Saturday 31 October 2015

Incredible India - Simla - Episod 3 - The Kalka-Simla Heritage Mountain Train @ Toy Train Menuju Bandar di Pergunungan

Assalamua'laikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca.

Aku suka gunung dan kawasan pergunungan. Bertambah suka kalau puncaknya diliputi salji. Sejuk mataku memandang. Aku tidak pernah bosan menghayati keindahan dan ketenangan alam di pergunungan.  Melihat air terjun dan sungainya, berjalan di dataran yang luas, melihat tanaman yang ditanam di lereng-lereng gunung membuat aku tenang. Aku suka cuaca di pergunungan yang nyaman, sejuk walaupun kadang-kadang bila datang angin sejuk tu meniup aku sampai menggigil ke tulang, terasa juga seriknya mengembara ke gunung ni. Apabila aku berada di atas kawasan pergunungan pula, semua yang ada di bawah akan terlupa. Aku lupa kerja, aku lupa hutang, aku lupa masalah dunia, dan yang pasti nya aku lupa Malaya. Subhanallah, itu perkataan yang selalu keluar bila aku nampak puncak-puncak gunung bersalji berceracak di hadapan mata. Indahnya ciptaan Allah. Aku pasti, semua orang ada minat masing-masing ketika mengembara. Ada yang suka bandar dan pusat membeli-belah, Ada yang suka pantai. Ada yang suka design bangunan, monumen-monumen lama dan lain-lain lagi. Anda bagaimana ? Apa minat anda apabila mengembara? Apa yang anda ingin lakukan ketika mengembara ?

            Toy Train @ The Heritage Mountain Train from Kalka to Simla

Sambungan dari Episod 2,

13th September 2015

Buddy keluar dari bilik station master dengan muka seposen. Tenung aku. "Apa dah jadi?" aku tanya. " Train lewat sampai, rosak kat atas, Dijangka pukul 8.30 baru sampai sini dan bertolak ke atas pukul 9.00 pagi nanti", Aku dengar dengan tekun kata-kata Buddy dan kepala otak aku dah bagi signal kecewa ke muka. Kecewa sebab rancangan aku nak tengok keretapi memanjat gunung yang sedang diselimuti kabus pagi hancur lebur di bakar mentari.

Hari beransur-ansur cerah. Pagi di stesen keretapi Kalka. Kicauan burung yang bersahutan antara satu saman lain dibumbung stesen memecah keheningan pagi. Aku melihat orang semakin ramai memasuki stesen dan menunggu keretapi untuk ke destinasi masing-masing. Aku masih termenung di kerusi, mengira jam, minit dan saat sambil kejap-kejap tengok ke platform di hujung stesen kalau-kalau ternampak kelibat Heritage Train muncul. Tapi terlalu awal mengharap ! Tiga jam setengah lagi perlu menunggu. Si Buddy sedang mencari kerusi yang sesuai untuk dia melelapkan mata seketika sementara hari masih belum cerah sepenuhnya.

Dia ada internet ! Untung la.... Boleh la dia menghabiskan masa menunggu keretapi dengan melayari internet dan bagitau dunia maya nya yang dia stranded di sebuah pekan di Utara negeri Haryana. Aku pula duduk di kerusi yang penuh dengan beg-beg kami. Jadi guard beg-beg dan kasut kami yang terletak di bawah kerusi. Namun akhirnya kami lena di kerusi masing-masing.

Penantian memang suatu penyeksaan. Seksa pada otak dan rugi pada masa. Ketika mengembara, banyak kemungkinan yang berlaku yang diluar jangkaan tapi aku dan Buddy sentiasa amalkan konsep berlapang dada dan redho dengan kelewatan tersebut. Nak dijadikan cerita, Buddy tidur di kerusi di tengah antara platform yang menghadap ke tandas awam yang terletak di luar platform. Tandas ni berkunci pada waktu malam sehinggalah penjaganya bangun daripada tidur pagi tu. Dimana dia tidur ? Di dalam tandas tersebut..haha...

Bila matahari dah mencanak naik, aku terbangun dan termenung lagi. Melihat pencuci platform menyiram lantai dan menyapu sampah-sarap serta taik burung merpati yang banyak bertaburan di atas lantai. Sampah sarap yang disapu di buang ke kawasan rel. Mudahnya mereka menyapu. Walau tong-tong sampah disediakan, ia tidak bermakna buat mereka. Ketika aku berlegar-legar di stesen ni, aku menjenguk ke rel keretapi, memang banyak sampah yang dibuang disitu. Bagaimana pula mereka mencuci lantai stesen ? Amat mudah. Air direnjis sedikit ke kawasan lantai stesen bagi basah lembap dan kemudian mereka hayun batang penyapu dengan sekali lalu. Agak-agak bersih ke lantai tu atau sebaliknya?

Berbalik kepada cerita si Buddy. Sedang dia enak diulit mimpi pagi di kerusi, tetiba dia dikejutkan oleh penjaga tandas yang tiada kena mengena tu. Dia pergi ke kerusi Buddy dan disuruhnya Buddy bangun, matahari dah naik, begitu la agaknya maksud kejutan dia tu. Terkebil-kebil Buddy bangun. Aku cuma memerhati dari kerusiku. Nak gelak karang orang ingat aku sewel,so aku senyum jer pandang Buddy. Tapi tengok muka Buddy pun aku tahu dia memang tak puas hati, ye la kan, tengah lena siap bermimpi tu, kenapa dia dikejutkan oleh penjaga tamdas awam sedangkan petugas-petugas stesen tidak menghalang pun dia tidur di situ sebab mereka dah tahu kami berada di stesen ni sejak jam 4.00 pagi tadi lagi. Ya, aku pasti seperti kata Buddy, penjaga tandas tu cemburu sebab dia tak dapat menyambung tidur di dalam tandas kerana orang ramai nak masuk tandas kan. Suka suka hati dia jer kan pergi bangunkan orang lain yang sedang nyenyak.

Pagi tu disebabkan terlalu lama menunggu, perut aku sudah memberi signal minta di isi. Nak pergi ke restoran, ia terletak jauh di bahagian lain bangunan dan perlu membawa beg bersama-sama. Aku malas nak mengangkut semua dan berjalan agak jauh. Cukupla makan sebungkus coklat yang aku bawa dari Malaya sebagai pengalas perut sebelum hidangan diberikan didalam keretapi nanti. Aku siapkan juga 2000mg vitamin C soluble ke dalam air mineral aku. Sepanjang pengembaraan ini, vitamin C adalah wajib bagi aku. Sekiranya anda mengembara, pastikan vitamin C sentiasa ada dan anda consume setiap hari.

Interior Toy Train

Hampiri 8.30 pagi, 13 Sept 2015,perlahan-lahan aku lihat kelibat Heritage Mountain Train memasuki platform 5, Kalka Train Station. Kami bersiap, pakai semula kasut dan simpan selipar kami di poket beg. Akhirnya masa yang dinanti itu tiba juga setelah kebosanan menunggu. Setiap gerabak ditampal dengan sehelai kertas yang mengandungi list nama penumpang di pintu masuknya. Majoriti yang naik keretapi ni adalah pelancong samada pelancong dalam atau luar negara. Bagi penduduk tempatan pula, terdapat keretapi lain yang mengandungi kerusi biasa untuk mereka gunakan turun dan naik gunung dan tiada privilege ketika berada di dalam train tersebut memandangkan ia hanyalah train biasa.

Apakah privilege yang aku maksudkan yang terdapat pada Toy Train ni ?
1. Setiap gerabak memuatkan hanya 18 orang penumpang sahaja.
2. Kerusi yang selesa
3. Di hadapan di setiap kerusi disediakan sebuah meja
4. Terdapat tempat letak beg yang luas di belakang kerusi anda
5. Terdapat tandas di setiap gerabak.
6. Tiada pintu untuk melintas ke gerabak lain ketika keretapi bergerak.
7. Penumpang diberi makan dan minum ketika berada di dalam perjalanan.
8. Penumpang dibekalkan dengan suratkhabar
9. Terdapat seorang pelayan bagi setiap gerabak

Seorang demi seorang penumpang memasuki gerabak. Gerabak aku hampir penuh. Cuma ada 2 kerusi kosong yang tinggal. Pelancong luar seperti aku dan beberapa pelancong barat yang sama-sama naik ke dalam gerabak ini merupakan backpackers. Kami bertegur sapa seketika to say hai. Mereka dari Perancis. Dalam masa yang sama, pekerja keretapi membawa barang-barang makanan dan minuman ke dalam gerabak. Setiap gerabak disediakan seorang pelayan.

