tu. Aku pun terjebak sama ke hulu ke hilir ngelak dia dalam dapor yang kecik tu. Menyebuk betul aku ni. Uli tepung buat mee. Uli tepung buat paratha. Rebus kentang dan lain-lain persediaan. Segala-galanya buat sendiri. Tiada yang segera. Memang makan masa la sikit. Aku pun sabar sahaja menunggu walau perut aku ni dah hampir menggigil-gigil kesejukan tanpa makanan. Keluar masuk dapur sahaja kerja aku. Kalau tak melangkah masuk dapor pun, aku jenguk kat pintu dapur tu, menenggek kat situ sambil lirik mata aku mengikuti setiap pergerakan chef. Aku kata ke chef yang aku nak potato tikkali dan potato paratha lagi pagi ni. Tu yang dia rebus kentang untuk aku tu. Sementara tunggu chef memasak, aku melangut tepi tingkap tengok kabus gunung. Nak jalan-jalan kat luar pun terasa berat kaki nak melangkah. Beku!!!

Dah sempurna masalah perut, kami bersiap untuk meninggalkan bumi Nako. Cari tempat lain pula untuk ditinggalkan jejak aku ni. Hidup di pergunungan ni tak perlu nak terkejar-kejar masa. Bergerak dalam keadaan yang cukup santai. Menggeliat sesaja aku nak bersiap untuk keluar dari kampung ni sebab aku suka suasana kampung di pergunungan yang sejuk dan tenang sebegini.

Akhirnya kami turun juga dari kampung di pergunungan ini. Berat rasa hati nak berlalu pergi. Terfikir sejenak. Tiada kah kumpulan jemaah Tabligh yang keluar ke sini selama 40 hari dan memberi penerangan tentang Islam. Besar harapan ku agar suatu hari nanti akan ada sinar Islam di sini. Memalingkan kepala ke belakang, sedikit demi sedikit perkampungan ini nampak semakin jauh dibelakangku dan akhirnya hilang dari pandanganku di sebalik gunung-gunung yang berceracak. Apa yang ada di hadapan mata sekarang adalah jajaran pergunungan yang tandus tiada berpenghuni dengan cuaca sejuk menyengat-nyengat kulit di pagi hari.

Kabus pagi yang masih membaluti pergunungan disini

Melihat gunung berceracak disini, sambil melihat ke sekeliling alam dari dalam kereta, aku cuba membayangkan bagaimana keadaan gunung2 ini apabila ia diarah untuk hancur nanti. Bertebaran bak hamparan permaidani atau tikar mengkuang seluas mata memandang dan kemudian apabila bumi ini digulung. Maka berakhirlah sebuah episod kehidupan dunia . Amat sukar untuk digambarkan.

Kawasan pergunungan ini seperti yang diberitahu oleh penduduk tempatan, akan ditutup kepada semua pengembara bermula bulan November setiap tahun sehingga bulan May kerana salji tebal. Salji tebal akan memutuskan satu-satunya jalinan perhubungan darat yang ada. Salji tebal juga akan menyukarkan pergerakan kenderaan akibat permukaan jalan yang licin. Cuacanya juga pada waktu itu hanya penduduk tempatan sahaja yang mampu menghadapinya.

Gayat tengok bawah nun...

Ini caption " Lihatlah gunung ganang yang luas terbentang. Kalau rasa hidup dah tak bermunafaat walau untuk diri sendiri, silakan ke sini dan terjun !!"

Berhenti sekejap di tengah jalan tinggalkan jejak

Ternampak formasi gunung yang menarik dan cantik di mata kami, aku minta pemandu berhenti sehampir mungkin untuk kami nikmati pemandangan sekitar kawasan sini

Dan juga melompat keriangan bak kanak2 ribena

Ni caption "menuju jalan mati"
Dia juga mengekori kami ke tempat dimana kami bertenggek sebentar. Lupa aku nak pinjam motor dia untuk bergambar. Dah masuk ke kereta baru aku terfikir. Otak kebekuan. Nak pusing semula berjalan ke hujung sana memang aku takkan buat la... Jauh dan sejuk gediks.

Akhirnya, setelah usus perut ku bergolek ke kiri dan kanan dan dilambung-lambung ketika turun naik gunung, kami sampai di sempadan daerah Kinnaur dan Spiti.

Jarak tak lah terlalu jauh, tapi perjalanan nya memang menguji kecekalan jiwa seorang pemandu dan memerlukan kepakaran yang tinggi untuk melakukan pemanduan di gunung.

Setiap pengembara perlu melapor diri di pos kawalan sempadan daerah di Simdo. Passport dan Permit perlu ditunjuk dan didaftarkan.

Pos kawalan sempadan antara daerah

Perjalanan menuju ke Kaza. Tapi kami akan berhenti di sebuah perkampungan sebelum Kaza iaitu Tabo.