Walaupun jadual pergerakan keretapi telah dilewatkan ke pukul 9.00 pagi atas masalah teknikal. Ia tidaklah bergerak tepat. Itu pun lewat juga bergeraknya daripada pukul 9.00 pagi. Hari cerah dan panas dengan awan membiru di udara. Teringat aku akan Malaya yang sedang dilanda jerebu bila mendongak ke langit. Aku dah tak sabar nak tengok keretapi ni bergerak panjat gunung. Menukar cuaca panas ke dingin dan nyaman. Rasa lambat masa berlalu.Tak lama kemudian lebih kurang sepuluh minit selepas pukul 9.00, pemandu lokomotif mula membunyikan hon, menarik brek dan keretapi pun bergerak meninggalkan stesen Kalka dengan perlahan-lahan.

Tajuk suratkhabar ni buat aku terkejut...Takdir....Ia berlaku tengahari semalam. Diberitakan keretapi dibawa dengan laju dan 3 daripada gerabaknya tergelincir dari landasan yang mengorbankan 3 warga Britain dan ramai yang cedera.

Dari akhbar The Indianexpress melaporkan...Berlaku hanya selepas 10 minit berlepas dari Stesen Kalka, maknanya belum lagi dalam proses memanjat gunung. Patut la pemandu tu bawa laju...

Selang beberapa minit sepanjang keretapi bergerak, pemandu lokomotif ni akan menarik tali hon. Bergema lah bunyi nya ke serata alam di pergunungan. Memberitahu alam dan isinya akan perjalanannya. Keretapi bergerak di atas rel yang membelah pergunungan, sedikit demi sedikit dan semakin tinggi memanjat. Dah macam ulat gonggok aku tengok sebab is bergerak agak perlahan berbanding keretapi lain yang biasa aku  naiki.  Terdapat banyak terowong di sepanjang perjalanan. Bukan setakat terowong saja, keretapi juga bergerak di rel yang dibina di tepi gaung dan lereng-lereng gunung. Semakin tinggi ia memanjat, pemandangan juga semakin berubah. Aku melihat pemandangan pergunungan dan lembah gunung yang indah di hadapan mata. Makin tinggi ia naik,makin banyak pokok-pokok pine dan deodar disepanjang perjalanan. Pemandangan yang sangat cantik.

Keretapi juga berhenti di beberapa stesen-stesen kecil disepanjang laluan pergunungan ini. Samada untuk menunggu keretapi yang datang dari arah hadapan atau memberi peluang kepada penumpang keluar seketika untuk melihat pemandangan yang mengagumkan dari lereng gunung.

Di satu stesen di lereng gunung
Setelah 5 jam melihat pemandangan gunung dan lembahnya dari dalam Toy Train, tepat pukul 2.15 pm, keretapi pun sampai di Stesen Simla. Keluar daripada gerabak, terasa pipiku di sapa bayu sejuk gunung. Aku suka cuaca yang nyaman sebegini. Lebih kurang 11-16 darjah Celcius. Aku check keadaan tandas di stesen ni. Masuk tandas di stesen ni kena bayar 3 rupee. Tandasnya bersih. Sebelum aku masuk, aku tanya penjaga tandas tu berapa rupee kena bayar, berulang kali aku tanya, rupanya dia tak faham soalan aku. Nasib baik kebetulan lalu seorang lelaki disitu dan dia lah yang translate soalan aku kepada penjaga tandas. Barulah mereka angguk dan tunjuk jari 3.

Stesen Keretapi Simla terletak di lereng gunung. Bangunan-bangunan di sini kebanyakannya dipacak di lereng-lereng gunung. Jadi kami akan banyak bergerak dalam keadaan mendaki dan menurun lereng-lereng gunung di sini. Untuk keluar daripada stesen keretapi ni juga perlu memanjat anak-anak tangga di lereng gunung. Bagi aku, ia adalah latihan lutut yang paling berkesan walau rasa sedikit terseksa. Terseksa sebab menggalas beg yang berat di belakang. Cuba anda bayangkan, backpack aku seberat 13 kilo yang sentiasa setia dibelakang bahu dan beg kecik aku yang seberat 2-3 kilo dibahagian depan perlu aku bawa ketika mendaki dan menuruni lereng-lereng gunung di sini. Cukup mencabar kekuatan fizikal ketika ini. Nasib baik cuaca sejuk dan nyaman mengurangkan kegelisahan aku ketika melakukan pendakian. Keluar juga peluh dingin aku ni.

Stesen Keretapi Simla

Sampai diluar stesen, aku tengok ramai penumpang-penumpang tadi mengambil teksi atau kereta dan van yang datang menjemput. Aku tanya orang sekeliling, jauh lagikah pusat bandar Simla ni? Dalam 12 kilometer, kata mereka. Patut la semua orang terpaksa ambil pengangkutan lain untuk meneruskan perjalanan. Aku dan Buddy tidak terkecuali. Kami disapa oleh beberapa pemandu kereta sapu yang banyak disekitar stesen ni bertanyakan ke mana kami nak pergi. Kami tanya semula harga yang mereka boleh tawarkan kepada kami untuk ke pusat bandar. Kami tawar-menawar sebelum kami setuju menggunakan kereta mereka untuk membawa kami ke hostel yang dimaksudkan. Melalui jalan-jalan kecil dipergunungan, kecekapan pemandu tersebut memandu di lereng gunung amat aku kagumi. Orang gunung la katakan.

Simla merupakan bandar terbesar dan ibu negeri Himachal Pradesh. Ia terletak di ketinggian 7,238 kaki dari aras laut. Perjalanan menggunakan bas dari New Delhi ke Simla memakan masa hampir 8 jam perjalanan. Tiada lapangan terbang di sini memandangkan bentuk mukabuminya yang bergunung-ganang. Bandar terdekat yang mempunyai lapangan terbang ialah Chandigarh.

Terdapat kawasan-kawasan di lereng-lereng gunung ni tidak dapat dimasuki oleh kenderaan atas faktor mukabuminya atau kawasan larangan seperti taman. Kami diberhentikan di kawasan taman lereng gunung dan perlu berjalan 700 mtr untuk sampai ke Youth Hostel tersebut. Sampai di hostel, facility yang akan aku tanya ialah samada mereka ada wifi free. Memandangkan hostel pertama yang kami jejak ni tiada wifi, kami decided untuk cari hotel lain. Kami tanya pekerja hostel dimana arah hotel-hotel lain yang berdekatan. Kemudian kami terus berjalan di lereng-lereng gunung dan melepasi Lakkar bazaar yang terdpat di lereng gunung ni.

Di kawasan Lakkar Bazaar ni, terdapat beberapa hotel yang kami masuk dan tanya rate serta kemudahan yang ada terutamanya wifi. Terdapat beberapa hotel yang dah penuh kerana ada festival apple di sini sejak semalam selama 2 hari. terdapat juga hotel yang masih mempunyai bilik kosong serta mempunyai pemandangan gunung dan lembah yang cantik dimana ia terletak betul-betul di lereng gunung tapi malangnya tiada kemudahan internet. Kami pun teruskan berjalan sehingga kami sampai di sebuah dataran yang sedang berpesta apple.

Bandar di Pergunungan
Kami lepasi kawasan dataran yang masih ramai dengan manusia menuju ke kawasan bazaar lama. Bazaar ni mempunyai tingkat-tingkat tertentu di sepanjang lereng. Bermula dari dataran tersebut, kami turun ke Upper Bazaar. Bukan hotel yang kami cari tapi mencari restoran untuk makan. Kelaparan melanda dan otak kami tak berminat nak cari hotel lagi. Ia bukan keutamaan lagi dah saat ni bila perut memberi signal. Kami turun di tangga-tangga bazaar menuju ke lorong-lorong sempit mencari kalau-kalau kami terjumpa restoran muslim. Kaki pun dah mula menggigil-gigil menuruni tangga-tangga di bazaar ni.

Dari upper Bazaar, kami turun ke Middle Bazaar seterusnya ke Lower Bazaar. Dari Lower Bazaar kami pandang semula ke atas. Apa kami cari ? Kubah masjid kalau kami ternampak. Kalau kami jumpa masjid pasti kami akan jumpa restoran muslim. Akhirnya dari jauh kami nampak sebuah kubah hijau, Mungkin masjid. Itu telahan aku. Kami teruskan berjalan menuju ke bangunan tersebut. Sampai di satu simpang, bangunan tersebut hilang dari pandangan. Kubah pun dah tak nampak.Terlalu banyak simpang jalan di lorong-lorong sempit lereng gunung ni Ah sudah!..Arah mana pulak kami nak tuju ni nak cari balik bangunan masjid tersebut. Di kawasan bazaar ni juga terdapat kubah warna tembaga tapi bukan masjid. Ia mengelirukan pandangan aku.

Makan Nasi Lauk Kari Ayam dan kambing di tepi Masjid Jama, Middle Old Bazaar, Simla
Turun naik tangga akhirnya kami jumpa masjid tersebut. Ia nampak usang. Dibina dari kayu yang dicat hijau. Kami masuk kawasan masjid dan jumpa beberapa kedai makan muslim. Kebanyakan mereka adalah dari rumpun Kashmir. Muka pun muka kashmir. Banyak keturunan kashmir yang menduduki kawasan sini. Aku dan Buddy masuk di sebuah restoran ChaCha ni dan letak beg terus. Lega rasa bahu aku dapat melepas beban yang dikendong.

Dihadapan restoran Chacha tepi Masjid Jama. Bila penat di dapor, ChaCha ni akan lepak diluar restoran dia sambil hisap shisha ni...

Kami order nasi lauk kari ayam dan kambing. Makan tak ingat dunia kata orang. Kami cuba bersembang dengan mereka tapi masing - masing tak faham. Maka bermulalah edisi itik dan ayam berbicara. Bila mereka tahu kami datang dari Malaysia dan muslim, mereka amat gembira. Ada yang datang cuba bertanya tapi disebabkan masalah bahasa ia membantutkan usaha mereka untuk berkomunikasi dengan kami. Tapi Islam tidak mengenal bangsa. Ukhuwah amat mudah terjalin dan kami dilayan dengan baik. Datang beberapa pemuda muslim yang mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dengan kami. Maka bertumpu lah yang lain-lain untuk bertanya dan pemuda tersebut tolong translate soalan mereka kepada kami. Si Buddy siap tunjuk passport lagi bukti datang dari Malaysia.


Jalan Menuju ke Hotel Penginapan nun jauh di atas gunung. Longlai lutut aku nak menyampaikannya ke hotel dalam keadaan mendaki dan kekenyangan. 
Bila dah kenyang, baru aku terasa penatnya kaki berjalan. Rasa tak mau keluar daripada restoran. Lepak lama sikit dalam restoran ni sambil nikmati chai panas. Kemudian aku keluar sekejap dari restoran dan berjalan di sekitar laman masjid untuk tegakkan badan aku dan betulkan tulang belakang yang sedikit tegang ni. Kemudian ambik beg untuk teruskan misi mencari hotel. Dengan bantuan seorang pemuda yang kami jumpa di kawasan restoran Chacha ni. dia membawa kami mencari hotel di kawasan sekitar. Muhamad Yassin, itu namanya dan berasal dari Kashmir. Berjalan lah kami dari Middle Bazaar naik semula ke dataran dan teruskan lagi mendaki ditepi lereng-lereng sambil bertanyakan hotel yang kami lalui.

Dipertengahan jalan di sekitar dataran melepasi bangunan gereja, bertemu lagi dengan seorang tua yang aku panggil ChaCha turut sama membantu kami mencari hotel. Disebabkan mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, jadi mudah lah sedikit bagi kami untuk mencari hotel. Sampai di suatu simpang, Cha Cha minta kami tunggu dulu tepi jalan sementara dia pergi ke hotel dan tanya samada ada bilik kosong atau pun tidak. Tak lama kemudian, dia menjerit dari kejauhan di celah-celah bangunan meminta kami datang kerana terdapat bilik kosong di satu hotel disana. Lemah lutut aku bila dengar suaranya yang sedikit tenggelam dan jauh, Maknanya hotel tu jauh lagi nak sampai sambil mendaki. Setelah hampir 2 km kami berjalan di celah-celah bangunan di lereng gunung ni, sampai la kami ke hotel yang masih ada bilik kosong dan mempunyai kemudahan internet. Terima kasih kami ucapkan kepada Chacha dan Yassin kerana sama-sama berjalan dengan kami mendapatkan hotel penginapan kami di sini. Tapi pertolongan mereka bukan lah percuma. Reaksi muka dan mata mereka menunjukkan maksud tersirat. Mungkin kami muslim, maka mereka segan nak meminta. Tapi aku faham. Kehidupan disini bergantung sepenuhnya dalam industri pelancongan. Ada masa peak season, ada masa low season. Mereka akan buat apa saja kerja untuk menampung kehidupan. Kalau anda ramah dengan pelancong, mungkin dapat tips. Itu cara mereka. Peak season belum tiba. Kena tunggu beberapa bulan lagi.

Kami menginap di Woodland Hotel, dapat bilik mengadap ke lembah pergunungan. Pemandangan sangat cantik. Petang tu aku kata ke Buddy aku tak mau keluar dah. Penat sangat rasa kaki ni berjalan hari ni. Mendaki dan menuruni lereng-lereng gunung di Simla ni. Senja tu aku keluarkan bungkusan makanan yang aku bawa dari Malaya. Terdapat peanut butter, tuna sandwich dan roti gardenia di dalam bungkusan tu. Sedang aku melepak di katil dan Buddy di kerusi melayan gadget dan melayari internet masing-masing, tetiba bungkusan yang diletakkan di atas meja bulat di hadapan katil aku, juga berhadapan dengan kerusi yang Buddy tengah duduk hilang sekelip mata, menyelinap seekor monyet dari pintu balkoni mencuri bungkusan tadi. Kami tergamam sebab ia berlaku begitu pantas. Tak sempat Buddy mengejar dia sebab dia bergerak dan melompat dari satu balkoni ke balkoni lain dengan begitu pantas. Apa yang dibuatnya dengan bungkusan tadi ? Dicurinya roti gardenia aku yang tak sempat aku makan lagi. Dari jauh dia pandang semula ke Buddy dengan pandangan sinis. Tapi botol peanut butter dan tin tuna sandwich tu di tinggalkannya di tepi balkoni jiran aku. Angin juga la masa tu. Tapi memang tak rezeki pada roti tu. At least dapat kutip balik peanut butter dan tuna tu. Pintu balkoni tu terbuka sikit saja tapi dia dapat mengintai apa yang ada di dalam bilik. Lepas tu memang kami sentiasa tutup pintu tu melainkan kalau kami nak lepak di balkoni.

Aksi pencuri yang masih bebas. Cepat sungguh dia menyelinap masuk mencuri bungkusan makanan aku dan bawa lari sekelip mata.

Berdasarkan temubual aku dengan penduduk-penduduk tempatan di Simla. Sekiranya anda ingin melancong di kawasan pergunungan di sini, elok anda elakkan bulan May dan Jun kerana bulan-bulan tersebut merupakan peak season bagi kebanyakan tempat-tempat pelancongan di sana. Harga hotel sedikit mahal dan sukar mendapatkan bilik yang anda hajati dan bersesuaian dengan budget anda. Hotel juga perlu ditempah awal. Begitu juga dengan pengangkutan,ia akan menjadi mahal dan sukar didapati melainkan anda membuat tempahan awal.

Mengakhiri episod kali ini, aku sajikan sebuah video amatur pendek untuk tontonan semua. Selamat menonton and enjoy the music....



Semoga berjumpa di lain episod.
Wassalam

Layari www.akupunyatravel.com untuk pakej pelancongan ke destinasi terpilih hanya darpada akupunya travel

Wednesday 21 October 2015

Incredible India - New Delhi - Episod 2 - Misi Mencari Restoran Karim Yang Popular dikalangan Pelancong Dengan Nasi Briyani Kambingnya di Old Delhi

Assalamua'laikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca yang setia mengikuti catatan pengembaraan di blog ni.