Ketika kami sampai di sebuah lembah sungai, terdapat halangan batu-batu gunung runtuh menghalang jalan. Kami terpaksa berhenti di situ. Tiada pilihan. Juga terdapat sebuah lagi kenderaan yang tersekat seperti kami. Sepasang pengembara dari Holland, Mereka menggunakan pemandu pelancong selain daripada pemandu kenderaan untuk membawa mereka ke kawasan ini. Seterusnya kami ber-konvoi sepanjang perjalanan pada hari tersebut. Mereka membawa kamera yang panjang sehasta tu. Takut aku tengok. Ni mesti professional photographer, hati aku berkata-kata.

Terdapat halangan di hadapan. Batu2 runtuh dan satu-satunya laluan yang ada sedang dibersihkan daripada reruntuhan batu dari atas.

Aku lupa apa nama monastry ni. Tak ada dalam catitan aku.

Kami sampai di sebuah monastry agama buddha. Pemandu aku ikut kereta tadi. Pemandu pelancong tu kabor ada mumia sami berusia 500 tahun ditempatkan di sini. Meh la join katanya. Aku tak kisah ikut melawat tempat tu disebabkan group aku ada seorang lagi peminat benda-benda macam ni. Ikut kan jer la. Macam biasa, aku dan buddy memang tak minat nak masuk, tambahan pulak si buddy aku tu katanya maqam pondok dia tinggi sikit, so memang takkan masuk la, apatah lagi nak jengulkan muka ke dalam bangunan yang menempatkan mumia tu. Ia ia mereka mengajak kami masuk ke dalam bangunan kecik tu. Aku dah puas tengok mumia kat Egypt. Lagi banyak dan macam-macam rupa ada. Lagi menakutkan dan seram bulu roma. Hahaha..Tapi suka la si York tu dapat tengok mumia dan monastry di atas gunung ni sebagai subjek photo dia.

Kami menggeledah kawasan sekitar monastry

Bangunan tu la menempatkan mumia tersebut

Dari atas monastry tu akan nampak sebuah perkampungan masyarakat Tibet di bawah sana.

Dah habis mereka melawat mumia monk tu, kami terus turun menuju ke kawasan perkampungan suku kaum Tibet kat bawah monastry tersebut. Dalam laluan perjalanan juga. Entah macamana pemandu pelancong tu boleh tahu ada keraian kenduri kahwin sedang berlansung di sebuah rumah. Asalnya nak cari tandas. Terjumpa sekumpulan orang sedang berkumpul. Pemandu pelancong sembang-sembang dengan penduduk tempatan terus penduduk tempatan tu ajak kami semua ke kawasan mereka mengadakan kenduri.

Kawasan memasak air panas. Banyak kegunaan air panas ni. Untuk minuman dan juga membasuh pinggan mangkuk.

Suka mereka bila aku ajak bergambor. Aku kan ke ramah tamah..haha...

Aku masuk ke halaman rumah. Tak la ramai sangat orang aku tengok. Kebanyakannya lelaki sedang mengapak kayu api, ada yang mundar mandir jenguk-jenguk kawasan sambil minum chai dan ada juga sedang memasak di suatu sudut. Sedang aku terpinga-pinga di tengah halaman, datang la seorang perempuan bawa air panas dan air soda tanya aku nak minuman yang mana. Aku pilih chai jer la. Sejuk sejuk ni pekena teh baru segar tekak. Sedap la pulak chai dia walau sedikit manis. Kemudian datang pulak seorang lelaki pelawa makan roti naan dia. Wow.. Ni dah dikatakan ngantuk disorongkan bantal. Perut tak la lapor sangat tapi nak mengunyah. Sedap gila roti dia. Garing diluar dan lembut di dalam. Tepung yang mereka gunakan memang lain daripada tepung yang ada di Malaya ni. Enak dimakan begitu saja. Tak perlu nak cicah bagai dengan kuah dhal atau kari ayam.

Tepung yang digunakan untuk membuat roti naan. Di belakang tu adalah longgokan taik lembu kering yang bakal dijadikan bahan api.

Sambil pegang cawan chai di sebelah tangan dan roti naan di sebelah tangan lagi, aku terpaksa gantung kamera dan spesis gopro aku kat lengan dan tengkuk. Tak dapat nak buat apa dah. Kalau ada satu lagi tangan boleh la tangkap gambar sendiri sambil minum. Terpaksa la minta tolong kat buddy sambil buat muka seposen sebab mengganggu dia sedang mengunyah!.

Depan pagar rumah kenduri. Pelancong Holland dan York sibuk dengan kamera masing-masing mencari subjek dari satu sudut ke sudut yang lain

Sambil minum dan makan tu aku berjalan ke khemah yang tertutup dengan kanvas. Jengulkan muka ke dalam sambil senyum dan say hi pada semua. Mak oiii...ramai nya perempuan di sini. Rupa-rupanya golongan hawa sedang berkumpul di kawasan mencanai dan memasak roti naan. Lalu aku terpandang ke dapor-dapor yang menempatkan kuali leper yang digunakan untuk memasak roti. Secara spontan mulut aku berhenti mengunyah dan roti yang ada dalam mulut ni pun aku rasa nak keluarkan semula. Oh tidaaaakk, hati aku meronta-ronta dan tekak aku tiba-tiba menggelupor kegelisahan. Dah hampir separuh roti tu aku makan!!!!