Lama sangat dah rasanya jerebu ni. Sejak sebelum aku pergi bertapa ke gunung lagi sampai la dah hampir sebulan aku balik ni. Harap-harap dengan turunnya hujan yang lebat beberapa hari ni akan meredakan jerebu yang melanda bumiku ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar musibah ini segera berakhir. Sesak nafas, sakit tekak dan rimas mata tengok langit dan sekeliling. Rasa nak bertapa ke gunung jer semula....tengok langit membiru, tengok salji membaluti gunung, melihat air tasik gunung yang jernih dan menghirup udara bersih.

Di India, hotel adalah restoran.....

Alhamdulillah, hari kedua di bumi New Delhi, aku bersemangat untuk merancang perjalanan seterusnya. Tinggal di negara orang ni, aku selalunya bersemangat untuk hidup bila bangun pagi. Kat Malaya aku selalunya sesak dada, otak dan pemikiran. Malam tadi sempat juga aku beramah mesra dengan rakan sebilik sebelum aku terlelap kerana keletihan berjalan malam. Ada yang buat internship kat New Delhi.Ada yang sedang tunggu visa siap untuk ke negara lain. Sorang lagi aku tak sempat nak tanya.  Gigih sungguh mereka ni.

Subuh di New Delhi ni lebih kurang pukul 4.48 am waktu tempatan. Kalau pukul 6.00 pagi tu dah cerah bumi Delhi ni. Bila cerah, perut aku akan automatik menyanyi lagu "keroncong untuk Ana". Tambahan pulak malam tadi makanan terakhir aku adalah di dalam kapal terbang. Aku naik ke tingkat atas, terus ke dapor. Selongkar kabinet dan peti ais. dapat jem strawberry dan roti. Malam tadi si Ohm dah tunjukkan aku area di dalam hostel ni. Jadinya hostel ni dah jadi macam rumah aku buat. Aku masak air dan bancoh kopi yang aku bawa dari Malaya. Tidak lama kemudian, si buddy naik ke atas. Awal dia bangun. Mungkin dia lapar. Itu pasal la dia mampu untuk bangun awal. Kalau kenyang, dia akan jadi macam resmi anjing gunung. Melengkor dalam kesejukan dan kalau kita kejutkan pun dia akan buka mata separuh, jeling kita semula dan terus tutup mata sambil menggeliat serta sambung menggulungkan badan.

Sambil survey apa yang patut, telan vitamin, supplemen, roti dan kopi sebagai pengalas perut. Aku ke yang makan segala supplemen tu ? ..Oh Tidak!!!....memang bukan aku la tu....

Sambil sarapan, buka laptop dan survey segala-gala. Dah sampai India baru buat survey? Haha...Itulah cara aku. Bila aku mengembara, aku cuma ada destinasi-destinasi yang aku nak lawati. Homework memang failed. Jadinya kepada sesiapa yang nak tahu itinerary aku memang tak ada dalam buku nota atau memori komputer. Semua dalam kepala saja aku simpan. Senang aku nak edit. Pilihan pengangkutan bergantung kepada masa dan keadaan setempat. Jadinya pagi tu la baru terhegeh-hegeh nak cari pengangkutan yang bersesuaian untuk pergi ke destinasi seterusnya. Tengok la jadual keretapi dan bas kecuali kapal terbang.

Kemudian, bila kepala sedikit kebuntuan, aku suruh buddy pergi kejutkan si Ohm, nak tanya dia pengangkutan yang bersesuaian dengan corak perjalanan aku hari ni. Terkebil-kebil dia datang melepak dengan kami pagi tu. Untungnya duduk di hostel ni, mereka lebih friendly membantu  kita berbanding jika duduk di hotel. Suasana hostel yang santai, boleh buat macam rumah sendiri dan saling boleh berteguran antara penghunu-penghuni lain. Tapi kan, bagi puteri dan putera manja yang nak semuanya disediakan dan diangkut, memang tak boleh lah nak duduk di hostel ni. Pengsan deme nanti. Hostel ni sesuai bagi pengembara yang gagah berani dan cekal serba serbi...macam aku ni la...haha

Tu dia...gigih menjalankan tugas mencari segala maklumat yang diperlukan. 

Buddy tanya aku : "kita nak pergi mana hari ni moksu"? Aku jawab : "Moksu nak naik Simla Mountain train, the heritage train yang panjat gunung tu". Tu jer yang aku bagitau. "Kat mana tu?" dia tanya aku balik..Dia ni lagi teruk, Ilmu alam pun tak lulus!. Haha...Hang pi buka peta India sat dia dok kat negeri mana .."Ok ok, takpe, nanti Mader tanya uncle google dan cari transport ke sana"...bagus assistant aku, Akur arahan bos. Maka gigih la si buddy dan Ohm mencari dan memilih jenis pengangkutan dan masa yang bersesuaian untuk laluan perjalanan ni. Di mana nak naik keretapi tu, jadual perjalanan keretapi dan bagaimana nak pergi ke sana dari Delhi ni. Itu semua tugas si buddy. Aku ? Aku cuma mengarahkan saja, bangkang atau setuju dengan pilihan yang dia dah cari...hehe....Bila dah dapat jadual heritage mountain train ni, aku cuba nak beli tiket secara online, tapi mereka tak terima kredit kad daripada negara luar. Aku pun tak faham. Jadi aku kena pergi ke kaunter di stesen keretapi New Delhi untuk beli tiket tu.

Bila dah settle bab-bab jadual keretapi dan bas ni, aku pun bersiap-siap nak mengukur bandaraya New and Old Delhi ni. Siang hari ni aku nak jenguk-jenguk dulu apa ada di Old Delhi. Senang cerita, aku nak makan nasi briyani kambing di restoran Karim di Old Delhi yang terkenal di kalangan pelancong tu. Tempat wajib jejak sebab nasi briyani dia memang sedap. Bila sebut jer nak pergi makan nasi, si buddy memang tangkas bersiap. Urat sarafnya berhubung dengan baik terus ke otak. Kami checked out terus tapi beg kami tinggalkan di hostel sampai petang nanti.

Di kejiranan berhampiran Jugaad Hostel, beli local simcard dulu.

Generasi Y ni tak boleh hidup tanpa internet, tanpa instagram, tanpa facebook, tanpa wechat dan segala macam media sosial yang ada sebab katanya dia tak boleh nak bagitau satu dunia dia dimana dan sedang buat apa serta nak show off dengan kawan-kawan dia yang tak boleh mengembara cara dia dan ikut dia. Jadinya kena pergi cari kedai telecommunication dulu dan beli simcard tempatan. Ohm tak dapat nak turun tolong, tapi dia minta pembantu dia tolong buddy pergi beli simcard dan buat pendaftaran. Senang saja nak beli simcard. Photostate passport dan isi form. Di India ni internet lebih murah dan laju. Aku masih tak berminat nak beli simcard. Kang aku asyik update facebook jer, ber show off macam generasi Y ni.... haha..

Dari hostel, kena ambil tuk-tuk ke metro station terdekat iaitu Green Park station. Sebelum keluar, tanya si Ohm berapa biasanya tambang tuk-tuk ke metro station. Jadinya senang nak bertekak dengan ganas nanti dengan pemandu tuk-tuk kalau mereka cuba nak mengelentong. Tapi tak jadi nak mengganas sebab si buddy siap tepuk-tepuk bahu dan geleng-geleng kepala lagi dengan pemandu tuk-tuk yang dia jumpa. Cepat sungguh dia belajar bahasa geleng kepala.

Tuk-tuk adalah pengangkutan rasmi aku di Delhi

Hidup ceria dengan internet....

Ambik metro dari Green Park Station terus ke Chandni Chowk Station di Old Delhi. Keluar dari station aku terkejut unta sekejap. Mak oiii....Ramainya manusia. Dah macam ulat ramainya. ok la, tak mengapa, mungkin disebabkan hari ni hari sabtu, ramai yang keluar membeli belah dan bersiar-siar agaknya. Ikut saja arus. Escalator di station ni pun sangkut tak mau bergerak sebab terkejut dan tak mampu nak tampung berat umat-umat ni naik ke atas.

Berkeliaran di sekitar kawasan Chandni Chowk

Chandni Chowk, nama yang sangat terkenal di Old Delhi. Ia merupakan sebuah kawasan bazaar yang sangat luas dengan lorong-lorong sempit yang telah berusia 500 tahun. Ia wujud ketika zaman pemerintahan Kerajaan Mongul dulu lagi. Kawasan sini dinamakan Old Delhi. Zaman dulu kala kawasan ni terletak di dalam sebuah kota dan mempunyai gate masuk. Itu sebab di Delhi ni ada banyak gate bernama. Delhi Gate, Kashmiri Gate, Lahore Gate dan lain-lain gate. Aku diberitahu oleh peniaga muslim tempatan yang menyatakan bazaar ini dahulu dipelopori dengan banyak oleh peniaga-peniaga muslim dari zaman Kerajaan Mongul sehinggalah kemerdekaan India daripada British. Kemudian bila India dan Pakistan merdeka dari penjajah Barat tu. peniaga-peniaga muslim disini mengambil keputusan berpindah ke Pakistan akibat pemisahan dua negara. Maka tinggallah sebilangan kecil yang masih menduduki kawasan ini dari zaman berzaman. Maknanya daripada majoriti menjadi minoriti. Sedih la pulak aku pikir balik. Tapi tak apa la kan, masih ada lagi komuniti muslim yang masih terus bertapak di sini. Alhamdulillah.

Serabutnya aku tengok wayar-wayar elektrik ni di atas kepala sama lah juga serabutnya keadaan kesesakan jalanraya di kawasan Old Delhi ni

Cuaca di Delhi ni panas kering. lebih kurang 33 - 37 darjah celcius. Kalau lama terdedah di tengah panas terik, boleh rasa perit di kulit. Walaupun dah kurang daripada 40 darjah celcius sebab menuju ke musim sejuk, belengas badan jalan lama-lama. Ohm pun dah bagitau yang cuaca di Delhi ni ekstrem sikit. Kalau sejuk boleh beku tulang belikat dan kalau panas macam berada di padang pasir. Delhi ada dua musim saja, panas dan sejuk. Tiada istilah autumn atau spring disini.

Jauh juga la berjalan dari stesen metro Chandni Chowk nak menyampaikannya ke Jama Masjid ni. Semasa berjalan di panas yang terik tu, banyak la pemandu auto dan pengayuh beca mempelawa kami menggunakan service mereka dengan harga tertentu. Memang banyak mereka ni di kawasan Chandni Chowk ni. Jenuh nak layan. Kadang-kadang rasa terganggu juga dengan sapaan mereka sambil menyuruh kami naik beca mereka sebab aku nak jalan kaki saja sambil tengok keadaan sekeliling. Kalau tak silap pengiraan aku, dari stesen metro di Chandni Chowk nak ke Masjid Jama ni lebih kurang 2 km jauhnya. Aku agak je la. Kemudian kami sampai di gate masjid no 3. Kami tanya orang sekeliling dimana Restoran Karim.


Jama masjid,daripada Gate No 3

Jauh lagi rupanya. Ia terletak di lorong berhadapan gate masjid no 1. Opposite gate no 3 ni. Apa lagi kami naik tangga masjid konon-konon nak menyeberang ikut dalam masjid saja. Mudah. Tapi perancangan kami tak menjadi. Sampai pintu masjid, kami diminta tinggalkan kasut dan bayar 300 rupee untuk masuk ke dalam. Menyelinap darah aku naik ke kepala tiba-tiba di tengahari terik ni. Rasa nak makan-makan orang yang minta wang kami kat pintu masjid dengan selamba badak tu. Dah la kami ni tengah lapar dan jalan jauh dari stesen tadi. Tak nampak ke aku ni pakai tudung, muslim. Aku kata kami nak cross jalan ikut dalam ke seberang sana. Dia punya la berkeras tak bagi kami masuk. Sebabnya aku bawa kamera dan spesis gopro yang tergantung di monopod aku tu. Kalau nak masuk juga, bayar 300 rupee, katanya. Aku rasa nak hempuk-hempuk jer kepala dia dengan monopod aku ni. Masuk masjid pun nak kena bayar ke !!!.Bukan ada resit pun, ni kiranya kutipan tol haram depan pintu masjid.

Akhirnya kami berlegar-legar depan pintu gate no 3 tu, namun nak bayar mereka ni memang tidak la. Aku kan ganas...kami ambik sekeping dua gambar bersama pelancong-pelancong lain yang sama-sama terkilan dengan bayaran tol haram yang tinggi dikenakan dan menghalang muslim lain untuk masuk ke masjid dengan niat apa sekalipun. Tak masuk dek akal !!! Si Buddy aku menyumpah-nyumpah dengan peranan pengurusan masjid di sini. Macamana nak berdakwah dengan mereka yang bukan muslim tentang keagungan Islam kalau tidak diberikan peluang untuk melihat sejarah Islam dan perkembangannya suatu masa dulu? Dan ianya merupakan tempat ibadat, tempat dakwah, tempat berkumpulnya komuniti sejagat, kenapa perlu di tol secara haram?


Di tangga Jama Masjid  menuju Gate No 3

Kami turun semula dan cuba nak berjalan saja ke restoran Karim tu. Tapi dengan cuaca yang terik membakar kulit dan hati yang dah panas ni, aku dah tak larat nak layan kaki melangkah. Perut pulak semakin berkeriok dan menggigil minta di isi. Akhirnya kami naik beca yang asyik mengekori kami dari tangga masjid tadi selepas pengayuh beca ni nak sesangat kami naik beca dia. Tapi masa nak naik beca tu pun kami boleh gelak-gelak lagi. Kami gelak sebab nak mulakan operasi ganas kami bertekak harga dengan pemandu beca. Dia minta 50 rupee sorang.  Tak mau aku kata. Tegas nada suara aku. Kalau kau nak juga kami naik beca kau ni, aku bayar 15 rupee jer sorang..haha....You take it or leave it, aku bagi kata dua. Hambek ko....tergeleng-geleng dia lepas tu, nak tak nak demi sesuap nasi, angkut la juga kami ni ke sana yang sepelaung cuma...hehe...

Restoran Karim, tingkat atas 

Sampai Restoran Karim, hati banyak senang oooo....Sengih sampai ke telinga si buddy bila lalu lorong nak masuk ke restoran tu. Kawasan ni banyak restoran muslim, bukan setakat Restoran Karim saja. Tapi tu la, nasi briyani di restoran Karim ni memang terkenal dengan keenakannnya. Restoran Karim ni meliputi bangunan disekeliling lorong sempit tu, pilih saja nak masuk pintu yang mana. Semua pintu di situ dia punya.

Naik atas, tempat masih banyak kosong, cuma ada seorang wanita asing duduk di satu meja. Aku sapa dan join duduk depan dia. Borak-borak dengan orang asing lagi best daripada berborak dengan si buddy tu. At least dapat kenalan baru kan. Aku lupa dah nama dia, seorang warga Jepun, datang ke India untuk buat internship di sebuah syarikat Jepun yang beroperasi di New Delhi. Gitu la ceritanya. Lain-lain kami borak pasal travel saja.


Aku, Buddy dan minah Jepun di hadapan Restoran Karim, Old Delhi

Restoran Karim ni ada banyak cawangan di Delhi ni, tapi yang terkenal sudah semestinya di sini. Yang lain-lain tu ada orang kata tak sama rasanya dengan sini. Aku pun tak tau. Itu kata orang, aku belum pernah cuba makan di cawangan yang lain. Tengok jer menu, aku sudah pasti order briyani kambing nya lah kan. Order satu saja boleh makan dua orang, nasi dia memang banyak. Then kami order lagi paneer tikka dan ayam goreng pedas masala. Makan sampai puas. Kebulor, kata buddy.

Menu kami yang kelaparan. Harga makanan di sini agak mahal bagi aku. Maklum la, restoran terkenal kan. Standard dia la tu.

Dapur membakar roti yang terletak di tepi lorong restoran. Anda boleh tengok mereka menguli tepung dan membakar roti-roti tersebut.

 Restoran Karim, kiri dan kanan, keliling semua dia punya.

Keluar dari lorong sempit tu mengadap ke gate 1 Masjid Jama, aku kata pada diri, akan aku terjah masjid ni nanti di hari terakhir pengembaraan aku di sini dan aku akan masuk tanpa bayaran dan membayar tol haram tu... Itu nekad aku. Macamana nak bagi jadi pun aku tak tahu lagi. Niat yang bersemangat itu penting !!.