Kawasan dapor memasak

Mereka menggunakan taik lembu sebagai bahan api untuk membakar roti. Tapi yang tu aku tak kisah la sangat kan. Yang aku kisah kan tu ialah bila roti dah dibakar di atas kuali leper, ia akan di bakar lagi dibawah kuali yang ada api yang sedang menyala dan bara-bara yang ada tu bagi garing dan ia akan terkena dan tercalit sedikit sebanyak dengan bara taik lembu yang terdapat di situ. Aku nak muntah !!!! Kome boleh tengok gambor yang lebih jelas di episod sebelum ini. Uweeeeekkkkk!!! Apa aku nak buat dengan separuh roti yang sedang aku pegang ni ? Tapi kan, tapi kan. tapiiiiii....  sesungguhnya.... aku tak nafikan. roti tu memang sedap !!

Senyum dalam derita bila tengok taik lembu kering yang bergelimpangan di sekeliling dapor. Roti itu...Dah separuh aku telan. Haha

Ada roti diletakkan di atas bara taik lembu !!

Oh roti ! Begini nasib mu...

Wajah-wajah wanita kaum Tibet versi India. Masa kat Shangri La China dulu aku dah tunjuk rasanya wajah wanita kaum Tibet versi China.. Haha....Kaum dan bangsa yang sama tapi lain budaya. Itu lah tujuan mengembara. Melihat perbezaan.

Pelancong dari Holland ni mencari subjek untuk dilakarkan dalam memori kamera dia.

Sembang jer pun. Jangan la serious sangat. Muka masing-masing dah macam nak gaduh bertumbuk! Si Buddy dan pemandu pelancong untuk warga Holland.

Kesibukan dihari pertama kenduri kahwin masyarakat Tibet

Kaum lelaki pula sibuk memasak kacang tanah menggunakan pasir. Aku tak tau la apa masakan deme nak buat ni

Dia kata nak tolong mereka...tolong tengok jer sambil minum chai.



Aku diberitahu kenduri masyarakat tibet di sini akan berlansung selama 3 hari 3 malam. Dasat oooo.... Dan makanan utama yang akan disajikan kepada tetamu adalah roti naan. Mungkin ada menu lain agaknya tapi aku tak nampak pulak kat keliling kawasan memasak tu seperti bawang ke, lada ke, bawang putih ke, kentang ke atau apa-apa sayur dan lain-lain bahan. Tak macam kita yang segala rempah ratus ada serta peralatan periuk belanga dan pinggan mangkuk memenuhkan kawasan memasak. Itu lah kesimpulan yang aku dapat buat melalui pemerhatian sepanjang aku berada di rumah kenduri tersebut. 

Bila dah kenyang dan ucapkan terima kasih kepada tuan rumah, kami pun berlalu pergi meninggalkan kawasan perkampungan yang dibaluti dengan pokok-pokok epal yang sedang berbuah ranum. Gatal jer tangan aku ni nak memetik beberapa biji sambil lalu tapi apakan daya. Semua pokok mempunyai tuan.

Kami sampai di Tabo selepas tengahari dan apabila sampai di suatu simpang di dalam kawasan perkampungan Tabo, konvoi kami berpecah mengikut haluan masing-masing. 

Kami bermalam di guesthouse ini. Dengan bekalan elektrik yang dicatu di tengah pergunungan di jajaran Himalaya. Cuaca amat sejuk menyucuk kulit. Redho dengan kekurangan yang sedia ada.



Aku berjalan di sekitar kampung yang terletak di lembah pergunungan. Kawasan nampak sangat subur dengan tanaman gandum yang luas terbentang, kuda-kuda yang bebas berkeliaran memakan ruput serta ladang-ladang epal yang sentiasa menggamit mata aku.





Melihat aktiviti penduduk tempatan. Banyak guesthouse dibina di sini. Mudah untuk mendapatkan penginapan.


Setelah penat berjalan di kawasan kampung Tabo, aku singgah di dapor guesthouse dan order chai serta paratha. Aku lapor sejuk-sejuk ni. Chef ni bukan penduduk tempatan. Dia dari negeri lain. Aku lupa negeri mana. Ada dia kabor. Bulan November nanti dia dan semua yang bukan penduduk tempatan akan diperintah keluar dari Tabo dan tinggallah hanya orang tempatan sahaja menghuni kampung sepanjang musim sejuk. Perniagaan guesthouse juga ditutup sepanjang musim sejuk.

Sekian episod untuk kali ini.
Semoga berjumpa di lain siaran
Terima kasih sudi membaca coretan seorang pengembara.

Wassalam