Cari duit kecik nak bayar tambang beca, kalau bagi duit besar nanti dia tak mau pulangkan baki. Kalau tak pulangkan baki, aku akan terbalikkan beca tu nanti dan buang angin tayar.

Kami jalan balik ke stesen Chandni Chowk..Pikir balik jauh juga nak jalan kaki dalam keadaan kekenyangan dan cuaca terik ni. Apa kata kita naik beca ! Aku kata ke buddy. Dia pun dah mula nampak macam muka resmi anjing gunung. Maklum la, dah kenyang kan. Mata pun boleh terkatup di tengah panas terik ni. Buddy anggukkan saja. Kami pun naik la mana-mana beca yang berkeliaran mencari penumpang di kawasan tersebut. Tapi kan, jalanraya di sini sesak dan padat. Usahkan kereta, beca dan auto pun tak lepas nak menyelinap. Akhirnya kami turun dan jalan kaki semula menuju ke stesen metro. Untuk pengetahuan anda, ada lebih 100,000 beca di kawasan Old delhi ni saja. Itu tak termasuk auto rickshaw @ tuk tuk yang perlbagai bentuk. Banyak kan, jalan sesak pun sebab mereka ni la. Tapi itu lah keunikan yang ada disini, tiada di tempat lain. Kelainan yang aku nak tengok dan rasai pengalaman berada di tempat yang unik sebegini.

Sesak, padat, bingit dan serabut kepala otak tengok....Begini lah keadaan di kawasan Old Delhi setiap hari. Anda kena tabah dan mempunyai tahap keimanan yang tinggi kalau memasang niat untuk memandu di sini.

Hari dah nak petang, hampir pukul 4.00 petang dan kami masih berkeliaran di Old Delhi. Sedangkan kami perlu menuju ke Terminal keretapi dan bas untuk perjalanan seterusnya pada pukul 6.00 pm. Otak jadi semput sekejap melihat jam dan kesesakan jalanraya dan manusia di kawasan Chandni Chowk ini. Sampai stesen metro terkejut biawak la juga tengok ramainya umat sedang beratur beli tiket. Mesin tiket pun dah out of service. Setengah jam beratur dan menunggu....Buddy beratur beli tiket dan aku menunggu dia beratur beli tiker...haha!!...sambil tengok gelagat manusia di sini.

Suasana di kaunter tiket metro train di stesen Chandni Chowk. Tak luak dengan manusia.

Sepanjang aku menggunakan perkhidmatan train metro di Delhi ni, Tak jumpa lagi train yang senggang dengan orang apatah lagi nak duduk di kerusi. Padat di setiap ketika dan selalu aku tersekat disuatu sudut dan terkena dengan panahan bau ketiak masam sapa entah !!..tiap kali aku berdiri di dalam train. Lemas hidung maksu ni !!!...Kalau la hidung aku ni boleh berkata-kata dan meronta-ronta kepeningan...sebab tak tahan kan, tapi kena redho...haha...Kadang-kadang terkeluar juga perkataan dalam bahasa melayu aku mengomel dalam train tu. Tapi siapa kisah kan kalau mereka dengar pun, bukan mereka faham apa aku kata.

Dalam perjalanan menuju ke hostel dengan menaiki tuk tuk dari metro station Green Park, kami tersalah lorong suruh tuk tuk tu berhenti. Maklum la baru hari pertama di sini. Aku tak berapa jelas lagi keadaan lorong-lorong disini dan landmark yang perlu aku tuju. Pusing-pusing lorong yang ada dan tanya orang sekeliling baru lah kami jumpa jalan pulang ke hostel. Tapi kami tak terus ke hostel, singgah dulu beli cold press juice. Dah kena secawan dan segar semula anak tekak, baru lah kami lenggang-lenggok ke hostel. 

Cold press fruit juicer machine from India....simple dan sama concept nya dengan cold press fruit juicer machine jenama Hurom daripada Korea yang ribu raban tu....hehe

Lagi satu gambar lengkap Fruit Juicer versi India...Simple dengan concept dan hasil yang sama seperti keluaran Korea yang harga riburiban tu...Kreativiti itu penting...Peniaga ni menjual air limau  fresh..sedap pula tu..kalau anda berkesempatan berjumpa peniaga sebegini, cuba la air limau nya, dan jangan dicampur bahan lain seperti gula. Terbaik...Yang pasti limau ni tiada di Malaya...

Sampai hostel, kami siap mandi-manda dulu dan solat. Walau dah checked out pagi tadi, kami masih dibenarkan menggunakan facility hostel ni dengan tenang dan gembira serta melepak bersama manager di sini sementara menunggu pukul 6.00 pm. 

Bila sampai masa untuk bergerak meneruskan pengembaraan ke destinasi seterusnya, aku ucap terima kasih dan  selamat tinggal buat sementara kepada Ohm, sebab kami akan datang balik ke hostel ni semula sebelum kembali pulang ke Malaya. Kami ambil semula tuk tuk ke stesen metro Green Park. Naik metro ke stesen keretapi New Delhi. Sampai stesen keluar cari terminal keretapi New Delhi yang sebesar alam tu. Memang jenuh nak berjalan di terminal ni. Besar yang amat dan kami sedang mencari Platform 1 yang berada di hujung terminal. Rasanya dalam 2 km kami berjalan turun naik tangga di terminal keretapi ni dari hujung ke hujung. Gendong beg dibelakang lagi. Memang turun kalori la masa ni. Masa ni juga la si Buddy tetiba jadi phobia dengan stesen keretapi yang terlampau-lampau besarnya dan jauhnya nak turun naik tangga. Memang boleh semput nak kejar keretapi kalau lewat sampai ke terminal ni. Sampai dia kata, "mader tak mau dah naik keretapi kat India ni, pening tengok platform dia"..haha...aku buat tak dengar saja la.... 

Kenapa pula kami perlu cari platform 1? Sebabnya disitu terdapat Tourist Information Bureau dimana tiket Simla heritage mountain train dijual.  Sampai platform 1, kami cari office counter dengan bertanya petugas-petugas stesen yang banyak berkeliaran untuk beli tiket nak naik heritage train untuk esok pagi dari Kalka ke Simla. Office ni dibuka 24 jam. Nak beli tiket kena tunjuk passport dan layanan sangat mesra pelancong. Aku tak pasti samada tiket boleh di beli di stesen keretapi Kalka ataupun tidak. Selesai beli tiket heritage train, kami pusing semula ke stesen metro untuk ke Terminal bas ekspress di Kashmiri Gate pula. Kali ni ikut jalan pintas menuju stesen metro. Tak lah phobia sangat walaupun jauh juga berjalan melintasi semua platform yang ada. Terminal keretapi New Delhi ni bersebelahan saja dengan stesen metro. Cuma jalan kaki tu jauh la sikit nak ke setiap platform dan perlu turun naik tangga.

Sebelum kami pusing dan jalan semula ke metro station kami berlegar-legar dulu di luar terminal keretapi ni. Cuba tanye tuk tuk berapa tambang mereka letak untuk ke bas stand Kashmiri Gate. 250 rupee mereka nak kenakan aku. Perjalanan tu kurang dari 7 kilometer kalau tak silap. memang aku tak ambik la. Baik aku jalan saja ke metro walau pun si Buddy dah phobia. Tambang metro baru 16 rupee saja... 

Then sampai ke Kashmiri Gate Bus Stand yang terletak bersebelahan saja dengan stesen metro Kashmiri Gate, kami cari pula tiket bas ekspres untuk ke Kalka. Kami terpaksa naik bas ke Kalka sebab jadual keretapi dari Delhi ke Kalka tak sesuai dengan perjalanan heritage train dari Kalka ke Simla. Bas akan bertolak pukul 9.30 malam dan akan sampai ke Kalka dalam pukul 4.00 pagi. Beg yang diletak di perut bas akan dikenakan bayaran luggage sebanyak 20 Rupee. Dalam bus pula, setiap penumpang diberikan air mineral sorang satu. Bas ni menuju Simla tapi disebabkan kami nak turun di Kalka, aku bagitau 2 kali pada kelindan bas untuk ingatkan dia sebab hanya aku dan Buddy saja yang turun di stesen keretapi Kalka. Bas berhenti sekali di sebuah RnR dalam pukul 11.00 malam. Aku lupa tanya nama tempat tu sebab otak tidak berapa berfungsi bila terjaga daripada tidur yang lena. RnR yang moden dan cantik, Ada hotel lagi disitu. Tandas pun bersih sebab tandas yang kami gunakan adalah tandas hotel.. So tiada  la mimpi buruk tentang tandas..haha...

Sampai di simpang jalan di pekan Kalka yang sedang tidur, kami diturunkan di simpang yang sunyi. Aku tanya kelindan bas, mana stesen keretapi nya? Dia tunjuk satu lorong yang entah menuju ke mana. Aku tergamam, berulang kali aku minta kepastian. Aku ingat kan bas ekspres ni akan hantar dekat ke stesen keretapi. Hampeh !!!...Jauh kena jalan. Ada la dalam satu kilometer. Kami jalan pelan-pelan berpandukan suluhan lampu jalan yang suram yang ada di lorong tersebut memandangkan kami tersampai awal iaitu dalam pukul 3.40 am. Heritage train yang akan kami naiki hanya akan bertolak pada pukul 5.30 am.

Sampai stesen keretapi Kalka yang sunyi sepi tu, kami tengok banyak penumpang-penumpang tidur di lantai stesen. Aku berjalan sehingga ke master station office di hujung platform. Aku perhati bilik-bilik yang terdapat di stesen tersebut. Terdapat bilik menunggu untuk kelas pertama. Aku intai-intai dulu. Apa yang aku nampak ialah orang-orang yang sedang tidur di kerusi ataupun membentang tikar masing2 dilantai dan yang pastinya di dalam bilik menunggu ni yang terletak bersebelahan dengan station master office terdapat tandas dan bilik mandi. Ok...dalam hati aku kata. Aku dah dapat tempat untuk aku bersujud kepada Yang Maha Berkuasa yang memberi kesempatan untuk aku mengembara melihat alam buana dan penghuninya.

Stesen keretapi Kalka - Menunggu the Simla Heritage Mountain Train yang tak muncul-muncul....

Aku conquer dulu satu kerusi depan bilik master station. Letak beg aku dan Buddy kat situ. Aku bawa kelengkapan bilik air dan telekung serta alas kanvas untuk aku bersolat di dalam bilik menunggu tu. Alhamdulillah, selesa bagi aku. Boleh solat jamak isyak dan maghrib dengan aman tenteram dibilik tersebut walaupun terdapat ramai penumpang-penumpang lain yang sedang berdengkur di situ. Selepas solat subuh, kami bersiap untuk naik heritage train awal pagi ni yang dijadualkan pada pukul 5.30 am. Tapi heritage train tu tak sampai-sampai. Aku suruh Buddy pergi masuk ke bilik master station dan tanya petugas yang berada di sana. Beberapa orang pelancong warga barat juga berada di dalam bilik tersebut. Setelah lama bersoaljawap di dalam bilik tersebut, barulah Buddy keluar dan pandang muka aku !

Apa terjadi selepas tu ?  Nantikan episod seterusnya.

Sekian, wassalam
Semoga berjumpa di lain episod dan terima kasih sabar menunggu.

Layari www.akupunyatravel.com untuk pakej pelancongan terpilih dan menarik hanya daripada Akupunyatravel

Saturday 3 October 2015

Incredible India - New Delhi - Episod 1 - Pengembaraan bermula

Assalamua'laikum dan salam sejahtera buat semua pembaca budiman.

Alhamdulillah, aku dan travel buddy telahpun selamat kembali ke tanahair dalam cuaca berjerebu yang semakin teruk. Nampaknya vitamin C kena diambil setiap hari untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh. Juga kena minum banyak air. 

Pengembaraan aku dan travel buddy ke India Utara selama 19 hari berjalan dengan lancar dan selamat serba serbi. Pengembaraan ini bermula pada 11 September 2015 dan berakhir pada 29 September 2015 dan kembali mendarat di tanahair pada 30 September 2015. Cukup mencabar fizikal dan mental kami dengan berbagai pengalaman pahit manis yang telah kami lalui sepanjang pengembaraan ini. Juga dengan perubahan cuaca daripada panas terik menyengat kulit di gurun kepada sejuk beku hingga ke tulang di pergunungan. Pengembaraan ini juga mengubah persepsi aku terhadap negara India. Mungkin anda mempunyai pengalaman yang berbeza daripada apa yang aku lalui bergantung kepada corak perjalanan yang kita lalui.

Di pergunungan jajaran himalaya di Himachal Pradesh

Mengagumkan dan menarik !!! Sesungguhnya !!! India mempunyai banyak tempat tarikan pelancongan dan penerokaan aku ternyata terlalu singkat. Masa amat cepat berlalu dan aku sedikit terkilan kerana tidak dapat meneroka dengan lebih banyak lagi tempat- tempat menarik di sana atas faktor masa, jalinan jalanraya dan jenis pengangkutan serta cuaca. In Shaa Allah akan aku gunakan masa dikesempatan yang akan datang sekiranya nyawa masih berbaki untuk aku menyelusuri jalan-jalan yang lebih mencabar demi keseronokan sebagai seorang pengembara. Melihat agungnya ciptaan Allah di hadapan mata. Melihat kepelbagaian budaya dan cara hidup penduduk, berkomunikasi dengan rakan-rakan sepengembara dari pelbagai negara juga dengan penduduk tempatan, merasa kepelbagaian masakan daripada pelbagai etnik di pergunungan dan bandar serta berkomunikasi dengan berbagai individu yang berlainan bangsa, agama, tuturkata dan budaya.

Alhamdulillah, Allah telah memberi kesempatan untuk aku mengenali alam dan melihat seluruh ciptaanNya di sesuatu tempat. Berfikir dan mengagungkan kebesaran dan kekuasaanNya, betapa kerdilnya aku, betapa lemahnya aku berbanding seluruh cipataanNya. Perjalanan yang aku lalui banyak membuat aku bermuhasabah akan diri ini.

Mukaddimah yang agak panjang kerana aku amat teruja dengan pengembaraan kali ini. 

Aku membeli tiket Malindo Air pada pertengahan tahun dahulu untuk ke Delhi, perancangan memang telah lama ada cuma bagaimana untuk merealisasikannya dengan sesempurna mungkin. Asalnya aku ingin mengembara selama sebulan. Memandangkan aku masih bergelar seorang pekerja yang tertakluk kepada peraturan syarikat dan jumlah cuti tahunan yang tidak berapa memberansangkan jumlahnya. Aku akur dan mengumpul cuti-cuti tahunanku agar aku dapat memaksimumkan keseluruhan cuti tahunan yang masih berbaki untuk meneruskan keinginanku mengembara ke utara India. Nekad! Itulah yang terjadi. Walau apa jua situasi yang bakal dihadapi.

Aku bukan pengembara yang suka mengembara secara berseorangan. Aku akan mencari seorang atau dua orang travel buddy yang sama citarasa dan corak pengembaraan kerana aku kerap akan mengubah itinerary bila-bila masa dimana sahaja mengikut keadaan dan situasi ketika itu. Berlainan caranya sekiranya aku membawa kumpulan pelancong. Travel buddy daripada kalangan ahli keluarga sendiri adalah pilihan terbaik. Juga kawan-kawan yang sukakan corak pengembaraan yang sama juga boleh dijadikan sebagai travel buddy. Paling utama adalah boleh bergerak dalam apa juga keadaan pengangkutan dan dalam jangkamasa yang lama, redho akan situasi setempat yang diluar jangkaan, tidak memilih makanan dan sukakan cabaran.   

Sementara menunggu untuk masuk ke perut kapal terbang, kita test monopod ni dulu...hehe

Penerbangan ke Delhi pada 11 September 2015 bertolak pada pukul 6.05 pm dalam jadual asal. Namun berlaku sedikit masalah dengan penyimpanan barangan di perut kapal terbang, Pihak penerbangan mengeluarkan semula sebahagian beg-beg penumpang di sebelah kanan dan memindahkannya ke bahagian lain untuk menstabilkan kapal. Penumpang penuh pada penerbangan kali ini dengan kebanyakannya adalah rakyat India. Kapten mengumumkan kelewatan berlepas dan kami berdua ni memang dah tak sabar untuk sampai di bumi kari. Setengah jam selepas semua urusan selesai, kapten kapal pun menarik brek dan mengundur untuk ke landasan dan bersedia untuk terbang.......

Malindo Air mempunyai ruang kaki di tempat duduknya yang lebih selesa berbanding Airasia. Baggage allowance sebanyak 20kg dan makanan sudah termasuk dalam harga tiket. Tiada caj tersembunyi atau tambahan-tambahan caj yang perlu dibayar lagi. Kan ke senang macam tu....takde ler sakit hati masa beli tiket ...hehe

Alhamdulillah, set makanan dalam flight

Selepas makan malam di dalam kapal terbang, belek-belek movie yang ada, tak lama menonton, aku tertidur dengan nyenyak dan siap berselimut lagi. Hanya tersedar bila pengumuman dibuat yang kapal akan mendarat. Lebih kurang pukul 9.20 pm waktu tempatan di Delhi, kami sampai di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Indra Gandhi New Delhi. Penerbangan KL-Delhi mengambil masa 5 jam 30 minit.

Selesai urusan imigresen, kami melangut dulu di luar airport, mencari pilihan pengangkutan untuk ke hostel. Tengok ada bas di hujung platform, tapi aku tidak pasti bas tersebut pergi arah mana kan. Nak naik train metro, kami tak buat research pun. Buddy pergi tanya kat pemuda-pemuda tabligh yang sama-sama naik kapal terbang tadi.  Mereka beritahu kami lebih baik ambil teksi terus ke hostel dan tunjuk pondok teksi berbayar di seberang jalan. Katanya mereka tak menipu dan harga tambang juga berpatutan. Kami pun terus ke sana. 

Tambang teksi ke kawasan Muhamadpur dimana terletaknya hostel yang akan kami duduki sebanyak 300 Rupees. Aku bagi ke buddy 1000 rupees tapi dia ingat aku bagi hanya 500 rupees. Dia ambil baki hanya 200 rupees, note 500 rupee tu dia tinggalkan saje atas meja kaunter. Baik punye buddy. Sambil berjalan menuju ke teksi buddy bagi aku semula baki, aku tanye mana lagi baki 500 rupees ? Eh! Bukan maksu bagi 500 rupees jer ke tadi? Aku jeling tajam pada dia dan kata, kau mamai ke apa ye..habis la lebuh duit belanja aku...baru jer nak mula...memang nak kene sekeh budak ni.

Sebelum kami naik teksi terdengar seperti orang cuba memanggil kami daripada belakang. Seorang pekerja di kaunter teksi tadi menyerahkan kembali kepada kami baki lagi 500 rupees yang tidak diambil oleh buddy tadi. fuuhhhh...Lega, dapat balik duit tu. Tak jadi aku nak sekeh si buddy. Maknanya, masih ada lagi orang yang jujur dalam bekerja dan berniaga di negara di mana kebanyakan orang terutamanya pelancong berfikiran negatif tentang negara dan rakyat India. Alhamdulillah, permulaan yang baik bagi kami. Setakat itu saja la kan!! 

Kami naik teksi ambassador, masa kami beratur, bila tiba turn kami teksi jenis tu saja yang sampai, redho jer la...haha, tteksi tiada aircond, dah la Delhi ni panas macam Malaysia juga cuma tiada jerebu saja. Aircond original. Maka bermula lah episod menghirup bau perfume yang sangat terkenal di Delhi sepanjang jalan selama setengah jam menuju ke Muhamadpur. Keluar saja dari kawasan lapangan terbang tu, sepanjang jalan berbau hancing !!!!!!! This is the real Delhi! haha... Dah la jalan sesak..bunyi hon jangan sebut la..macam suatu irama muzik di jalanan..kami mengutuk sambil gelak.

Sampai di Muhamadpur, teksi tanya nombor telephone hostel. Ha sudah...kawasan Muhamadpur ni luas, pemandu teksi tak pasti di sebelah mana kedudukan hostel walau dah ada alamat. Kami hanya ada alamat jer. Nombor telephone tak tulis. Memang susah la pemandu teksi nak cari. Setelah memusing di kawasan tersebut, pemandu teksi dah pening dan putus asa lalu diberhentikan saja kami di tepi jalan selepas pasar malam. Menganga la kami kat situ sekejap. Tidak mengapa kata bisikan hati, kami redho ...dah nasib.

Kami tengok-tengok dulu keadaaan sekeliling dan berjalan menuju hotel terdekat, kalau tak jumpa hostel, kami akan menginap di hotel tersebut. Badan letih kalau jalan memalam buta ni. Otak pulak tak boleh nak hadam keadaaan sekeliling yang suram. Masuk lobi hotel dan tanya pekerja di situ arah ke hostel. Alhamdulillah mereka membantu tunjuk arah. Namun akhirnya seorang pekerja mengekori kami dan terus membawa kami mencari lorong di kejiranan R.K Puram menuju hostel. Sedikit sesat kerana terlalu banyak lorong tapi akhirnya kami berjaya juga sampai di hostel. Alhamdulillah, kami diketemukan dengan orang-orang yang sedia membantu dikala kami memerlukan bantuan. Pekerja hotel tersebut membawa kami dan berjalan kaki bersama-sama kami sehingga ke pintu hostel.

Ruang lepak di hostel - Buddy dan Ohm

Lega kami dapat sampai ke hostel Jugaad, Jandhu Mansion lebih kurang pukul 11.00 pm. Hostel ni menyediakan dorm lelaki dan wanita berasingan. Dorm wanita ada 1  dengan 6 katil. Dorm lelaki ada 4 dengan 6 dan 8 katil setiap dorm. Bilik air semua berada di dalam bilik. Selesa dan bersih. Kedudukan hostel di tingkat 4, kene panjat ler tangga-tangga bangunan ni. Tiada lift disediakan. Atas sekali iaitu tingkat 5 ialah tempat lepak, terdapat bilik pekerja, dapur yang boleh memasak, tempat jemur kain dan boleh tengok kawasan sekeliling. Breakfast disediakan iaitu, roti dan jem, air pulak perlu dimasak sendiri la, cuma bahan seperti teh dan susu segar disediakan. Air mineral juga disediakan dan boleh ambil di dapor bila-bila perlu. Buddy booked hostel ni menggunakan booking.com.

Ohm....nama manager hostel ni, peramah dan fasih berbahasa Inggeris. Sangat banyak membantu kami ketika kami menginap di hostel ni. Walaupun hostel ni agak sedikit jauh dari pusat bandar, namun facility yang disediakan serta layanan pekerja membuatkan kami menggunakan semula hostel ini untuk menginap di Delhi selepas kami pulang dari wilayah lain di India. Hostel ini juga berdekatan dengan pasar malam yang menjual berbagai keperluan seperti sayuran dan buahan segar. Saya sempat membeli belah di hari terakhir di pasar malam sekitar hostel ini dan memasaknya di hostel bersama dengan penghuni-penghuni lain.

Kami mengembara di empat negeri disebelah utara India iaitu Haryana dimana terletaknya ibu negara India, New Delhi. Kemudian kami ke utara iaitu Himachal Pradesh yang ibu negerinya ialah Simla. Kami mengembara hampir ke keseluruhan negeri ini dari selatan ke timur sehingga ke sempadan Tibet, seterusnya ke utara dan turun semula ke selatan. Seterusnya kami turun ke negeri Rajasthan untuk menyambut Eid ul Adha bersama penduduk tempatan di Jaipur dan akhirnya kami ke Uttar Pradesh dimana terletaknya Taj Mahal. Tidak lengkap pengembaraan ke India Utara sekiranya tak lawati Taj Mahal. Kami akhiri pengembaraan dengan kembali ke Delhi dan menyelusuri Old Delhi untuk mencari beberapa kesan sejarah laluan perdagangan dulu kala dalam industri rempah dan textile.

Pengembaraan yang sungguh mencabar fizikal dan mental kami. Namun kami berjaya mengharungi segala nya demi sebuah cita-cita.

Sekian untuk mukaddimah pengembaraan ke India Utara untuk kali ini. 
Berjumpa di lain siaran
Wassalam